PRN Sarawak: Panglima perang, soldadu politik ligat susun strategi

PRN Sarawak: Panglima perang, soldadu politik ligat susun strategi

GENDANG perang sejak sekian lama dinantikan sudah dipalu. Keluh-kesah selama ini sudah terjawab. Dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12, terlerailah penantian sudah hampir setengah tahun berlarutan.

Lalu, kelibat panglima perang dan soldadu politik selaku jentera kelihatan semakin ligat di segenap pelosok serta cabang mengatur dan melancarkan strategi masing-masing. Perancangan sekian lama itu semakin dilipatgandakan dan ditambah baik dengan mengambil apa juga iktibar serta pengajaran sebagai panduan hasil keputusan PRN Melaka baru-baru ini.

Sungguhpun ia tidak boleh dijadikan ukuran sepenuhnya, beberapa pelajaran penting diyakini akan diberikan perhatian adalah dari aspek pencalonan calon lompat parti (jika berkaitan), penampilan muka baharu dan pengaruh calon orang muda yang menjadi antara faktor dan trend semasa menjadi penyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

Kepentingan untuk meraih undi bagi memastikan peratusan bilangan pengundi keluar mengundi juga diyakini akan menjadi sandaran utama untuk diberikan perhatian oleh parti politik yang bertanding nanti. Bimbang jika isu sama berulang di Sarawak.

Dari segi strategi dan gerak-geri mengatur langkah serta percaturan, kelihatan parti politik berusaha keras mencari formula untuk meraih sokongan rakyat. Umpamanya inisiatif Pakatan Harapan (PH) untuk menjalin kerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB bercita-cita besar khabarnya untuk meletakkan calon di semua kerusi itu jika menjadi kenyataan, dilihat berupaya memberikan saingan pada PRN nanti.

Apakah gabungan antara parti tempatan dengan parti luar ini akan memberikan impak? Persoalan ini akan hanya terjawab selepas PRN nanti dan sekiranya permuafakatan berkenaan menjadi kenyataan terutama dalam mendapat kata sepakat berhubung pengagihan kerusi.

Dalam pada itu, Parti Bumi Kenyalang (PBK) juga tidak kurang hebatnya melancarkan strategi dan kempen awal melalui pendekatan mendampingi rakyat serta mengedarkan risalah mereka, selain menggunakan saluran media sosial sebagai strategi meraih sokongan.

Pada masa sama, timbul pula satu lagi parti dikenali sebagai Parti Bangsa Malaysia (PBM), antara pendukungnya Larry Sng, iaitu bekas orang kuat PKR Sarawak yang bertindak keluar parti dan bergerak sebagai calon Bebas, kini menjadi orang penting dalam PBM.

Turut digembar-gemburkan adalah pembabitan 13 wakil rakyat dikatakan akan turut serta menyertai PBM. Ini akan memperkukuhkan lagi parti berkenaan yang juga parti berteraskan nasional berpotensi memberikan cabaran dengan keahliannya terbuka kepada semua.

Dengan kata lain, PRN kali ini akan diwarnai dengan aneka corak dan warna menarik untuk kita sama-sama perhatikan. Percaturan dan gerak kerja disusun semua parti sudah pasti akan mengambil kira faktor menyumbang kepada kemenangan.

Justeru, semua pengalaman yang boleh ditimba melalui PRN Melaka terutama berhubung trend dan kehendak semasa pengundi tidak boleh diabaikan biarpun senario antara negeri itu dengan Sarawak agak berbeza.

Namun, dari segi asasnya, ia tetap berperanan besar sebagai faktor penentu.

Di atas kertas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kelihatan mempunyai kelebihan berdasarkan kekuatan akar umbi berada di segenap pelosok negeri ini. GPS yang sebelum ini bertanding atas tiket BN sudah amat sebati dengan penduduk Sarawak selama ini.

Tiada banyak perbezaan antara sebelum ini dan sekarang. Apa yang hanya berbeza adalah pada namanya sahaja. Tentunya bagi GPS, ini julung-julung kali ia bertanding atas tiket gabungan berkenaan.

Justeru, apa-apa juga hasil keputusan PRN nanti akan memberikan impak dan gambaran sebenar terhadap indeks sokongan serta keyakinan rakyat kepada mereka.

Bagi pemimpin mereka sendiri selaku Ketua Menteri, PRN kali ini juga satu bentuk tanda aras besar dan sebagai pengesahan terhadap keberkesanan beliau mentadbir selepas mengambil alih daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Sungguhpun di atas kertas, GPS mempunyai kelebihan, ia tidak boleh hanya bergantung kepada legasi lampau dan faktor kejayaan lain yang diraih pada PRN lalu.

Senario dan sentimen kali ini sudah banyak berbeza. Cabaran daripada parti lain berpotensi untuk menggugat kedudukan GPS .

Gugatan itu mungkin tidak sepenuhnya tetapi cukup untuk memberikan gambaran terhadap survivalnya pada masa akan datang kalau pun tidak dalam PRN kali ini.

Jika mengikut trend dan rekod sebelum ini, DAP akan kekal kukuh menguasai kawasan bandar dengan sokongan padu daripada pengundi Cina.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai parti komponen di bawah GPS sekali lagi akan berhadapan cabaran getir untuk menyaingi penguasaan DAP. Apakah penguasaan DAP pada kali ini dapat disaingi SUPP?

Secara sepintas lalu, dengan kedengaran semboyan perang dinanti-nantikan itu, maka bermulalah dengan rasminya PRN-12 sarat dengan pelbagai bahan baharu untuk dibincangkan dan dinilai.

Bermula dengan penilaian terhadap keberkesanan pengawalan penularan COVID-19 pasca vaksinasi kebangsaan, kelibat kali pertama parti politik tempatan dan nasional dalam PRN kali ini, kemampuan GPS dan Ketua Menteri untuk kekal relevan, malah memperkukuhkan lagi kedudukan hingga peratusan keluar mengundi antara perkara menambahkan lagi kemeriahan serta bahan diskusi dan wacana menarik dalam dunia politik semasa. BH

PRN Sarawak: Panglima perang, soldadu politik ligat susun strategi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kebarangkalian komet pemusnah langgar Bumi meningkat- NASA

Wilayah di utara Arab Saudi dilitupi salji

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker