YB Dira mahu jadi sehebat arwah bapa

Sebaran :

YB Dira mahu jadi sehebat arwah bapa

KUALA LUMPUR: Sejak perlahan-lahan meninggalkan dunia seni dan aktif berpolitik hingga dilantik Exco Puteri Umno pada 2015, tidak sekelumit pun terlintas dalam sanubari Datuk Dira Abu Zahar soal status dan ganjaran yang datang daripada jawatan disandang.

Tiada lain, apa yang mahu diperjuangkan wanita cekal ini adalah usaha membantu rakyat memerlukan sedaya mampu, biar dalam apa keadaan sekalipun.

Apatah lagi, semangat ditunjukkan bapa tersayang, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin yang ketika hayat pernah memimpin Melaka, menjadi azimat dan dorongan kepada bekas pelakon dan pengacara popular ini untuk mengukuhkan tapak dalam dunia politik.



Siapa tidak kenal Allahyarham Abu Zahar yang dilantik Ketua Menteri Melaka kelapan dan pernah berkhidmat kepada rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Sungai Rambai, cukup disenangi sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Mewarisi ketokohan bapa, sepanjang perjuangannya dalam Umno, Dira atau nama sebenar, Khaidirah Abu Zahar dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sejak 2018.

Melakar sejarah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu, Dira yang bertanding kerusi DUN Rim atas tiket Barisan Nasional (BN) diumumkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan kini bergelar Yang Berhormat (YB).

Atas kejayaan itu, Dira mencipta rekod menjadi artis dan anak seni pertama memenangi kerusi PRN pada era baharu.



Berkongsi perasaan sejak bergelar YB, Dira yang dihubungi BH Online meluahkan kesyukuran dan bercerita mengenai pengorbanan dan perjuangan dalam dunia politik selama ini.

“Sejak mula menceburi dunia seni menjadi pelakon dan pengacara, saya tidak pernah merancang hendak jadi artis sampai ke tua.

“Pada suatu tahap, saya beralih kepada dunia pengarahan sebab fokus ketika itu hendak jadi pengarah pula.

“Sasaran saya sebagai manusia dan hamba-Nya mahu membantu insan memerlukan. Saya buat kerja kebajikan dan sukarelawan termasuk membantu mangsa banjir, contohnya.



“Sejak itu, saya bercita-cita hendak jadi sehebat arwah bapa. Arwah dalam dunia politik tetapi saya pula hendak hebat dalam dunia seni dan kreatif.

“Namun, tidaklah sampai terfikir hendak jadi YB,” katanya yang kali terakhir membintangi filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang pada 2016.

Atas kemenangan itu, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tengku Anggun Deandra, 14, dan Waris Iskandar, tiga tahun, mendapat restu pengundi di Rim untuk menjadi suara mereka dalam menghadapi kehidupan harian, sama seperti amanah dipikul arwah bapa yang disaksikan sejak kecil lagi.

“Arwah bapa saya bertanding sebagai wakil rakyat dari 1986. Ketika itu, saya berusia dua tahun. Bapa terus aktif dalam dunia politik hingga saya berusia 15 tahun.

“Jadi, dunia politik bukan asing. Saya ‘lari’ jauh dengan mendalami ilmu undang-undang. Saya semarakkan dunia hiburan, namun, kemudiannya, kembali ke asal (dunia politik).

“Saya tidak pernah kesal apa yang terjadi. Dalam kalangan adik-beradik, saya seorang yang menjadi artis dan menceburi dunia politik.

“Saya menjadi penyambung legasi ditinggalkan arwah bapa. Legasi itu tidak akan jadi tanpa kesungguhan diri sendiri,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Ketika meninggalkan dunia seni, isteri kepada ahli perniagaan, Syfik Izdyzwan Sidek ini masih sesekali memberi tumpuan kepada kerja belakang tabir dan pengarahan menerusi syarikat produksi yang diasaskannya, Hyper Pictures.

“Syarikat itu masih ada, cuma tidak aktif. Tetapi saya percaya, biarpun tiada produk seni yang dihasilkan, namun sumbangan saya dalam kancah politik berbeza bentuknya.

“Jadi, sumbangan saya bukan lagi sebagai pembekal kandungan. Tetapi lebih kepada sisi lain termasuk mewujudkan dasar yang dapat membantu pemain industri kreatif bekerja dengan persekitaran terbaik.

“Sekalipun bergelar ADUN Rim, jika diizinkan saya mahu menzahirkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada anak seni… Insya-Allah,” janjinya.

Dira berkata, apa yang mahu dilakukan sebagai ADUN adalah menjaga rakyat.

“Soal kebajikan, pembangunan, pendidikan, infrastruktur asas seperti capaian jalur lebar, teknologi komunikasi, sukan dan rekreasi golongan belia mesti dijaga.

“Saya juga mahu ekonomi masyarakat dan aspek kesihatan warga emas di Rim diselia dengan baik serta diberi perhatian sewajarnya.

“Pendek kata, banyak yang saya mahu ubah dan tingkatkan demi kelangsungan hidup rakyat.

“Satu perkara saya masih ingat dan pinjam daripada semangat arwah bapa adalah menjaga orang kita, bangsa Melayu dan agama,” katanya.


Suami, Syfik sangat memahami karier politik Dira dan menjadi penyokong kuat, selain menemaninya ketika saya sibuk berkempen. – Foto IG Dira Abu Zahar

Dira berkata, pengalaman menjadi anak seni dianggap azimat dalam melengkapkan perjuangan sebagai ahli politik.

“Pengalaman lalu tetap berharga dan menjadi pelajaran berguna. Saya belajar banyak perkara termasuk jangkaan orang sekeliling, pengurusan masa, bekerja dalam tempoh jam panjang, sensitif, mengambil berat dan bermacam-macam lagi.

“Saya selesa dengan apa yang dilakukan sekarang. Semua dilakukan tanpa prejudis. Masa saya memang akan lebih banyak di Melaka. Mungkin sehari dua saya perlu pulang ke Kuala Lumpur.

“Sebaliknya, jika tidak berupaya, suami dan anak-anak yang perlu ke Melaka,” katanya.

Ditanya mengenai suami, Syfik sangat memahami karier politik Dira dan menjadi penyokong kuat.

“Suami ada menemani ketika saya sibuk berkempen. Dia banyak membantu memudahkan urusan keluarga dan anak-anak kami.

“Pada hari kemenangan saya dilantik sebagai ADUN Rim, Anggun (anak sulung) genap usia 14 tahun. Itu menjadi hadiah paling bermakna untuk saya sendiri sebagai ratu hatinya,” katanya.

Ketika aktif dalam dunia seni, Dira pernah mengacarakan program televisyen (TV) termasuk Melodi, Fulus Mania serta membintangi karya drama dan filem seperti Rona Roni Makaroni, Kekasihku Seru, Dahlia dan Sejoli : Misi Cantas Cinta.

Terdahulu, pada pilihan raya negeri Melaka lalu itu, Dira menang dengan majoriti 1,327 menewaskan dua lagi calon selepas memperoleh undian sebanyak 4,037 undi.

Dua lagi calon iaitu Azalina Abdul Rahman (PN) meraih sebanyak 2,710 undi manakala Prasanth Kumar (PH) dengan 2,163 undian.

Sejak September lalu, Dira menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang dasar awam di Universiti Malaya (UM). BH

YB Dira mahu jadi sehebat arwah bapa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Sebaik-baik perjanjian adalah pembentukan Muafakat Nasional – Nik Abduh

Gadis bertumbuk berebut teman lelaki


Sebaran :

Leave a Reply