Saya ambil serius siasatan polis atas ucapan Ahli Parlimen – Speaker

Saya ambil serius siasatan polis atas ucapan Ahli Parlimen – Speaker

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun memberi jaminan kepada Ahli Parlimen bahawa beliau akan bercakap dengan polis dan pihak lain bagi memastikan hak wakil rakyat bersuara secara bebas di Dewan terpelihara.

“Saya memandang serius perkara itu,” kata Azhar selepas Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan mengenai siasatan polis ke atas ucapan Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) di Dewan Rakyat berhubung kebimbangannya mengenai seruan pemisahan yang semakin meningkat di Sabah.



Lim Guan Eng (PH-Bagan) membangkitkan perkara itu di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (10) dengan berkata, ucapan Azis tidak dibantah di Dewan dan Speaker tidak menghalang Ahli Parlimen meneruskan ucapannya.

Lim berkata, tindakan polis memanggil Azis bersifat intimidasi terhadap Ahli Parlimen yang berhak membangkitkan isu dan kebimbangan rakyat di Dewan Rakyat.

“Apa yang diucapkan (Azis) bukanlah menyatakan secara terbuka untuk memisahkan Sabah daripada Malaysia, tetapi hanya tentang apa yang (diperkatakan) di Sabah,” katanya.

Isu sama, katanya, telah dibangkitkan Gabungan Rakyat Sabah, tetapi tiada tindakan diambil ke atasnya, sedangkan Azis disiasat.



Polis perlu merujuk perkara itu kepada Speaker sebelum mengambil sebarang tindakan, katanya.

“Ini tidak adil buat Ahli Parlimen,” katanya sambil menggesa Azhar mempertahankan hak Ahli Parlimen.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen biasanya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika mereka dituduh melakukan kesalahan.

“Tetapi, untuk menghalang dan memberi ugutan kepada Ahli Parlimen mengemukakan pandangan mewujudkan duluan berbahaya,” katanya sambil menambah beliau telah membaca teks ucapan Azis dan tidak mendapati ia “treasonable offence” (kesalahan bersifat khianat).



Azhar kemudian meminta Azis menjelaskan perkara itu.

Azis berkata, beliau terkejut apabila polis memanggilnya berhubung ucapan yang dibuatnya di Dewan.

“Dalam teks ucapan saya, saya merujuk kepada rungutan-rungutan, suara rakyat Sabah hari ini. Jika kita mahu selamatkan Malaysia, laksanakan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Azis berkata, beliau hanya menyuarakan sentimen rakyat Sabah di media sosial tentang pemisahan daripada Malaysia, jika Sabah terus dianaktirikan dan di Sarawak juga ada suara tentang meninggalkan Malaysia.



Azhar kemudian berkata, beliau akan membaca teks ucapan Azis untuk mendapatkan gambaran lebih jelas. FMT

Saya ambil serius siasatan polis atas ucapan Ahli Parlimen – Speaker


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Sebaik-baik perjanjian adalah pembentukan Muafakat Nasional – Nik Abduh



Gadis bertumbuk berebut teman lelaki



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker