Zahid Hamidi masih releven untuk terus pimpin UMNO

SHAH ALAM – Kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat semakin kukuh dan relevan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kejayaan membentuk kerajaan negeri itu seolah-olah memberi satu pengesahan bahawa rakyat masih menyokong beliau.

“Kemenangan itu membuktikan sokongan rakyat kepada UMNO sekali gus ia bermakna sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menerajui parti itu.

“Secara tidak langsung ia memberi gambaran bahawa kepimpinan beliau masih lagi relevan pada hari ini sehinggalah pemilihan UMNO yang seterusnya,” katanya pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mandat kerajaan Melaka menjadi milik tunggal BN setelah disahkan memperoleh majoriti selesa dalam PRN berkenaan apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Namun, Ahmad Martadha berpendapat, dari sudut yang lain, kemenangan itu tidak bermakna isu rasuah yang terpalit dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah tidak relevan dan tidak dipeduli rakyat.

 

Ahmad Martadha
Ahmad Martadha

 

“Ia bukan sebegitu, kerana dalam konteks di Melaka, kemenangan BN kerana negeri itu kubu kuat UMNO. Sebab itu kita lihat UMNO terus pertahankan kemenangan di beberapa kawasan yang secara tradisinya mereka menang.

“Jadi ia bukan menunjukkan isu yang sedang dihadapi Presiden UMNO ini tidak relevan. Sepanjang kempen dijalankan juga tidak ada isu yang dibangkitkan berkaitan kes yang dihadapi beliau kerana kita lihat Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak membawa isu tersebut.

“Kita tak boleh nak kaitkan bahawa orang mengundi UMNO disebabkan mereka tidak peduli akan isu yang membelenggu Presiden UMNO ini. Bagi saya ia tiada kaitan,” kata beliau.

Ahmad Zahid ketika ini menghadapi pertuduhan rasuah dan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Menurutnya, jangkaan sama ada Ahmad Zahid akan terus mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijadualkan akan diadakan sebelum Disember 2022 juga bergantung kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau.

“Kes beliau masih lagi berjalan jadi agak sukar untuk kita menyatakan secara tepat bahawa beliau akan bertanding atau tidak.

“Saya yakin jika beliau disabitkan dengan kesalahan, maka kepimpinan UMNO yang lain dan akar umbi pasti akan mendesak untuk beliau berundur,” katanya.

Tegas beliau, keputusan kes mahkamah akan menentukan segala-galanya sama ada Ahmad Zahid kekal menerajui parti itu atau sebaliknya.

“Walaupun UMNO menang dalam PRN Melaka, itu tidak bermakna UMNO boleh mendabik dada kerana di peringkat Persekutuan, kerajaan yang ada turut bergantung sokongan daripada PN,” katanya.

Ekoran itu, jelasnya, UMNO tidak boleh melihat kemenangan berkenaan sebagai satu legitimasi untuk mereka terus bergerak secara solo.

Zahid Hamidi masih releven untuk terus pimpin UMNO


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mantan pakar formula PH ‘sekolahkan’ pemimpin parti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker