PRN Melaka: Pengundi luar diseru pulang untuk beri mandat jelas

MELAKA – Pengundi luar dirayu untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok demi menyelamatkan negeri itu daripada kemelut politik berpanjangan dan tidak berkesudahan.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian terhadap penduduk negeri itu, mereka menyedari bahawa setiap undi yang dibuang adalah bernilai untuk menentukan wakil rakyat.

Sudah semestinya rakyat Melaka mahukan sebuah pentadbiran yang mampu menjanjikan kestabilan politik kepada negeri tersebut.

Seorang peniaga, Che Azizah Che Mat, 57, berkata, pengundi luar juga menjadi faktor dalam menentukan kerajaan yang bakal dibentuk di Melaka dalam keadaan stabil.

Beliau yang juga pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata, rakyat Melaka mahukan pentadbiran telus, amanah, dapat tingkatkan ekonomi penduduk dan stabilkan negeri.

“Kita kena pastikan pemimpin yang menang tidak menang tipis sebab takut akan ada lagi lompat parti. Pengundi terpaksa mengundi lagi.

“Harapan saya, pengundi luar balik buang undi untuk pilih kerajaan supaya majoriti kukuh. Saya juga memang pastikan anak-anak untuk balik mengundi,” katanya.

Turut menyokong perkara itu, Khairul Abidin, 45, yang merupakan seorang peniaga makanan di Bukit Katil menyeru agar pengundi luar dapat pulang ke negeri asal demi menjalankan tanggungjawab.

Khairul yang merupakan pengundi di DUN Pengkalan Batu berkata, sebolehnya rakyat mahukan pemimpin di negeri itu bersih dan tidak mempunyai kepentingan sendiri.

“Meskipun ia lumrah apabila berada di puncak untuk kumpul kekayaan, tetapi jangan sampai kecewakan rakyat. Kami mengharapkan kepimpinan yang bersih, tulus, amanah dan berintegriti,” ujarnya.

Suri Rumah, Robiah Omar, 60, pula berpendapat, pengundi luar perlu menjalankan amanah ini untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Menurut Robiah yang bakal mengundi di DUN Telok Mas, ia sekali gus menyumbang kepada tahap kestabilan politik di negeri itu.

“Contohnya, kalau ramai pengundi luar tidak balik, mungkin kebarangkalian untuk parti gabungan seperti Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional menang adalah sama rata.

“Mungkin kalau mereka balik, sesebuah parti itu akan menang lebih banyak kerusi. Ini tanggapan saya.

“Patuhi Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

PRN Melaka: Pengundi luar diseru pulang untuk beri mandat jelas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Imej salib hilang: Adakah DAP cuba tipu Melayu?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker