Mahkamah tolak permohonan Zuraida batal saman RM10 juta PKR

Mahkamah tolak permohonan Zuraida batal saman RM10 juta PKR

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamruddin untuk membatalkan saman PKR yang menuntut RM10 juta terhadapnya kerana meninggalkan parti berkenaan.

Parti itu melalui setiausaha agungnya Saifuddin Nasution pada 2 Okt 2020 mengemukakan saman terhadap Zuraida dan 10 ahli parlimen PKR lain yang berpaling tadah dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar semasa menolak permohonan Zuraida berkata, bahawa mahkamah berpendapat bahawa terdapatnya kausa tindakan yang jelas terhadap defendan.

“Mahkamah berpendapat bahawa terdapatnya perkara yang boleh dibicarakan dalam tuntutan ini. Tuntutan ini bukanlah suatu tuntutan yang tidak jelas tidak mampan yang boleh dibatalkan di bawah Aturan 18.k.19 KKM 2021.

“Isu berkaitan bon yang ditandatangani oleh defendan pada 25 April 2018 lalu yang perlu diperjelaskan dengan perbicaraan penuh,” katanya.

Menurut Latifah, Zuraida selaku defendan perlu juga memberi keterangan kenapa dia menandatangani bon tersebut dan apakah tujuan bon tersebut ditandatangani dan jika terdapatnya syarat-syarat yang tersirat.

“Perlunya keterangan saksi-saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan bon tersebut dilaksanakan.

“Bagi mencapai keputusan yang adil, mahkamah berpendapat adalah tidak wajar tuntutan ini dibatalkan pada peringkat ini,” kata pesuruhjaya kehakiman itu ketika membaca keputusannya.

Mahkamah turut mengenakan kos RM5,000 terhadap Zuraida berhubung permohonan membatalkan saman PKR berkenaan tertakluk kepada fi alokatur.

Terdahulu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam afidavitnya mendakwa saman yang dikemukakan PKR ke atasnya bersifat “dendam” selepas dia meninggalkan parti tersebut.

Dalam hujah yang dikemukakan kepada mahkamah, Zuraida berkata perlembagaan PKR sendiri memberi kebebasan kepada ahlinya untuk meletakkan jawatan tanpa menyatakan sebarang kewajiban mengenai penalti berbentuk pampasan atau balasan.

“Tindakan undang-undang terhadap defendan di sini adalah jelas merupakan satu kempen dendam PKR dan / atau Presiden PKR (Anwar Ibrahim) yang bertujuan untuk menghukum dan/atau mendenda defendan kerana telah keluar PKR sekali gus menggunakan prosiding melalui mahkamah sebagai peluang untuk mendapatkan pengkayaan tidak patut demi memenuhi atau menjamin dana politik PKR secara tidak sah,” katanya.

Afidavit itu bertarikh 29 Jan lalu.

Sebelum bertanding dalam PRU ke-14 pada 2018 semua calon PKR menandatangani ikrar untuk membayar denda RM10 juta jika mereka meninggalkan parti berkenaan selepas terpilih sebagai wakil rakyat.

Namun, Zuraida diketuai bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali bersama sembilan ahli parlimen yang lain bertindak meninggalkan parti itu pada akhir Feb 2020 dan tindakan mereka yang dikenali sebagai Langkah Sheraton membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Mk

Mahkamah tolak permohonan Zuraida batal saman RM10 juta PKR


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi Facelift 2022 mula masuk showroom?

Langgar SOP: “YB Pekan Sentiasa Dalam Perhatian Saya” – Khairy Jamaluddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker