Kenapa PRN Melaka penting?

20 NOVEMBER 2021, Melaka akan mengundi sekali lagi. Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak diadakan bersama pilihan raya umum (PRU). Tidak mustahil ada lagi negeri yang akan mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Segalanya berkemungkinan dalam konteks politik tanah air. Jika tidak, adakah Melaka akan melihat kehadiran Ketua Menteri kali ketiga dalam masa tiga tahun. Memeranjatkan tetapi ia adalah amalan demokrasi.

Seramai 112 calon bertanding yang turut melibatkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) berdepan tiga penjuru, sembilan DUN (empat penjuru), lima DUN (lima penjuru) dan tiga DUN (enam penjuru).

Sebanyak 51 peratus pengundi adalah wanita daripada 495,196 pengundi, namun hanya 16 peratus calonnya adalah wanita berbanding 96 calon lelaki.

Calon termuda pula berumur 21 tahun. Kategori kumpulan umur pengundi menunjukkan rata-rata di bawah 45 tahun menyebabkan pemilihan calon kali ini disesuaikan dengan kelompok umur berkenaan.

Kenapa PRN Melaka penting? Apakah keputusannya akan memberi gambaran trend pola pengundian di peringkat persekutuan nanti?

Adakah uji kaji dan eksperimen PRN Melaka mahu diselaraskan dengan pendekatan menyeluruh pada PRU15?

Melaka barangkali negeri yang kecil tetapi impak kemeriahan mengadakan PRN sangat signifikan.

Pertama, pengundian ke atas calon atau parti menjadi taruhan. Pemilihan calon daripada pelbagai latar umur, pendidikan dan kepakaran menunjukkan kesemua yang bertanding termasuk 22 calon Bebas memberikan keutamaan atas perkara tersebut. Malah, calon keluar parti asal juga akan dinilai prestasi mereka.

Kedua, amalan politik konvensional dengan pengundian ke atas parti juga akan diperhati kerana sebilangan pengundi adalah kategori berusia yang akan memilih sama ada keluar mengundi atau sebaliknya kerana diadakan waktu pandemik. Akses telefon pintar juga terhad.

Ketiga, larangan mengadakan kempen berceramah besar-besaran dan bersemuka sepanjang 12 hari turut memberi kesan ke atas jentera parti.

Apakah kali ini sekadar bergerak dari dalam pusat gerakan, calon berinteraksi dengan pengundi di alam maya atau masing-masing secara kreatif mencari ‘ruang terselindung’ untuk berjumpa dengan pengundi.

Keempat, isu yang dibawa juga akan menjadi tumpuan. Suasana kali ini berbeza dengan PRU14 kerana isu nasional mendominasi.

Ada juga berhati-hati dalam serangan mereka. Oleh sebab platform media sosial menjadi tapak utama berkempen, pembunuhan karakter dan memburukkan lawan berlaku walau masih boleh dikawal.

Adakah ia bertujuan mengelak keretakan kerjasama politik di peringkat pusat walaupun bertembung di PRN? Bagi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sudah pasti Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani perlu dihormati.

Kelima, apakah pertembungan polisi akan menjadi tarikan khususnya penawaran ketika proses pemulihan pandemik kerana dua tahun terakhir melihat masa, tenaga dan kerahan kerajaan tertumpu ke atas krisis nasional ini. Apakah ia diuji di Melaka dan seterusnya akan diangkat sebagai isu dominan pada PRU nanti?

Keenam, mengurus persepsi tidak mudah. Pertembungan antara rakan di pusat dan berlawanan di negeri agak janggal. Ada yang beranggapan ia politik luar biasa.

Namun, eksperimen di Melaka jika berjaya akan menyebabkan ada yang berasakan keperluan bertanding solo atau kembali ke koalasi lama mahupun membentuk penjajaran baharu.

Maknanya, kalah menang di Melaka boleh menentukan masa depan takrifan perpaduan muafakat besar walaupun keputusannya tidak boleh dianggap sama pada PRU kelak.

Ketujuh, Muafakat Nasional juga diuji di PRN Melaka. Kekaburan ke atas peranan piagam yang termeterai masih ketara. Kesanggupan Pas dan UMNO bertembung di tujuh kawasan mengejutkan walhal jika ia masih relevan, wajarkah bertikam sesama sendiri?

Kelapan, pertembungan banyak penjuru. Adakah ia akan menjadi ‘kebiasaan’ pada PRU15, selain tawaran parti siasah ada formula baharu dengan kemasukan calon Bebas.

Secara keseluruhan, PRN adalah eksperimen di lab politik. Ada aktor elit dan aktor sampingan. Ada parti siasah dan ada parti dengan kemunculan baharu. Semua itu perlu diteliti jika mahu memahami gelagat pengundian PRU15 nanti.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Kenapa PRN Melaka penting?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Muhyiddin jangan lupa, janji manis Manifesto PH ditulis pemimpin Bersatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker