Fadhli Shaari mahu terajui muafakat Melayu Islam

KETUA Pemuda Pas yang baharu, Ahmad Fadhli Shaari mahu memastikan sayap pemuda parti itu terus mendokong hasrat parti dan menerajui muafakat antara Melayu Islam di negara ini.

Antara agenda besar yang akan dibawa beliau ialah memperkemaskan pengurusan organisasi Dewan Pemuda Pas agar sentiasa kekal relevan dan agile, sesuai dengan sifat seorang pemuda yang sentiasa bersemangat dan tangkas dalam gerak kerja.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Yang Berhormat (YB) mendapat kepercayaan ahli-ahli Pas untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda yang baharu. Bagaimana YB melihat pemilihan itu akan menjadi satu tanggungjawab yang besar untuk YB?

AHMAD FADHLI: Tidak dinafikan, menerajui kepimpinan anak muda Pas merupakan satu tanggungjawab yang besar. Namun, saya memandang ini sebagai amanah serta kepercayaan yang diberikan daripada ahli dan akan berusaha sebaiknya sepanjang memegang jawatan ini. Insya-ALLAH, ALLAH sentiasa bersama dan bantu hamba-hamba yang berjuang di atas jalan-Nya.

 

Ahmad Fadhli ketika bertemu dengan rakyat.
Ahmad Fadhli ketika bertemu dengan rakyat.

 

Apa perkara-perkara yang menjadi keutamaan YB untuk menerajui Dewan Pemuda Pas bagi tempoh tiga tahun ini?

Keutamaan terkini adalah meyakinkan anak-anak muda untuk memberi kepercayaan kepada Pas dalam menangani isu-isu yang membelenggu rakyat seperti pengangguran belia, kenaikan harga barang, rasuah, salah guna kuasa, gejala sosial anak muda dan lain-lain.

Selain itu, selari dengan tema Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-62, #MemacuPerpaduan, Dewan Pemuda Pas akan terus mendokong hasrat parti untuk menerajui muafakat Melayu Islam di Malaysia.

Bagi merealisasikan agenda-agenda yang besar ini, keutamaan saya juga adalah untuk memperkemaskan pengurusan organisasi Dewan Pemuda Pas agar sentiasa kekal relevan dan agile sesuai dengan sifat seorang pemuda yang sentiasa bersemangat dan tangkas dalam gerak kerja.

Selaku sayap parti, berapa ramai keahlian terkini Pemuda Pas dan sekuat mana tahap sokongan golongan muda terhadap Pas terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Setakat ini, alhamdulillah, jumlah keahlian Pemuda Pas yang aktif melebihi 200,000 orang di seluruh negara.

Kami ada penuh keyakinan, insya-ALLAH, masyarakat muda kini lebih objektif dalam menilai dan memberi sokongan mereka kepada calon PRU15 yang berintegriti, berkredibiliti dan calon muda lebih memahami aspirasi anak muda itu sendiri.

Sejak Pas menjadi salah satu parti gabungan dalam kerajaan, kredibiliti dan daya kepimpinan anak muda Pas di semua peringkat termasuk di kampung-kampung dilihat semakin menyerlah. Apa pandangan YB?

Alhamdulillah, ini adalah hasil sokongan akar umbi yang kuat dan hasil amal dakwah yang berpanjangan. Pemuda Pas kini boleh dikatakan berada dalam hampir semua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyampaikan mesej dakwah.

Antara jentera di bawah Pemuda Pas yang dikenali masyarakat ialah Jabatan Amal Malaysia (JAM), ‘semut merah’ yang sedia berkhidmat membantu masyarakat.

Alhamdulillah, sepanjang krisis Covid-19 menimpa negara, JAM telah menghantar ribuan sukarelawan ke pusat pemberian vaksin (PPV), kempen derma darah yang diiktiraf oleh Pusat Darah Negara (PDN) dan bantuan ketika bencana.

Pada Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini, Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyebut setiap pemimpin dan ahli perlu berperanan sebagai ‘ejen penerangan parti’. Apa tindakan lanjut Pemuda Pas bagi melaksanakan perkara ini menerusi pendidikan politik?

Kami sambut baik saranan Tuan Guru Presiden, dan Pemuda Pas perlu menjadi wartawan dan pemberita parti malah kerajaan.

Penguasaan media sosial adalah menjadi keutamaan kepada semua jentera penerangan di setiap peringkat.

Pemuda Pas sentiasa memperbaiki strategi penerangan dan bergerak dengan lebih bersistematik dalam bertindak balas serta kreatif dalam penyampaian di alaf media baharu. Kami prihatin dan sentiasa cakna dengan algoritma media sosial agar dapat memaksimumkan capaian hebahan-hebahan.

Pada pandangan YB, mengapa golongan muda fobia dengan politik dan implikasi jika memisahkan politik daripada agama?

Berdasarkan keputusan PRU14, kita melihat anak muda lebih mudah terpengaruh dengan janji palsu dan fitnah yang tersebar dalam media sosial.

Tambahan pula, anak muda juga semakin muak dengan tindakan-tindakan ‘politiking’ oleh warlord politik yang mengamalkan budaya politik konvensional iaitu berasaskan kepada acuan barat.

Justeru itu, Pas pada tahun 2016 telah mengetengahkan cadangan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Tujuh ciri BPMS iaitu politik bertunjangkan prinsip; politik dakwah dan amar makruf nahi mungkar; politik penyelesaian berasaskan Islam; politik utamakan rakyat; politik damai dan diplomasi; politik benar bukan persepsi serta politik rasional dan profesional.

 

Ahmad Fadhli berkesempatan untuk bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahmad Fadhli berkesempatan untuk bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

 

Peratus pengundi muda yang tinggi menyebabkan rakyat mahu lebih ramai calon muda bertanding kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15. Berapa sasaran kerusi yang ingin ditandingi Pemuda Pas dan keyakinan untuk menang?

Jumlah kerusi akan ditentukan oleh Pas Pusat. Walau bagaimanapun, Pemuda Pas sentiasa ambil serius dan akan terus menyediakan calon-calon yang berpotensi untuk menang pada PRU15.

Pemuda Pas juga berhasrat agar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah kerusi yang Pas bertanding pada PRU15 akan ditandingi oleh calon Pas muda yang terdiri daripada Pemuda Pas, Muslimat Pas dan Ulamak Pas yang berumur 40 tahun ke bawah.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan calon parti kerajaan bertembung sesama sendiri. Situasi sama dikhuatiri berlaku pada PRU15. Apa pandangan YB?

Perkara yang berlaku di masa hadapan kita tidak boleh menjangka. Pas sentiasa berusaha ke arah penyatuan. Selagi belum sampai hari penamaan calon, selagi itu pintu dan usaha penyatuan masih lagi terbuka.

Masih ada pihak yang tidak dapat menerima pendirian Pas berhubung penyertaan parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) sehingga dituduh main dua kolam. Adakah MN berisiko terbubar?

Ini adalah jelas sekadar spekulasi, yang benarnya hala tuju Pas masih sama seperti dimuktamadkan dalam muktamar Pas baru-baru ini.

Pilihan Pas adalah menyatukan rakyat dengan politik harmoni dan sejahtera, kami akan terus memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN.

Bagaimana Pemuda Pas memainkan peranan menjayakan konsep Keluarga Malaysia?

Kami menyambut baik seruan Keluarga Malaysia daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana konsep ini mampu menjamin kestabilan dan keharmonian negara.

Konsep Keluarga Malaysia selari dengan prinsip Islam seperti dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang membawa maksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Tambahan pula, konsep ini juga selari dengan konsep BPMS yang dibawa oleh Pas dan sememangnya budaya yang baik inilah kita nak bawa dalam politik tanah air.

Pas sudah mulakan usaha ini lebih awal dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada tahun 2010 yang dahulunya Kelab Penyokong Pas (KPP).

Dewan ini dianggotai oleh masyarakat bukan Muslim yang berpendirian Pas mampu mentadbir dengan dasar-dasar Islam dengan penerimaan realiti kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia; konsep adil bagi semua, saling bantu membantu dan perpaduan umat manusia.

Apa harapan YB terhadap masa depan negara?

Pas seawal tahun 2018 telah merangka Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden.

Berpandukan WINS 2051 dan pasca pandemik Covid-19, saya berharap ekonomi Malaysia terus pulih dan terus maju berkembang selaras pencapaian negara-negara maju yang lain.

Akhirnya, saya berharap agar anak-anak muda akan lebih cakna akan situasi politik dan perkembangan dunia semasa, sekali gus lebih matang memilih kepimpinan negara yang akan datang.

 

Ahmad Fadhli ketika pembentangan Bajet 2022 di Parlimen.
Ahmad Fadhli ketika pembentangan Bajet 2022 di Parlimen.

 

ANEKDOT

Apa peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan yang boleh dikongsi?

Detik penting dalam hidup saya ialah apabila saya diberikan tanggungjawab untuk menjadi Setiausaha Akhbar Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada tahun 2010.

Ia menjadi satu titik peralihan saya daripada dunia akademik kepada dunia politik, dan banyak perkara saya belajar daripada Almarhum serta kenangan-kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Saya berpuas hati dapat berkhidmat dengan beliau sehingga ke akhir hayat Almarhum pada awal tahun 2015.

Jika tidak menjadi ahli politik apa cita-cita sebenar?

Saya sebenarnya daripada kecil bercita-cita untuk menyertai politik dan saya suka berpidato. Namun, meningkat dewasa dan melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir saya hanya menyimpan hasrat untuk mendalami sebanyak mungkin ilmu-ilmu agama.

Saya juga menyimpan hasrat untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya kerana itulah saya melanjutkan pengajian di peringkat PHD dalam bidang ekonomi dan perniagaan, barangkali boleh mencuba nasib untuk berniaga.

PROFIL

Ahmad Fadhli Shaari

– Lahir pada 18 Julai 1980 di Pasir Mas, Kelantan

– Menerima pendidikan di Maahad Tahfiz Al-Quran, Pulai Chondong (1992 to 1999)

– Melanjutkan pengajian Sultan Ismail Petra International Islamic College (KIAS) (2000–2003)

– Belajar di Kuliyyah Islamic Preaching, Universiti al-Azhar (2003–2004).

– Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sejak April 2020

– Ahli Parlimen Pasir Mas sejak Mei 2018

Fadhli Shaari mahu terajui muafakat Melayu Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker