Budaya peluk dan cium punca berlaku kluster jangkitan
SHAH ALAM – Tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang rendah termasuk budaya peluk cium yang masih dilakukan masyarakat ketika berkumpul dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, budaya itu yang diamalkan dalam keadaan pandemik ketika ini menyebabkan berlaku kluster jangkitan.
Menurutnya, perkumpulan itu berlaku dalam majlis-majlis sosial termasuk di kampung kerana ramai masyarakat bandar pulang ke kampung halaman selepas aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan pada 11 Oktober lalu.
“Dalam majlis sosial seperti resepsi perkahwinan, kenduri, doa selamat, sambutan hari jadi, sambutan perayaan dan ziarah kematian kita lihat budaya peluk cium itu antara keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan tetamu lain masih dibuat dan keadaan inilah yang mencetuskan kluster jangkitan.
“Situasi ini mungkin berlaku sebab orang ramai sudah mula leka selepas kerajaan beri kebebasan pergerakan dan ramai yang lengkap vaksinasi. Jadi mereka rasa seronok dan kembali amalkan budaya peluk cium, tak jaga penjarakan fizikal dan tak pakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan kes Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan ketika ini hingga mengakibatkan berlaku pertambahan penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital.
Peningkatan jangkitan harian kes Covid-19 dilaporkan berlaku sejak Ahad lalu yang merekodkan 4,343 kes dan jumlah itu terus bertambah setiap hari dan melonjak kepada 6,517 pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr Zainal menegaskan, oleh itu aktiviti berkumpul yang tidak mematuhi SOP itu yang perlu dikawal.
Katanya, ia kerana jangkitan bukan berlaku disebabkan kebenaran rentas negeri atau daerah selagi orang ramai mematuhi SOP.
“Kalau katakan kita rentas negeri pergi ke pantai, gunung atau pergi ke pusat beli belah yang tidak libatkan perkumpulan, ia tidak datangkan risiko jangkitan dan tiada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, untuk menangani masalah peningkatan kes itu, pendekatan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi boleh dilakukan kerana ia akan beri kesan kepada ekonomi, sosial dan mental rakyat.
Oleh itu, Dr Zainal mengingatkan orang ramai agar kembali mengamalkan SOP yang ketat dan melakukan ujian saringan Covid-19 kendiri dengan kit ujian kendiri sebelum menghadiri sebarang aktiviti perkumpulan.
Katanya, kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula perlu memperketatkan pemantauan di kawasan kejiranan termasuk di kawasan tumpuan ramai.
“Tindakan tegas dengan menutup premis perniagaan seperti restoran yang melanggar SOP kapasiti pelanggan juga patut dibuat untuk menunjukkan ketegasan kerajaan dalam kes pelanggaran SOP ini,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani turut senada dengan Dr Zainal.
Menurut beliau, ketidakpatuhan SOP apabila berlaku perkumpulan individu menyebabkan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat.
“Ketika berkumpul itu, cukup kalau ada seorang individu yang positif, ia akan menjangkiti individu lain di sekelilingnya sekiranya mereka mengabaikan SOP.
“Justeru, untuk mengekang penularan daripada terus berlaku pematuhan terhadap SOP itu yang mesti ditekankan selain kita juga perlu kurangkan perjumpaan,” katanya.
Dr Mohd Dzulkhairi berkata, penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 juga harus terus menjadi norma baharu kehidupan orang ramai.
Ujar beliau, sekiranya aktiviti perkumpulan tidak dapat dielakkan, orang ramai perlu melakukan ujian saringan kendiri terlebih dahulu sebelum hadir di perjumpaan berkenaan bagi memastikan mereka tidak menjadi penyebar virus tersebut.
Katanya, komitmen semua rakyat diharapkan mampu membantu negara menurunkan kadar jangkitan hingga kes merekodkan angka yang rendah dan kes sifar seperti tahun lalu.
Budaya peluk dan cium punca berlaku kluster jangkitan
Baca Artikel Menarik:
- Muhyiddin masih jaja cerita dongeng – Najib
- PRN Melaka: Hentam Umno fokus kempen Muhyiddin
- ‘Sotong Kayangan’ muncul dahulu sebelum Siakap
- Maya Karin dibayar RM2 ribu untuk filem Hollywood
- Jangan sampai kita hempas makanan – Rider
- Suami Nynaa Harizal failkan permohonan supaya isteri kembali taat
- Muhyiddin dan Hadi ‘hentam’ Barisan Nasional
- Kakaktua bongkar suami curang dengan pembantu rumah
- ‘Letupan’ enjin sebuah pesawat Malaysia Airlines 50 penumpang ‘cedera’
- Amaran Allah dalam 10 Ayat Pertama Surah al-Kahfi
- Dah Masuk 5 Series, Nasha Aziz masih ‘bergetah’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Muhyiddin jangan lupa, janji manis Manifesto PH ditulis pemimpin Bersatu
You must be logged in to post a comment.