Bukit Aman gerakkan semua pasukan pemantau SOP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan semua Pasukan Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) yang meningkat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata pada masa ini pihaknya masih menggunakan pendekatan nasihat dan amaran berbanding kompaun terhadap individu melanggar SOP PPN di tempat awam.

Bagaimanapun, katanya, polis akan mengeluarkan kompaun serta-merta kepada mereka yang mengulangi kesalahan dan masih berdegil dengan arahan penguat kuasa.

“Kita ada berbincang sebelum ini dan bersetuju untuk kembali menggerakkan pasukan itu secara menyeluruh selepas mendapati kes COVID-19 mula meningkat susulan kelonggaran beberapa aktiviti sosial.

“Ini menunjukkan ada segelintir yang alpa terhadap pematuhan SOP. Nasihat saya senang iaitu elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat (close conversation).

“Semua pihak kena mainkan peranan masing-masing bagi memulihkan negara daripada ancaman penularan COVID-19,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, pihaknya sedang memantau hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan (Rt) meningkat kepada angka 1.0.

Khairy turut menggesa individu diberi janji temu dos penggalak COVID-19, supaya mengambil dos berkenaan.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Ditanya individu memakai pelitup muka di bawah dagu, Hazani berkata, pihaknya kerap mengesan kesalahan berkenaan di kawasan awam sejak kebelakangan ini.

“Bukan bawah dagu sahaja, malah pelitup muka turut dilihat disangkut di lengan. Kesalahan pelanggaran SOP lain tiada penjarakan fizikal dan bercakap dalam jarak dekat.

“Sebab itu kita gerakkan pasukan pemantauan terutama di tempat tumpuan awam pada hujung minggu. Kita sentiasa tegas dalam penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan mengikut keperluan,” katanya.

Bukit Aman gerakkan semua pasukan pemantau SOP


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Siakap kayangan, usahawan nyaris terkena

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker