PLUS jangka 300 ribu kenderaan di lebuh raya bermula esok

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300 ribu kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di lebuh raya seluruh negara, bermula pada cuti perayaan Hari Wesak esok hingga 10 Mei depan.

Pengarah urusan PLUS, Azman Ismail berkata, Inisiatif Gerak Malaysia membolehkan orang ramai yang terkandas di negeri-negeri lain ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dapat kembali ke rumah masing-masing untuk kembali bekerja.

“Pihak polis sudah memaklumkan bahawa pergerakan ini akan berlangsung selama 4 hari.

“Pada hari pertama (7 Mei), pemohon Gerak Malaysia yang sudah mendapat kebenaran akan bergerak pulang dari Kuala Lumpur ke destinasi masing-masing.



“Hari kedua (8 Mei) melibatkan perjalanan mereka yang terkandas dari Perak, Johor dan Kelantan, manakala pada 9 Mei pula melibatkan mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

“Pada hari terakhir Gerak Malaysia pada 10 Mei (Ahad) pula adalah bagi mereka yang membuat perjalanan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu untuk kembali semula ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pemandu dinasihatkan untuk mengamalkan penjarakan sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

“Ini berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pelanggan di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.



“PLUS menasihatkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara,” katanya.

Jelas Azman, orang ramai turut dinasihatkan sentiasa mematuhi garis panduan penjarakan sosial ketika beratur bagi menggunakan tandas awam di R&R dan hentian sebelah.

“Sementara itu, semua surau di R&R juga masih ditutup dan tiada kemudahan pembelian makanan dan minuman di gerai-gerai R&R disediakan sepanjang tempoh Gerak Malaysia.

“Sepanjang tempoh tersebut juga, stesen minyak di lebuh raya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja,” katanya..



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker