Idris Haron ajak UMNO bersama DAP dan PKR

Idris Haron ajak UMNO bersama DAP dan PKR

MELAKA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron berkata, bekas partinya, Umno, perlu beralih daripada MCA dan MIC memandangkan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi disukai masyarakat Cina dan India.

Idris, yang dipecat daripada Umno selepas menarik balik sokongan kepada kerajaan Melaka pimpinan BN berkata, model lama kerjasama dengan MCA dan MIC tidak lagi relevan dengan Umno berisiko kehilangan lebih banyak sokongan masyarakat Cina dan India.

“MCA sudah tidak bagus lagi untuk Umno. MIC sebagai parti politik tidak lagi relevan buat Umno. Ini kerana mereka tidak dapat meraih sokongan daripada masyarakat Cina dan India yang merupakan komposisi rakyat terbesar di Melaka ini.

“PKR dan DAP yang seharusnya menjadi komponen (bersama) Umno untuk terus menerajui landskap politik negara.

“Ajak DAP, ajak PKR, ajak Amanah, atau sesiapa sahaja yang ingin bersama bagi membina sebuah landskap politik baharu, ufuk baharu bagi negara,” katanya dalam wawancara bersama FMT di Melaka.

Idris, yang menganggotai Umno selama 31 tahun sebelum dipecat berkata, Umno perlu mengenakan syarat ketat kepada MCA dan MIC untuk kekal sebagai parti komponen BN.

Beliau menegaskan, negara perlu dipimpin oleh kerajaan yang sepenuhnya mewakili semua kaum.

“Kalau tak suka (nama) DAP, jangan panggil DAP. Panggil MDP ke, ‘Malaysian Democratic Party’,” katanya berseloroh.

Golongan ekstremis, rasis dan cauvinis akan sentiasa wujud, katanya.

“Dalam DAP ada, dalam Umno ada, dalam MIC dan MCA pun ada. Itu sememangnya satu sifat semulajadi parti politik,” tambahnya.

“Tetapi apabila kita duduk bersama, ketepikan segala ekstremisme itu. Ketepikan segala perbezaan, cari titik persamaan. Persamaan apa? Untuk hidup dalam keadaan selamat, aman dan makmur.

“Saya tak puas hati tengok cara budaya politik hari ini, tidak akan boleh membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik lagi pada masa hadapan.”

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu juga memberi gambaran bahawa beliau mungkin akan bertanding di kerusi berlainan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dengan berkata, pada pilihan raya umum (PRU) 2018, beliau tidak pun menjangkakan akan dicalonkan.

Sebelum ini katanya, beliau ingin memberi laluan kepada calon muda tempatan dari Sungai Udang, sambil menambah, nasihatnya kepada pengundi di situ adalah undi mengikut individu, bukan parti.

“Saya anggap itu sebagai satu peluang kepada orang Sungai Udang untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada anak tempatan membuktikan kebolehan mereka.

“Saya lebih membawa mesej, ketika itu, jangan pilih parti, pilih personaliti, (pilih) orang yang boleh buat kerja, bersama rakyat, yang tahu sakit pening rakyat dan sebagainya,” katanya. FMT

Idris Haron ajak UMNO bersama DAP dan PKR


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Timbalan Menteri tersipu malu bila ditanya hendak bernikah ke?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker