Anwar tanding Parlimen Tambun, akar umbi PKR sambut baik?

Sebaran :

IPOH: Ahli akar umbi PKR Parlimen Tambun menyambut baik cadangan mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, rata-rata mereka memberi maklum balas positif dan menyifatkan pemilihan Anwar adalah satu keputusan tepat bagi mengukuhkan PKR di Perak.

“Saya dan pimpinan cabang mempelawa Presiden PKR untuk bertanding di Parlimen Tambun dan ini adalah ketetapan yang diputuskan setakat ini.

“Kami mahukan Datuk Seri Anwar kerana sebelum ini apabila bertanding di Pulau Pinang, beliau menang begitu juga di Negeri Sembilan. Jadi kami mohon kali ini di Perak pula, kami rasa pilihan terbaik adalah Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan dialog bersama peniaga dan penjaja kecil di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Arafat, rakyat Perak khususnya pengundi di Tambun juga memberi maklum balas positif mengenai pemilihan Anwar untuk bertanding di Parlimen itu.

“Inilah kemahuan rakyat dan mereka harapkan perkara itu berlaku. Jika menjadi kenyataan, ia akan membawa sinar kepada rakyat di Parlimen Tambun.

“Saya sendiri telah maklumkan perkara itu kepada Presiden parti, buat masa ini kita tunggu dan lihat apa keputusan Presiden dan pimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai DAP yang dilihat berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) milik PKR, beliau berkata, sebarang keputusan tertakluk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pihaknya menghormati mana-mana pihak yang berminat untuk bertanding di kerusi kawasan PKR dan melihat ia sebagai cubaan biasa dalam politik.

“Keputusan akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan saya harap keputusan itu nanti akan mengikut kehendak dan suara akar umbi.

“Faktor itu penting kerana kita bertanding untuk menang. Bukan soal tanding saja-saja. Bertanding ini siapa pun boleh bertanding tetapi menang itu bergantung kepada sokongan akar umbi dan bahagian,” katanya.

Anwar tanding Parlimen Tambun, akar umbi PKR sambut baik?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pertembungan heavyweight di Parlimen Tambun


Sebaran :

Leave a Reply