‘Saya pendosa, bukan sempurna’

‘Saya pendosa, bukan sempurna’

Cukuplah, apa yang berlaku, sudah pun berlalu… Biarpun tangkai hati pernah dirobek dan maruah dipijak-pijak dengan pelbagai kontroversi termasuklah isu pertelingkahan bersama bekas suami, namun, tidak sedikitpun pelakon sensasi, Nadia Brian, 31, menyesali takdir yang tercipta buatnya.

Pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda dan Syif Malam Raya itu mungkin hampir tumbang, namun, akhirnya perlahan-lahan bangkit berjuang dalam mempertahankan semula maruah yang tercalar.

Hari ini, pelakon berimej seksi itu bukan seperti ‘Nadia Brian’ dahulu. Nadia bangkit dengan semangat lebih positif dalam hidup selepas mengharungi kehancuran rumah tangga.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi mahu meneruskan kehidupannya dengan memberi fokus pada mental, kesihatan dan kerjaya seninya.

Tanpa berselindung, Nadia mengakui: “Sekarang saya hanya sibuk diri. Iyalah, dahulu berteman jika ada masa terluang, sekarang tiada siapa.

“Jadi, lebih baik saya menyibukkan diri dengan kerjaya dan mencantikkan diri.

“Saya alihkan pemikiran kepada perkara lebih positif. Daripada meratap kisah silam dan hidup keseorangan, ada baiknya saya bergembira dan bersenam.

“Secara jujurnya, saya lebih gembira dengan kehidupan sekarang. Alhamdulillah, setiap kontroversi tidak memberi impak pada kerjaya, sebaliknya, terus berkembang dengan positif.

“Sebagai bekas penuntut Diploma Seni Teater dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, UiTM Shah Alam, saya pastinya mahu kerjaya berkembang dengan baik, tidak terhalang kisah kontroversi.”

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, dia bersyukur mempunyai sistem sokongan yang kuat, terutama ibunya yang juga pegawai psikologi.

“Saya sangat bertuah, ibu saya mahir dalam bidang psikologi. Jadi, ibu banyak membantu memberikan semangat dan panduan untuk membentuk saya menjadi sekuat ini.

“Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati tiada siapa yang tahu. Memang sukar merawat luka dalam hati, menuntut kekuatan mental untuk sembuh.

“Sejak kecil, ibu memang mengambil berat mengenai kesihatan mental. Ini kerana mental adalah ciptaan Allah ketika kita masih berada dalam perut ibu, jadi kuasanya amat besar.

“Ada kalanya, saya rasa okay, tetapi sebenarnya tidak okay. Jadi, bagaimana mahu mencari keseimbangan? Disebabkan itu, saya bertemu dengan pakar kesihatan mental kerana tidak mahu merisaukan ibu,” katanya kepada BH Online.

Tambah Nadia, dia tidak malu berkongsi pernah bertemu pakar kesihatan mental untuk memperoleh kekuatan hidup.

“Bagi saya, bukan perkara luar biasa jika kita bertemu pakar kesihatan mental.

“Banyak perkara dalam hidup sukar untuk meluahkannya. Namun, jika dipendam dan menyimpan dalam diri akan melarat dan membawa kepada penyakit depresi.

“Penyakit kesihatan mental dan depresi ini tidak kenal siapa. Tidak kisah, artis atau orang biasa, semuanya ada peluang terkena jika banyak memendam rasa dan masalah,” katanya.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Akulah Balqis itu berkata, dia akan terus bertemu dengan pakar kesihatan mental jika ada masalah dan jiwa bercelaru.

“Saya akui terus bertemu pakar kesihatan mental dan berkongsi apa yang saya alami. Namun, saya mengamalkan zikir apabila saya sedang bersedih.

“Tidak dinafikan, saya banyak menangis ketika pada awal perceraian.

“Namun, selepas mengamalkan zikir, Alhamdulillah, kesihatan mental semakin baik dan jiwa lebih tenang untuk menghadapi ujian Allah,” katanya.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pelakon Nadia dan bekas suami, Muizz Nasruddin akhirnya menemui titik noktah apabila tiga bulan tidak sebumbung dan bercerai talak satu pada 3 April lalu.

Mengulas soal jodoh, Nadia berkata, apa yang berlaku tidak sedikit meninggalkan perasaan serik kembali menjalinkan hubungan istimewa jika sudah sampai waktu.

“Namun, saya rasa lelaki seperti ‘seram’ mahu mendekati saya.

“Saya pula tidaklah serik untuk mengenali lelaki lain. Namun, biarlah perkenalan mengambil masa. Saya pun tak terdesak sangat mencari jodoh,” katanya.

Terus dikaitkan berimej seksi, Nadia berkata, dia memutuskan menjadi diri sendiri, namun, tidak teragak-agak mempertahankan diri sekiranya ada komen berbaur negatif.

“Kalau diikutkan, sebelum berkahwin saya memang seksi, tetapi tidaklah berlebihan sampai gambar terpaksa dikaburkan dan terlebih terdedah.

“Bagi saya, biarlah netizen nak cemuh apapun. Jika ada komen keterlaluan, saya padam sahaja. Sebab saya tidak mahu ibu membacanya. Namun, komen dan teguran baik, saya balas.

“Saya membaca setiap komen yang ditulis. Bagaimanapun, saya juga ‘pendosa’, tidak sempurna dan cuma berubah untuk menjadi lebih baik.

“Saya percaya Allah sahaja yang boleh menilai, jadi, saya tidak ambil kisah kecaman netizen. Bila netizen tuduh keterlaluan, saya kena mempertahankan maruah,” katanya.

Terdahulu, keretakan rumah tangga Nadia dan Nasruddin dapat dihidu apabila tiada lagi gambar bersama dalam laman sosial pada September, tahun lalu.

Kemudiannya, Muizz mengejutkan ramai memuat naik gambar hitam putih berserta keterangan gambar diri dikhianati. Nadia berdepan kecaman apabila didakwa curang dengan dua lelaki, sebelum rumah tangga yang dibina tidak sampai setahun menyembah bumi. BH

‘Saya pendosa, bukan sempurna’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda bakal berdepan tindakan saman

Zul Ariffin buka mulut tentang hubungan dengan Sabrina

Cerai, hilang datuk dalam sehari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker