Al-Quran sumber semua cabang ilmu – Ismail

Al-Quran sumber semua cabang ilmu – Ismail

Al-Quran merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam yang merupakan asas bukan hanya bagi agama dan kerohanian semata-mata, tetapi juga semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata al-Quran menganjur dan mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis serta menggunakan akal yang dikurniakan Allah untuk dimanfaatkan.

Ismail Sabri berkata al-Quran merupakan wahyu Allah yang diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, manakala teknologi pula ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan manusia.

“Gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis Nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

“Perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Teknologi dan agama saling menyempurnakan antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) hari ini.

Beliau berkata penganjuran MTQJK itu menunjukkan bagaimana teknologi dapat digunakan ke arah kebajikan seiring dengan prinsip Islam.

MTQJK itu menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah yang pernah menjadi johan tilawah kebangsaan bersiaran secara langsung dari 11 lokasi dengan boleh disaksikan menerusi pelbagai capaian media.

“Alunan ayat-ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata penularan wabak Covid-19 turut mengubah cara hidup Keluarga Malaysia kepada norma baharu termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran.

Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, Ismail Sabri berkata al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian.

“Saya difahamkan sejak penularan wabak Covid-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

“Banyak institusi sama ada kerajaan atau swasta telah memperkenalkan kelas-kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, taranum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni tersebut memudahkan masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran,” katanya.

MTQJK anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diadakan selama lima hari sejak Jumaat lepas yang menampilkan seramai 26 qari dan qariah johan tilawah kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri, dengan mempersembahkan bacaan al-Quran secara bertaranum.

Pada malam ini, qari Syeikh Ismail Mohamad dari Terengganu dan Ahmad Faizul Ghazali Al-Hafiz (Pahang) serta qariah Amnah Ayup (Sarawak) dan Nor Farhatul Fairuzah Panut dari Negeri Sembilan, mempersembahkan bacaan al-Quran.

Majlis yang diacarakan oleh Amin Idris dan Irma Hasmie turut menyaksikan Jakim membuat inovasi persembahan tadabbur dengan teknik kesan visual AR.

MTQJK julung kali diadakan itu merupakan alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2021M yang ditangguhkan berikutan situasi pandemik Covid-19 dan disiarkan secara langsung di TV1 serta TV OKEY. FMT

Al-Quran sumber semua cabang ilmu – Ismail


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kekayaan Elon Musk kini RM1 trilion

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker