Anwar sedia buktikan di mahkamah Muhyiddin tak hapus hutang peneroka Felda

Anwar sedia buktikan di mahkamah Muhyiddin tak hapus hutang peneroka Felda

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia untuk membuktikan di mahkamah dakwaannya bahawa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak mengambil langkah untuk menyelesaikan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengulangi bahawa dia telah melaksanakan sepenuhnya penghapusan hutang peneroka Felda pada 2021, dengan menegaskan bahawa Anwar sengaja salah tafsir dan memutarbelitkan perkara itu untuk memfitnahnya.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 10 Okt lepas terhadap saman fitnah Muhyiddin, Anwar memetik justifikasi pembelaan (bersedia untuk membuktikan dakwaan di mahkamah) dan komen yang berpatutan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa apabila hapus kira hutang RM8.3 bilion diumumkan, tiada sebarang dana kerajaan atau dana kerajaan yang mencukupi sepadan diberikan untuk memastikan Felda dapat memenuhi obligasi-obligasi kewangan mereka.

“Pinjaman peneroka RM8.3 bilion kekal dalam buku-buku kewangan Felda dan tidak dihapus kira semasa pentadbiran kerajaan PN atau kerajaan BN-PN tetapi sebaliknya pada atau selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

“Anwar pada atau pada sekitar Jun 2023 telah melaksanakan Perjanjian-Perjanjian Dana yang telah membolehkan peruntukan tahunan lebih kurang RM 1 bilion dana untuk disalurkan kepada dan/atau diterima oleh Felda selama 10 tahun untuk antara lain membolehkan pembayaran balik Sukuk/KP oleh Felda.

“Dana di atas telah membolehkan Felda untuk memenuhi obligasi-obligasi kewangan mereka. Ini adalah untuk manfaat peneroka-peneroka Felda dan telah pada dasarnya membiayai atau menyempurnakan hapus kira hutang RM8.3 bilion,” kata Anwar sebagai defendan dalam dokumen pembelaan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menetapkan saman fitnah itu selama 8 hari perbicaraan penuh tahun depan: iaitu dari 2 hingga 5 Dis dan 16 hingga 19 Dis.

Dalam jawapan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Nov, Muhyiddin mendakwa Anwar dengan sengaja, secara melulu dan berniat jahat menerbitkan beberapa kenyataan yang menurutnya berunsur fitnah dan tidak benar walaupun defendan mempunyai kuasa dan sumber Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Muhyiddin sebagai plaintif menegaskan bahawa penstrukturan semula hutang Felda melalui Kertas Putih Felda telah dibentangkan pada 2019 di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad tetapi ia tidak dilaksanakan.

Muhyiddin mendakwa ketika dia kemudian menjadi perdana menteri dia berjaya melaksanakan hapus kira hutang peneroka Felda pada 2021, sambil menegaskan isu hutang Felda terbahagi kepada dua, iaitu hutang agensi kepada penghutang luar dan hutang peneroka Felda kepada agensi itu.

“Ini bermakna kerajaan perpaduan yang kini dinamakan sebagai kerajaan Madani yang tidak mahu meneruskan pelupusan hutang peneroka Felda yang telah dilaksanakan oleh plaintif.

“Motif defendan berbuat demikian adalah jelas iaitu supaya defendan dapat menyalahkan plaintif. Defendan kemudiannya mendabik dada pada Hari Peneroka Felda 2023 bahawa defendanlah yang meluluskan dan melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda.

“Politik picisan defendan amat tidak bermoral untuk menyalahkan orang lain dan membanggakan dirinya sendiri. Defendan sengaja memanipulasikan fakta dengan mengelirukan isu hutang Felda dan isu hutang peneroka Felda yang secara jelasnya adalah dua perkara yang berbeza,” kata presiden Bersatu itu.

Muhyiddin mendakwa dokumen yang ditandatangani oleh Anwar adalah berkenaan Sukuk Felda sebanyak RM9.9 bilion dan geran kerajaan sebanyak RM990 juta setahun selama 10 tahun dan bukannya pelupusan hutang peneroka Felda.

“Oleh yang demikian, plaintif menegaskan dan akan menegaskan bahawa pernyataan pembelaan adalah suatu pembelaan palsu, tidak berasas secara keseluruhan dan suatu pemikiran kemudian (afterthought) yang amat mustahil dan tidak boleh dipercayai atau diterima dan sepatutnya ditolak sepenuhnya,” kata Muhyiddin.

Anwar diwakili oleh firma guaman Daniel & Wong, manakala firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership mewakili Muhyiddin. Mk

Anwar sedia buktikan di mahkamah Muhyiddin tak hapus hutang peneroka Felda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kriteria pemilihan tentera Al-Qassam

PU Syed tegur usahawan sensasi isu solat lepas subuh

Perebutan kuasa bakal berlaku di dalam Bersatu

Sikap ‘Humble’ Siti Nurhaliza, didedahkan Asyraf Khalid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker