UMNO hanya mahu kerjasama dengan Pas?

SHAH ALAM – UMNO Melaka memberi bayangan parti itu berkemungkinan hanya mempertimbangkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) itu yang akan diadakan pada 20 November hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hal ini berlandaskan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang jelas menyatakan parti itu sudah muktamad untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu menegaskan keputusan PAU 2020 tidak membabitkan kerjasama dengan Pas, justeru UMNO pada ketika ini sedang menelusuri peluang bekerjasama dengan parti Islam berkenaan.



Justeru, Ab Rauf menjelaskan soal kemungkinan wujud kerjasama antara UMNO dan Pas akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat khas pada minggu hadapan.

“Keputusan PAU tahun lepas mengatakan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi PAU tidak kata tidak boleh bekerjasama dengan Pas.

“Jadi berdasarkan keputusan PAU, UMNO sudah muktamad untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

“Kalau tanya soal kerjasama dengan Pas, perkara itu akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat khas pada minggu hadapan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.



AB RAUF
AB RAUF

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada PRN Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Dewan Tertinggi BN sebelum keputusan dimuktamadkan.

Katanya, keputusan berkaitan kerjasama itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

Dalam satu sidang media berasingan, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula memberi bayangan bahawa koalisi itu sedang dalam perbincangan untuk membentuk kerjasama dengan rakan politik termasuk UMNO dan BN.



Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan menjelaskan Pas optimis untuk memastikan kata putus kerjasama membabitkan koalisi PN dan Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menjelaskan segalanya bergantung kepada Pas untuk mencorakkan bentuk kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka, sama ada hanya membabitkan dua parti itu sahaja atau bersama parti lain.

“Dengan UMNO ada cara UMNO dan Pas ada cara Pas, jadi kena cari titik persamaan antara dua parti berkenaan.” – Ab Rauf

Tambah beliau, UMNO dan Pas perlu mencari titik persamaan di antara dua parti berkenaan bagi membolehkan peluang bekerjasama politik dapat direalisasikan.



“Soal sama ada kerjasama UMNO (BN) dengan Pas sahaja kelak, itu pun kita tidak tahu lagi.

“Perkara itu terserah kepada Pas, mungkin ada perkara yang perlu diperincikan dan mungkin ada kebaikan bersama yang perlu diperhalusi.

“Dengan UMNO ada cara UMNO dan Pas ada cara Pas, jadi kena cari titik persamaan antara dua parti berkenaan,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO dan BN sudah memuktamadkan senarai calon bagi menghadapi PRN Melaka, Ab Rauf yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengakui parti itu dalam proses memperhalusi cadangan-cadangan daripada UMNO bahagian.



Ujarnya, UMNO belum memuktamadkan lagi senarai nama calon PRN Melaka, namun senarai itu telah diserahkan kepada pucuk kepimpinan parti untuk dibuat saringan dan penilaian.

“Kita ada beberapa kaedah untuk membuat saringan nama calon (PRN).

“Setakat ini UMNO belum mengenal pasti calon muktamad namun senarai itu telah diserahkan kepada UMNO Melaka untuk dibuat saringan dan juga penilaian.

“Ini kerana faktor calon juga penting dalam memenangkan UMNO pada PRN Melaka,” katanya.




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Politik Baru #KeluargaMalaysia, Apa Pola PRN Melaka?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker