Cameron Highlands kembali sesak dengan pelancong

CAMERON HIGHLANDS – Kawasan peranginan Cameron Highlands kembali menjadi tumpuan orang ramai setelah pergerakan rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa Isnin lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu di beberapa lokasi tumpuan mendapati, berlaku penambahan bilangan kenderaan dan kehadiran orang ramai sejak jam 9 pagi sehingga berlaku sedikit kesesakan.

Mereka dilihat berkunjung ke lokasi tumpuan antaranya ladang teh di Ringlet, kebun strawberi di Tanah Rata, tempat makan di Taman Sedia, pasar malam di Brinchang dan pasar Kea Farm yang menjual pelbagai barangan tempatan seperti buah-buahan, sayuran, cenderahati dan makanan ringan.



Pengunjung, Saidi Ismail, 63, dari Kota Bharu, Kelantan mengambil kesempatan singgah bercuti ke Cameron Highlands selepas berkunjung ke rumah anaknya di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Katanya, mereka sekeluarga sudah menjangkakan kesesakan berlaku, namun tidak kisah kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk bercuti selepas lebih setahun berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini kalau ke mana-mana memang akan singgah Cameron Highlands, jadi bila kerajaan dah beri kebenaran, kita rasa seronoklah dapat luangkan masa bersama-sama keluarga.

“Cumanya dalam keadaan orang ramai ni, kenalah jaga-jaga, kekal patuhi semua SOP (prosedur operasi standard) untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya yang kali terakhir ke Cameron Highlands dua tahun lalu.



Laluan ke pasar Kea Farm sedikit sesak akibat pertambahan kenderaan susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan.

Norhaiza Ab Ghani, 53, dari Wakaf Tapai, Terengganu teruja untuk menghabiskan cuti hujung minggu ini bersama keluarga di pusat peranginan itu.

Menurutnya, mereka tiba menaiki dua kenderaan dan telah menempah homestay untuk bermalam.

“Kalau sesak tu biasalah, nama pun tempat pelancongan, saya dan keluarga memang suka ke sini sebab suasananya sejuk, boleh beli sayur-sayur dan bunga segar dengan harga murah untuk dibawa pulang,” katanya.



Penduduk, Mohamed Hashim Saad, 72, berkata, sejak seminggu lalu, jalan-jalan utama sudah sesak dengan kenderaan pelancong dari awal pagi hinggalah melewati malam.

Katanya, ada juga pengunjung terutama dari negeri jauh seperti Johor dan Kedah menjadikan surau dan masjid sebagai tempat berehat dan tidur sementara meneruskan perjalanan percutian mereka.

“Walaupun kedai-kedai belum dibuka sepenuhnya, orang luar tetap ramai datang sampaikan jalan ni sesak sampai ke malam.

“Bagi kami ini pemandangan biasa menunjukkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di sini hidup kembali,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 60 peratus pertambahan kenderaan direkodkan ke kawasan pelancongan itu sejak kelonggaran pergerakan diberikan kerajaan.

Menurutnya, berlaku sedikit kesesakan di lokasi tumpuan terutama di Kea Farm sepanjang dua kilometer, namun aliran trafik adalah terkawal.

“Keadaan kesesakan di Kea Farm ini biasa kerana pengunjung berhenti untuk membeli barang, keseluruhannya aliran trafik di sini adalah terkawal,” katanya.

Kenderaan bergerak perlahan di Selekoh S, dari arah Tanah Rata menuju ke Kampung Raja berhampiran Kea Farm sejak jam 10 pagi pada Sabtu.
Beliau yang ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di kawasan tumpuan ramai pada Sabtu berpuas hati dengan tahap pematuhan orang ramai dan pemilik perniagaan setakat ini



Begitupun katanya, polis tetap menjalankan pemantauan ketat termasuk sekatan jalan raya mengejut atau ‘snap check’ di kawasan sempadan negeri bagi memastikan tiada individu tanpa vaksinasi melepasi masuk ke kawasan peranginan itu.

“SJR mengejut ini diadakan dari semasa ke semasa di Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley untuk pastikan kehadiran pengunjung disaring dari awal.

“Kita tidak mahu mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 cuba masuk ke sini,” katanya.

Cameron Highlands kembali sesak dengan pelancong




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PAS gesa KDN perlu lebih tegas kawal industri arak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker