Beirut bertukar jadi zon perang

PEJUANG Hezbollah melepaskan tembakan di kawasasn Tayouneh, pinggir Beirut hari ini. – AFP

BEIRUT – Kerahan kereta kebal dan pertempuran senjata api menjadikan ibu kota Lebanon, Beirut medan perang hari ini selepas demonstrasi anjuran parti politik Syiah terhadap ketua penyiasat insiden letupan dahsyat di pelabuhan Beirut tahun lalu bertukar ganas.

Bunyi tembakan kedengaran ketika ambulans bergegas mengambil mangsa yang cedera di beberapa jalan lengang, tidak jauh dari Istana Keadilan di mana beratus-ratus penunjuk perasaan berpakaian serba hitam berkumpul untuk menuntut supaya ketua penyiasat berkenaan, Tarek Bitar dipecat.

Beliau menjadi perhatian parti Hezbollah dan Amal kerana mendesak sebilangan pemimpin kanan negara itu dipecat berhubung insiden letupan tersebut.

Menurut beberapa pegawai perubatan, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 20 yang lain cedera akibat terkena tembakan.

Seorang wartawan  agensi berita AFP mendengar beberapa bunyi letupan kuat di kawasan tersebut dipercayai  berpunca daripada bedilan artileri.

“Saya bersama sepupu dan ibu saudara saya. Kami bersembunyi di ruang seluas 2 meter persegi di antara beberapa bilik kerana kami takutkan peluru sesat,” kata Bissan al-Fakih yang tinggal cuma  beberapa ratus meter dari zon pertempuran.

Sementara itu, tentera Lebanon melaporkan bunyi tembakan senjata api di Tayouneh-Badaro iaitu kawasan penempatan Syiah di pinggir Beirut.

“Tentera bergegas untuk menutup kawasan itu dan mengamankan kejiranan-kejiranan di sana. Askar-askar  memulakan rondaan termasuk operasi mencari dan menahan penembak,” kata tentera Lebanon.

Tentera Lebanon memberi amaran akan melepaskan tembakan terhadap sesiapa yang menembak menggunakan peluru hidup dan meminta orang awam mengosongkan kawasan itu.

“Pejuang-pejuang Hezbollah keluar ke jalan-jalan raya yang akan mencetuskan pertempuran besar dan memporak-perandakan negara ini,” kata penganalisis politik, Karim Bitar. – AFP

Beirut bertukar jadi zon perang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kertas Pandora: ‘RM900 bilion tidak masuk akal’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker