Mustahil boleh perbaiki UMNO – Ku Li

PETALING JAYA: Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan parti yang dianggotainya sejak puluhan tahun dahulu, kini menjadi sebuah parti yang tidak boleh diselamatkan lagi.

Beliau berkata, UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang yang menyebabkan sukar untuk parti itu berubah buat masa ini.

“Kita senang sangat dengar cakap orang yang berpangkat, berjawatan dan berduit tanpa menyoal, walaupun pandangan mereka itu lain dengan apa yang diharapkan kita, sebab itu macam-macam benda jadi. Politik tidak menentu, tiga kerajaan dalam tiga tahun.

“Kalaulah dalam UMNO itu sendiri tidak begitu menyenangkan, tak mungkin diyakini boleh bersatu balik dan menjadi gagah kuat seperti dulu,” katanya ketika sesi webinar bagi membincangkan tajuk UMNO Yang Hilang secara maya hari ini.

Pada masa sama, beliau berpendapat UMNO sudah melalui pelbagai perubahan, tetapi nampaknya perubahan itu masih tidak menunjukkan hasil yang positif.

“Kita kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sejak itu susah nak kembalikan UMNO kepada kedudukan lama. Banyak rakan-rakan parti yang sudah keluar dari Barisan Nasional (BN) dan kedudukan menjadi berbeza berbanding dulu, kepimpinan baru pun ada cara barunya.

“Itu sebab saya berundur sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, bukan kerana saya tak nak kekal dalam parti, tetapi, ada yang memberi harapan, mengapa tidak cuba aktifkan UMNO Lama. Kita nak bersihkan parti ini dan mahu jadi wadah yang diterima oleh masyarakat, tetapi kalau nak perbaiki UMNO Baru adalah sesuatu yang agak mustahil,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap masa depan UMNO pasca PRU-15.

“UMNO ada pengaruh setiap pemimpinnya, dengan kegunaan wangnya jadi susah untuk parti ini melangkah ke depan. Satu tindakan akan membawa kepada 10 tindakan susulan dan akhirnya tidak akan memberi faedah kepada bangsa kita.

“Saya boleh berunding (dengan kepimpinan) tapi adakan daya, pemimpin sekarang masih berkuasa ke atas parti sedia ada, kita hanya boleh ucap selamat dan berdoa agar dipulangkan kedudukan asal selepas PRU-15.

“Saya cukup bimbang, takut tak ada lagi muka Melayu sebaik sahaja selesai PRU-15, lagi tidak stabil negara kalau orang Melayu tidak dapat diyakini dalam kumpulan ini sedangkan kita ada majoriti,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat perubahan minda dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan segera supaya tidak lagi memandang tinggi kepada individu berjawatan tinggi dan mempunyai wang yang banyak.

“Kalau ada perkara yang tak betul, kita kena perbetulkan, tegur orang atas, tak boleh terima, walhal kita tahu benda itu tak betul dan salah. Mesti tegur, jangan sampai jadi bubur baru nak tegur.

“Jangan pandang tinggi kepada orang pangkat dan berharta, tak mestinya apa yang mereka buat itu betul, ada yang buat silap, ada yang buat cadangan yang merugikan, patutnya kita bantah.

“Jadi perlu ada perubahan mindset dalam kalangan orang kita, tak telan bulat-bulat cadangan orang berkuasa atau orang berpengaruh,” katanya.

Mustahil boleh perbaiki UMNO – Ku Li


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tiada MN, peluang kerjasama UMNO-Pas masih ada

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker