Malaysia komited tangani perubahan iklim

Malaysia komited tangani perubahan iklim

Malaysia berhasrat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada 2030.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian Malaysia itu akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia (World Leader’s Summit) serta Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) yang dijadualkan berlangsung dari akhir Oktober hingga pertengahan November depan.

Perdana Menteri berkata, pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat (unconditional) dan ia adalah 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini.

Beliau berkata, wakil Malaysia ke persidangan itu juga akan membawa aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada 2050.

Katanya, pencapaian sasaran itu adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Buat julung kali, pendirian negara yang bakal dibentangkan di UNFCCC COP-26, dibincangkan pada peringkat tertinggi negara melalui platform Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC).

“Walaupun saya bersama Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) tidak dapat menghadiri World Leader’s Summit pada 1 hingga 2 November depan dan UNFCCC COP-26, keputusan mesyuarat memberi mandat kepada delegasi diketuai KASA untuk menyampaikan Kenyataan Negara.

“Antara intipati perbincangan dan keputusan mesyuarat yang akan diketengahkan dalam Kenyataan Negara, ialah pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

“Skim ini membabitkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon pada peringkat domestik.

“Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia pada peringkat antarabangsa, dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MyCAC, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030, dan mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus litupan hutan negara.

Seterusnya, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula, serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari.

Di samping itu, menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat. BH

Malaysia komited tangani perubahan iklim


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Adik maut selepas bertengkar pinjam wang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker