Agihan bantuan diselaras bawah Skuad Keluarga Malaysia – Ismail
Agihan bantuan diselaras bawah Skuad Keluarga Malaysia – Ismail
Semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 akan diselaraskan di bawah Skuad Keluarga Malaysia, kata Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, jentera berkenaan akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO.
Katanya, seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia bersedia digerakkan ke segenap pelusuk negara bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik.
“Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya ketika berucap sempena prapelancaran Keluarga Malaysia.
Ismail berkata, bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi giat mengenal pasti produk bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.
“Ini langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) yang juga pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.
Konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama dan 20 pengayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail, untuk bekerja bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.
Teras berkenaan adalah keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pelancaran hari ini adalah manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat.
“Ia seiring perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui,” katanya.
Beliau berkata, konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki setiap keluarga.
“Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum,” katanya. FMT
Agihan bantuan diselaras bawah Skuad Keluarga Malaysia – Ismail
Baca Artikel Menarik :
- Adun Sindumin mulanya menafikan tetapi sah meninggalkan Warisan
- Norhizam tidak puas hati diarah serah kenderaan rasmi, dihalang guna pusat khidmat
- Polis sahkan terima laporan ‘abang e-hailing’ tunjuk kemaluan
- PRN Melaka: Nyawa rakyat dipertaruh demi kerakusan kuasa
- Petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’ terus dapat sambutan
- Ain Edruce kena kecam sebab over (Video)
- Dedah hubungan sulit, wanita bakar anak hidup-hidup
- UMNO tiada masalah tanpa Bersatu
- Idris akhirnya mengaku bertemu dengan Anwar bersama 3 Adun
- Resepi ubi kayu croquettes pasti sedap
- ‘Abang askar’ jilat tangan pekerja wanita kedai vape dicekup [VIDEO]
Layari Laman Facebook MYKMU