Amalan fitnah merugikan umat

Amalan fitnah merugikan umat

oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi

Sejak akhir-akhir ini, amalan fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, sindir-menyindir, menyebarkan khabar angin atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain, berprasangka buruk dan sebagainya semakin menjalar serta membarah dalam masyarakat Islam. Semua amalan terbabit secara umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang ini. Namun, lidah boleh menjadi lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat dan implikasi yang buruk kepada umat manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam dari awal lagi memperingatkan umat Islam akan bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah Taala ini. Baginda SAW pernah bersabda maksudnya: “Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis Riwayat Tabarani & Baihaqi)

Perlu diinsafi walaupun lidah adalah salah satu anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah Taala, namun lidah mempunyai peranan agak besar dalam kehidupan manusia. Pada satu ketika, lidah boleh memulia dan mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika yang lain, lidah mampu pula untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Malah, dengan lidah juga, ia berupaya membawa kejayaan dan tidak kurang juga, ia mampu membawa kegagalan. Maka tidak hairan orang tua-tua ada bermadah ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.’

Menyedari kedudukan lidah yang amat penting dalam diri seseorang manusia, maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: “Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat-sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Mafhum daripada hadis terbabit menjelaskan lidah ini umpama pisau yang bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah Taala dan dalam masa sama, ia boleh juga membawa sembilu dan kepedihan kepada umat manusia di kala lisannya mendedahkan belangnya yang tersembunyi. Gambaran sebegini amat jelas sebagai contohnya, khabar angin yang disebarkan boleh melonjakkan indeks ekonomi sesebuah negara, begitu juga ia mampu membuatkan indeks ekonominya jatuh merudum gara-gara hanya dengan spekulasi yang tersebar. Begitu peranan lidah yang mengundang bahaya yang tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa yang terungkap.

Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang sama ada dia seorang yang bertakwa dan beriman kepada Allah ataupun sebaliknya.

Dalam hal ini, baginda SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam sahaja.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, seseorang insan dianggap beriman kepada Allah Taala dan Hari Akhirat sekiranya dia dapat memelihara lidahnya dari perkara yang batil dan dilarang Islam.

Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan dan bermanfaat kepada umat manusia serta mengelakkan diri dari perkara yang melalaikan. Hal ini juga ditegaskan oleh Allah Taala dalam firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Di dalam al-Quran, Allah Taala ada menyediakan panduan bagaimana lidah seseorang yang beriman ini sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam dan direkodkan oleh malaikat Allah Taala sebagaimana firman Allah dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Alangkah berbahagia dan beruntungnya seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-katanya yang senantiasa bermakna dan bermanfaat.

Sehubungan itu, Allah Taala ada berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 114 maksudnya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisik mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Mafhum ayat suci ini secara jelas menegaskan ada tiga jenis amalan yang dianjurkan Islam melewati lidahnya iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah, juga menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan kebajikan serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak yang bergaduh.

Ini bermakna amalan yang selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, menfitnah dan sebagainya adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan ia juga mengakibatkan dosa kepada si pelakunya dan orang yang bersubahat dengannya. Malah, dia termasuk dalam kalangan orang yang kerugian kelak sama ada di dunia dan di akhirat sejajar dengan firman Allah Taala dalam surah al-‘Asr, ayat 1-3 yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran (iktikad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan-pesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).”

Selanjutnya, Islam amat melarang perbuatan keji berpunca daripada lidah seperti mengumpat, mengutuk dan sebagainya. Malah, amalan terbabit tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.

Baginda SAW pernah bersabda maksudnya: “Bukanlah seseorang Mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis Riwayat Bazzar dan Hakim). Dalam satu hadis yang lain, baginda SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menfitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika diimbas kembali pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, sejarah Islam menyaksikan perpecahan dan pertelagahan yang begitu ketara dalam kalangan umat Islam akibat dari berlakunya fitnah terbesar pada zaman Saidina Othman bin Affan dan zaman Saidina Ali bin Abi Talib. Sebab itu, munculnya berbagai-bagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama.

Selain itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan kerukunan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan badai pancaroba yang tidak henti-henti.

Seterusnya, kemuliaan dan penghormatan seseorang manusia di sisi Allah Taala bukan berdasarkan kepada rupa parasnya, kekayaannya, hartanya atau warna kulitnya. Sebaliknya neraca yang sebenarnya di sisi Allah Taala ialah nilai keimanan dan ketakwaan yang sentiasa bertakhta dalam jiwa sanubarinya.

Oleh kerana itu, setiap Muslim hendaklah senantiasa berwaspada ketika bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain dan memelihara lidahnya dari melakukan perbuatan yang tercela lagi dilarang Allah Taala. Justeru, Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dahulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar sama ada surat layang, berita akhbar atau majalah dan sebagainya supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan mereka kelak.

Firman Allah Taala maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidikinya (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Demikian keindahan yang menghiasi Islam di mana kedamaian dan kesejahteraan ummah menjadi misi dan agenda utama di sebalik perutusannya kepada seluruh isi alam ini. Dari sini, hendaklah seluruh warga Muslim menyedari dan menginsafi bahawa Islam adalah ad-Din yang bersifat kebaikan dan kebajikan untuk dapat dimanfaati oleh sekalian isi alam ini di samping kalimah tauhid terus berkumandang dan dijunjung pada sepanjang masa. HM

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Amalan fitnah merugikan umat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pukul rakan hingga mati tak puas hati upah baiki tandas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker