Bubar DUN Melaka

PETALING JAYA: Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Ra­ya Negeri (PRN) adalah jalan terbaik mengatasi kemelut politik di Melaka ekoran tindakan empat ADUN menarik soko­ngan terhadap kerajaan negeri.

Berikutan perkembangan ter­baharu itu, Pakatan Harapan (PH) yang asalnya memiliki 11 kerusi, kini mempunyai kelebihan dua kerusi mengatasi parti pemerintah yang cuma berbaki 13.

Setakat semalam, keempat-empat ADUN terbabit sudah mengisytiharkan menyokong PH dan sedang menanti untuk menghadap Yang Dipertua Ne­geri, Tun Mohd. Ali Rustam bagi memaklumkan surat akuan berhubung keputusan mereka.



Jika Ketua Menteri, Datuk Se­ri Sulaiman Md. Ali berangga­pan tidak mampu untuk menyelamatkan kedudukan kerajaan negeri, beliau dipercayai akan mempersembahkan kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN.

Semalam, Speaker DUN Me­laka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Da­tuk Seri Ab. Rauf Yusoh ber­kata, Yang Dipertua Negeri bo­leh berprorog (gantung DUN tan­pa dibubarkan) atau membubarkan DUN berkenaan.

“Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri untuk membuat keputu­san,” katanya dalam sidang akh­bar di Melaka.

Sementara itu, Presiden UM­NO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan DUN Melaka dibubarkan segera, seterusnya membuka laluan untuk mengadakan PRN.



“Saya tidak mengapa kehi­langan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah. Elok kita adakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka di­bubarkan dan beri mandat se­mula kepada rakyat untuk rakyat memilih manakah yang terbaik untuk mentadbir negeri itu dan negara kita. Insya-Allah,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Zahid dalam masa yang sama berharap kemelut politik berlaku di Melaka tidak berulang di Putrajaya.

“Begitu juga apa sedang kita perhati di Melaka sekarang ini, saya harap perkara itu tidak menular untuk Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron (BN), Datuk Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Sulaiman.



Sementara itu, pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis, keputusan membubarkan DUN terserah kepada Yang Dipertua Negeri untuk melihat cara terbaik agar krisis politik tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, isu di Melaka amat berbeza seperti nasib dialami bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana ia membabitkan krisis dalaman parti UMNO dan lebih kepada kepentingan peribadi.

“Kalau di Perak, wujud gera­kan menukar Menteri Besar, namun berbanding di Melaka ia melibatkan empat ADUN yang tidak puas dengan Ketua Menteri­nya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Situasi ini menjadi sukar apabila tiada parti mahupun kerajaan dan pembangkang tidak mempunyai majoriti membentuk kerajaan. Jadi, terserah kepada Istana Melaka sama ada mewujudkan rekonalisasi untuk membentuk kerajaan negeri atau membubarkan DUN,” katanya.



Pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PRN bukan jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis politik kerajaan negeri Melaka hanya disebabkan agenda peribadi empat ADUN.

Katanya, sebarang usaha mengadakan PRN bakal menyebabkan rakyat sudah muak de­ngan sikap ahli politik yang masih berebut kuasa walaupun negara masih dalam proses pemulihan Covid-19.

“Adakah kita mahu mengulangi PRN Sabah? Sudah tentu rakyat tidak mahu perkara ini berulang lagi. Jadi, jalan terbaik adalah rekonsiliasi antara parti untuk membentuk kerajaan dan melantik Ketua Menteri baharu.

“Mana-mana kerajaan yang baharu kelak, yang penting meneruskan usaha pemulihan Covid-19 berbanding terus melayani segala pergeseran politik,” katanya.



Bubar DUN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rakyat perlu pilih siapa layak pimpin Melaka – Khaled



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker