Zafrul bukan lagi pengarah syarikat dinamakan dalam ‘Pandora Papers’

Zafrul bukan lagi pengarah syarikat dinamakan dalam ‘Pandora Papers’, kata pembantu

Pembantu Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, Menteri Kewangan itu bukan lagi pengarah syarikat luar pesisir didedahkan oleh Pandora Papers, yang turut mengaitkan sebilangan rakyat Malaysia terkemuka lain dengan urusan luar pesisir.

Pendedahan data itu, yang terbesar seumpamanya, melibatkan 2.94 terabait data yang diberikan secara rahsia kepada International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), dan membabitkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan amanah di “syurga cukai” di seluruh dunia.



Menurut Malaysiakini, yang menerima maklumat daripada ICIJ, nama Tengku Zafrul muncul sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd, sebuah bank butik yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman Panama terkemuka, Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).

Walaupun pembantu Tengku Zafrul berkata beliau tidak lagi berperanan sebagai pengarah, tidak dinyatakan bila Menteri Kewangan itu meletak jawatan.

Ahmad Zahid Hamidi turut muncul dalam fail Algocal, yang bertindak sebagai ejen firma bernama Breedon Ltd di British Virgin Islands (BVI).

Breedon ditubuhkan pada September 1996 dengan Zahid sebagai pengarah, sebelum namanya ditukar menjadi Rising Resources (BVI) Ltd pada November tahun itu.



Pada 1999, syarikat itu mempunyai modal saham bernilai USD50,000, tetapi sifat perniagaan ini tidak dinyatakan.

Dokumen terbaru daripada Algocal menunjukkan syarikat itu “dimansuhkan” kerana tidak aktif beberapa tahun selepas penubuhannya. Tidak ada petunjuk mengenai tujuan perniagaan itu ditubuhkan, sementara syarikat dengan nama serupa yang didaftarkan di Malaysia tiada kaitan dengan Zahid.

FMT telah menghubungi Zahid mengenai perkara itu.

Turut dikaitkan dalam pendedahan itu adalah Larry Low Hock Ping dan Goh Gaik Ewe, ibu bapa ahli perniagaan yang diburu polis, Low Taek Jho bersabit skandal 1MDB.



Larry dan Goh dikaitkan kepada Coswell Corporation and Strategic Equities Ltd.

Coswell dikatakan terbabit dalam pelaburan hartanah di London dan mempunyai aset bernilai US$2 juta (RM8 juta), manakala Strategic Equities digunakan untuk memegang saham di dalam Frencken Group Ltd bernilai US$5 juta (RM20 juta).

Syarikat itu merupakan pengeluar peralatan perindustrian yang ditubuhkan di Singapura.

Personaliti lain



Antara personaliti tempatan lain yang turut dikaitkan kepada pelbagai syarikat dalam laporan itu adalah Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafiz Musa, Ahli Parlimen Selayang William Leong, dan Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, iaitu anak kepada Yang diPertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

Laporan itu turut menamakan Pengerusi Kumpulan Rimbunan Hijau Tiong Hiew King, Pengarah Jayatiasa Tiong Ik King, Pengerusi Eksekutif Westports Holdings G Gnanalingam and Pengerusi Kumpulan Genting Lim Kok Thay.

Leong menjelaskan pembabitan beliau dan isterinya dalam Collister Holdings Ltd di Jersey berkait dengan peranannya sebagai naib presiden eksekutif dan ketua pegawai operasi National Steel Mill di Manila, Filipina, dari 1994 hingga 1997.

Beliau berkata, segala pembabitannya dalam Collister Holdings Ltd dijalankan secara sah dan atas nasihat pakar kewangan dan percukaian.



“Semuanya dijalankan secara sah. Tiada sebarang pelanggaran undang-undang Malaysia mahupun Filipina,” kata Leong.

Leong berkata, beliau tidak lagi terbabit dalam syarikat itu apabila aktif sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, wakil Gnanalingam berkata, pemilikannya atas syarikat Paisley Marketing Limited di British Virgin Islands adalah untuk memiliki polisi insuran nyawa dan pelaburan yang diuruskan oleh Standard Chartered Singapore.

Menurut wakil itu, dana yang digunakan oleh ahli perniagaan itu adalah hasil pendapatannya sendiri dan semua percukaian terbabit dijelaskan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).



“Tidak ada pendapatan bercukai melibatkan Paisley. Jika ada cukai atas pendapatan sedemikian, ia sudah tentu dilaporkan kepada LHDN,” kata wakil Gnanalingam. FMT

Zafrul bukan lagi pengarah syarikat dinamakan dalam ‘Pandora Papers’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bergaduh dengan kekasih, gadis nekad terjun kereta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker