Bukan semua murid perlu kembali ke sekolah, kata kumpulan pendidikan

PETALING JAYA: Ketua sebuah kumpulan ibu bapa menyarankan agar ditetapkan had jumlah murid yang akan kembali ke sekolah susulan kebimbangan bahawa pembukaan semula sekolah secara serentak pada 20 Jan depan akan menimbulkan risiko kesihatan.

Mak Chee Kin, ketua Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) berkata, bukan semua murid perlu kembali ke sekolah.

“Kami menyarankan agar Kementerian Pendidikan mengkaji murid mana yang harus dibenarkan kembali ke sekolah terlebih dahulu.

“Bagi saya, semestinya kelas rendah atas dan menengah atas.

“Atau mungkin hanya mereka yang menghadapi kesukaran untuk belajar dalam talian. Dengan lebih sedikit murid di sekolah, wujud sumber dan ruang yang cukup untuk memecahkan kelas menjadi kumpulan lebih kecil, sekali gus lebih menjamin keselamatan murid dan guru,” katanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa sekolah hanya dibenarkan dibuka kembali selepas cuti Tahun Baru Cina susulan peningkatan kes Covid-19 dan banjir di beberapa negeri.

Semua sekolah awam dan bantuan kerajaan dijadualkan dibuka semula pada 20 Jan ini.

Mak berkata, tiada jaminan situasi wabak Covid-19 akan bertambah baik selepas perayaan.

Katanya, kerajaan harus mengambil pendekatan yang kurang berpusat dan memberi kuasa kepada negeri untuk memutuskan dan merancang langkah terbaik untuk sekolah mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata, keputusan penutupan sekolah lebih baik diserahkan kepada Kementerian Pendidikan yang mempunyai semua data dan maklumat berkaitan untuk membuat keputusan yang tepat.

“Guru mengalu-alukan kaedah pengajaran terbaik untuk murid (dalam keadaan sekolah ditutup), tetapi masalahnya tidak terdapat banyak kajian mengenai hal ini,” katanya.

Setiausaha Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, penutupan sekolah harus dikhususkan mengikit kawasan.

Sekolah bukan di zon merah patut dibenarkan dibuka dengan peraturan yang lebih ketat,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker