RMK12: Umum prestasi setiap enam bulan

RMK12: Umum prestasi setiap enam bulan

Pelaksanaan dan ukuran prestasi bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu dilakukan secara berkala dan dilaporkan kepada orang awam sekurang-kurangnya setiap enam bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, hebahan umum itu mengingatkan kerajaan terhadap rancangan yang belum, sedang dan akan dilakukan.

Katanya, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga separuh penggal atau mencapai tempoh lima tahun untuk melaporkan hasil perancangan yang dirangka.

“Sehingga kini, kita tiada kayu ukur sejauh mana RMK-12 atau rancangan sebelum ini akan berjaya. Jika merujuk rancangan-rancangan terdahulu, walaupun kerajaan ada perancangan yang baik namun dari segi pelaksanaan dan ukurannya masih perlu diperbaiki.

“Penilaian harus dilakukan secara berkala mengenai apa yang perlu dilakukan, sejauh mana kejayaan itu boleh dicapai. Jika tidak berjaya apa pula yang perlu dilakukan serta cabaran dalam menghadapinya. Budaya pengukuran dan penilaian inilah yang harus dikekalkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK-12 juga sepatutnya mencerminkan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2020-2030 dengan mengimbangi serta merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan wilayah yang berbeza.

“Corak pendapatan berbeza antara kaum bukanlah baharu malah ia sudah kritikal sejak 1969. Selepas itu wujud beberapa dasar untuk menaikkan ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tetapi belum mencapai matlamat dan ketidakseimbangan pendapatan masih berlaku,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara impak pandemik Covid-19 sekali gus menjadi rancangan pertamanya sejak menggalas tugas sebagai ketua kerajaan.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md. Yasin pula berkata, rancangan Malaysia kali ini perlu menumpukan kepada usaha menangani ketidaksepadanan pekerjaan dan pendapatan bagi pekerja terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Menyorot indeks daya saing digital global, katanya , graduan Malaysia dalam bidang sains adalah paling ramai dan berada di kedudukan pertama namun tidak semua berpeluang mendapat pekerjaan selaras dengan bidang yang dipelajari, malah dibayar dengan gaji rendah.

“Pekerjaan yang ditawarkan juga adalah bukan berteknologi tinggi. Bagaimana mungkin kita mahu mencapai negara maju jika aspek buruh yang berpengetahuan ditawarkan dengan pekerjaan tidak setimpal?

“Selain itu, sudah pasti RMK-12 ini perbelanjaannya untuk sektor kesihatan lebih tinggi berbanding RMK yang sebelumnya. Pada masa sama, ia harus memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya. Utusan

RMK12: Umum prestasi setiap enam bulan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


China bertindak ‘buli’ Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker