Ismail Sabri Ulangi Keajaiban Tun Abdul Razak

Ismail Sabri Ulangi Keajaiban Tun Abdul Razak

TIDAK dinafikan satu perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai antara blok kerajaan dan pembangkang di Parlimen petang Isnin sebenarnya merangka sejarah baharu terhadap landskap politik negara.

MoU itu juga dianggap satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (Confidence & Supply Agreement (CSA) ) pertama berjaya ditandatangani antara blok kerajaan dan pembangkang di peringkat persekutuan, sekali gus memainkan peranan signifikan bagi menurunkan suhu politik negara.

Kejayaan blok kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dianggap permulaan kepada amalan politik progresif dan matang di negara ini.

Perjanjian MoU itu bahkan turut mendapat penghargaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Titah Diraja Seri Paduka Baginda pagi Isnin.

Malaysia mencipta sejarah setelah kerajaan dan pembangkang bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dikenali Transformasi dan Kestabilan Politik di Parlimen pada 5 petang Isnin.

Perjanjian yang ditandatangani pada jam 5 petang tadi, disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama-sama pimpinan kanan kerajaan seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu, dari blok pembangkang pula, MoU itu ditandatangani pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH), iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

PH LEBIH YAKINI ISMAIL SABRI

Lebih menarik, tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan diumumkan Ismail Sabri pada 10 September lalu kepada pihak pembangkang, sebenarnya mengulangi tujuh tawaran sama dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum beliau terpaksa meletak jawatan.

Antara tawaran itu adalah Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang.

Tiga lagi tawaran dikemukakan kerajaan adalah setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) serta ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Bagi penganalisis politik veteran, Datuk M Periasamy, kesanggupan PH memeterai perjanjian MoU dengan Ismail Sabri meskipun tujuh tawaran sama dikemukakan Muhyiddin sebelum ini, adalah isyarat jelas koalisi pembangkang itu lebih menyakini kepimpinan Ismail Sabri.

Periasamy, Dr Jeniri Amir

 

Beliau turut berpandangan Ismail Sabri mengemukakan tawaran serupa pada waktu tepat selain melaksanakan pendekatan berhati-hati dengan semua pihak termasuk pembangkang bagi memastikan kerajaan dipimpinnya terus berfungsi dengan efisien.

“PH menolak tujuh tawaran kerjasama bipartisan dikemukakan Muhyiddin mungkin disebabkan ‘timing’ tawaran itu dikemukakan tidak kena dan sudah terlewat.

“Berbeza dengan Ismail Sabri, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dengan mempertimbangkan suara semua pihak termasuk pembangkang dalam menguruskan kerajaan. Tindakan itu bijak dan berkesan kerana langkah itu berjaya menurunkan suhu politik yang amat panas,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

LEMBARAN BAHARU KE ARAH SISTEM DUA PARTI

Dari satu sudut lain, perjanjian MoU kerajaan dan PH juga sebenarnya membuka lembaran baharu ke arah usaha negara merealisasikan sistem dua parti di negara ini.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Periasamy yang berpendapat bibit-bibit harapan kepada usaha melaksanakan sistem dua parti secara tidak langsung kembali tercetus.

“Bagaimanapun, soal sama ada pelaksanaan sistem dua parti sebagaimana diamalkan di Amerika Syarikat dan beberapa negara maju lain dapat diadakan segera masih terlalu awal untuk diramalkan.

“Ini kerana realiti politik negara masih terikat kepada sistem kepartian berasaskan kaum tertentu. Namun saya fikir perjanjian MoU satu bibit permulaan baik untuk kita mewujudkan sistem demokrasi lebih matang dan progresif,” katanya.

Sementara itu, pandangan Periasamy turut dipersetujui Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir yang berpandangan pelaksanaan sistem dua parti perlu diberi perhatian serius oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Jelas beliau, hal ini disebabkan sebahagian masalah politiking berterusan yang berlaku di negara ini berpunca daripada sistem amalan politik yang lapuk, konservatif dan tidak sesuai dengan semangat demokrasi moden.

“Bagi menghindari politik bobrok, komitmen kedua-dua blok untuk merealisasikan pelaksanaan sistem dua parti perlu berada pada tahap tinggi.

“Melalui pelaksanaan sistem dua parti, kerajaan akan memastikan pendapat pihak pembangkang turut diambil kira, sesuai dengan peranannya sebagai semak dan imbang terhadap sebarang pelaksanaan polisi kerajaan,” katanya.

PEMBANGKANG LAIN JANGAN MAIN POLITIK

Pada masa sama, Jeniri turut menggesa mana-mana parti pembangkang yang masih belum memeterai perjanjian MoU dengan kerajaan untuk melakukannya dalam masa terdekat.

Tambahnya, langkah itu penting bagi membuktikan parti pembangkang seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Ikatan Demokratik Muda (Muda) serta beberapa calon bebas tidak dilihat bermain politik pada saat negara berdepan krisis paling getir akibat Covid-19.

“Parti-parti pembangkang lain harus mencontohi jiwa besar dan keterbukaan ditunjukkan PH untuk menandatangani MoU itu. Mereka tidak sepatutnya meminggirkannya.

“Perjanjian CSA ini juga perlu disokong oleh masyarakat sivil bagi memastikan semua pihak berada pada landasan sama bagi membina amalan demokrasi matang, progresif dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

ISMAIL SABRI, UMNO PEMENANG SEBENAR

Di sebalik usaha MoU di antara kerajaan dan pembangkang dilihat menguntung rakyat secara keseluruhan, terdapat pandangan yang mengatakan pemenang sebenar hasil perjanjian CSA berkenaan adalah Ismail Sabri dan UMNO.

Pandangan itu dilontarkan Periasamy yang menganggap Ismail Sabri dan UMNO akan menerima manfaat terbesar sekiranya perjanjian MoU antara kerajaan dan blok pembangkang mampu dipertahankan sehingga terbubarnya Parlimen.

“Pandangan saya, Ismail Sabri dan UMNO yang diwakili Perdana Menteri berkenaan akan menerima keuntungan secara tidak langsung, kesan daripada perjanjian MoU dimeterai antara blok kerajaan dan pembangkang.

“Pembangkang mungkin menganggap perjanjian CSA ini satu strategi ampuh untuk menunjukkan mereka mendahului kepentingan rakyat pada saat krisis, tetapi hakikatnya mereka masih akan dilihat lemah kerana begitu cepat menerima tawaran Ismail Sabri.

“Sebaliknya Ismail Sabri akan dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang mampu menyatukan semua pihak pada saat krisis Covid-19, mengulangi keajaiban dilakukan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1971.

“Perjanjian MoU ini juga satu kejayaan besar kepada Ismail Sabri kerana beliau berjaya mendapat kepercayaan ahli UMNO untuk bekerjasama dengan blok pembangkang, walaupun pendirian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 memutuskan ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.-SH

Ismail Sabri Ulangi Keajaiban Tun Abdul Razak


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buka sekolah: KPM perlu tumpu tiga aspek – i-Guru

Ratusan surat beta terima dari rakyat, rintih penuh duka – Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker