Terjawab persoalan nama Parit

OLEH kerana kebanyakan kampung telah diawali dengan panggilan parit maka kampung-kampung baharu pun diawali dengan sebutan ‘parit’. Malah ada juga kampung-kampung yang disebut ‘Parit Bugis’ tetapi penduduknya adalah orang Jawa. Ini terdapat di Pontian dan Muar.

Keadaan ini berlaku apabila beberapa orang Bugis memulakan penerokaan kampung ini tetapi kemudiannya meninggalkannya kerana tidak ramai orang sesama suku Bugis menyertainya di kawasan berkenaan lalu diambil alih dan diteruskan oleh orang Jawa.

​Oleh kerana banyaknya kampung-kampung parit ini, ketua kampungnya pun dikenali dan dipanggil Ketua Parit atau Kepala Parit. Tidaklah berlebihan kalau dikatakan seluruh Johor terdapat ribuan kampung berawalkan perkataan ‘parit’.

Ini samalah dengan panggilan daerah ‘seribu parit’ di kawasan Inderagiri, Riau, Sumatera yang banyak parit atau sungai buatan.

Sesungguhnya sistem perparitan yang banyak di ketiga-tiga daerah Johor ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kurangnya banjir di Johor yang selalu berlaku pada musim tengkujuh.

Uniknya di Tanah Jawa sendiri tidak wujud kampung-kampung atau tempat berawalkan parit, kecuali di provinsi Jawa Barat iaitu negeri orang Sunda yang banyak nama-nama tempat diawali dengan perkataan ‘ci’ yang bermaksud ‘sungai’ seperti Cibinong, Cisarua, Cikampek, Cikareng, Cibubur, Cilandak, Ciliwung, Ciamis dan lain-lain lagi.

​Di Pulau Karimun, Kepulauan Riau yang tidak jauh dari tanah Johor terdapat kampung bernama Parit Benut. Ini pun ada sejarahnya apabila pengikut setia Penghulu Ibrahim Awang di Benut melarikan diri ke pulau ini kerana diancam oleh gerila komunis Bintang Tiga semasa Perang Dunia Kedua dulu.

Komunis telah membunuh Penghulu Mukim Benut iaitu Penghulu Ibrahim Awang dan beberapa orang tokoh Melayu selepas tamat Perang Dunia Kedua dan sebelum tentera British datang kembali, tentera Komunis Bintang Tiga sempat berkuasa selama dua tiga minggu di Benut dan Pontian.

Pengikut setia Penghulu Ibrahim telah melarikan diri ke Pulau Karimun seterusnya meneroka dan membuka kampung halaman serta menamakan kampung mereka dengan nama Parit Benut bagi mengingati daerah asal mereka di Johor.

Berdasarkan ramainya orang-orang Jawa di ketiga-tiga daerah Johor ini tidaklah berlebihan jika dikatakan separuh orang Melayu Johor adalah keturunan Jawa.

Apabila kerajaan membuka rancangan tanah Felda, orang keturunan Jawa turut sama menjadi peneroka. Malah penyertaan mereka amat dialu-alukan kerana mereka terkenal sebagai peneroka dan petani yang rajin serta tekun.

Sebuah penempatan Felda di Selangor yang majoritinya disertai oleh orang Jawa telah dinamakan Felda Soeharto sempena lawatan Presiden Suharto ke Malaysia pada penghujung tahun 1960-an.

Kampung contoh

Kampung-kampung Jawa sering menjadi juara dalam pertandingan-pertandingan kampung contoh seluruh Johor malah Malaysia. Kampung Parit Tengah di Seri Merlong, Rengit, Batu Pahat pada tahun 2010 telah menjadi juara Kampung Contoh seluruh Johor dan seluruh Malaysia.

Ini diikuti beberapa tahun kemudian dengan Kampung Parit Sungai Jambi juga di Rengit, Batu Pahat. Dengan motto atau cogan kata ‘berayan’ (bahasa Jawa bererti bersatu padu dan bersama- sama) Pak Sarbini Suhod sebagai Ketua Kampung Parit Jambi telah membimbing anak buahnya bagi memaju dan membangun kampung hingga berjaya memenangi Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Negeri Johor dan seluruh Malaysia pada tahun 2012.

Demikian juga di daerah Muar, kampung Parit Bugis (sepatutnya bernama Kampung Jawa) telah menang menjadi Desa Cemerlang pada tahun berikutnya.

Orang Melayu biasanya merujuk panggilan kepada orang Jawa dengan sebutan ‘orang kita Jawa’ sebagai tanda keakraban sesama bangsa dan Islam.

Orang Jawa dan keturunannya menjadi Melayu dengan mengamalkan budaya Melayu seperti berpakaian Melayu di samping mengamalkan terus beberapa adat tradisi Jawa seperti menghidangkan nasi ambeng (kini telah dikomersialkan dan dijual dalam bungkusan) semasa kenduri, membuat tempe dan makanan ringan seperti rengginang, rempeyek, tumpi, getuk, gemblong dan lain-lain.

Masyarakat Jawa terus mengamalkan kesenian Jawa seperti Kuda Kepang, Reog Ponorogo, Barongan, Kompang Jidur, Wayang Kulit, Kemplingan, Terbangan dan lain-lainnya.

Seterusnya kesenian ini dianggap sebagai kesenian Melayu Johor seperti zapin dan ghazal Johor untuk dipersembahkan ke peringkat nasional mewakili Johor kerana diamalkan oleh orang Melayu keturunan Jawa di Johor.

Beberapa perkataan Jawa seperti rewang, sarapan, mentong, kerigan, yasinan, tahlilan, muludan dan lain-lain kini diterima dan digunakan oleh seluruh orang Melayu.

Seorang pencipta lagu keturunan Jawa dari Batu Pahat turut mencipta sebuah lagu dalam bahasa dan irama Jawa yang diberi nama Puteri Ledang dan dirakam serta dinyanyikan oleh penyanyi keturunan Jawa Azlina Kamsan juga dari Batu Pahat.

Perlembagaan Malaysia juga menjelaskan bahawa sesiapa yang mengamalkan adat budaya Melayu berbahasa Melayu dan beragama Islam adalah dikira Melayu. Dengan demikian rakyat Malaysia keturunan Jawa, Bugis, Banjar, Aceh, Sunda, Boyan, Minang, Lombok, Bajau dan lain-lain dari kawasan Nusantara yang beragama Islam adalah dikira Melayu.

Untuk generasi pertama dan kedua penggunaan bahasa Jawa di kalangan keturunan Jawa ini masih digunakan di samping bahasa Melayu, malah pertuturan Melayunya persis seperti orang Melayu hingga sukar untuk menentukan sama ada ianya bukan orang Melayu jati.

Hal ini berlaku juga kepada orang rumpun Melayu lainnya seperti Bugis, Banjar, Boyan dan lain-lainnya. Malah terdapat keluarga Cina yang tinggal di kampung-kampung Jawa ini bertutur dalam bahasa Jawa kerana bergaul dan bermain sesama anak-anak Jawa, namun untuk generasi ketiga dan seterusnya bahasa ibunda Jawa mula ditinggalkan.

Si bapa dan si ibu yang sama-sama Jawa terus memberi pendidikan pertuturan kepada anak-anak mereka sejak kecil dalam bahasa Melayu.

Tradisi Jawa

Mereka juga tidak menggunakan dan mula meninggalkan nama tradisi Jawa untuk anak-anak mereka seperti Tukinon, Tumiran, Tumirun dan lain-lain hingga menyukarkan untuk mengenali identiti Jawa mereka.

Seorang pegawai tentera keturunan Jawa mendapat petunjuk untuk mengenali anak buahnya yang keturunan Jawa dengan meminta mereka menyebut ajukan bunyi letupan senapang atau pistol. Maka meluncurlah sebutan “Dorr! dan Derr!’ sedangkan anak-anak Melayu jati biasa menyebutnya dengan teriakan ‘Tam! Tam!!” manakala dalam bahasa Inggeris dibunyikan “Bang! Bang!!”. Bagi mengajukkan bunyi percikan air yang kuat anak-anak Jawa menyebutnya “Byiurr!”.

Akhirnya nanti di kampung-kampung Jawa ini tidak ada orang bertutur dalam bahasa Jawa. Kampung-kampung Jawa ini akan tinggal menjadi kenangan dan catatan sejarah. Dan amat wajarlah kalau ia dicatatkan sekarang.

Wajar juga disebutkan, dari kampung-kampung Jawa ini lahir beberapa tokoh keturunan Jawa yang turut menyumbang dalam bidang-bidang tertentu seperti politik, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, keagamaan, kesenian dan lain-lainnya untuk pembangunan dan pembinaan negara Malaysia seperti Allahyarham Tun Sardon Jubir (bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), Allahyarham Datuk Kiyai Shamsudin Redzuan (ulama), Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (bekas Menteri Penerangan), Allahyarham Margono Sitir (tokoh dalang wayang kulit), Allahyarham Datuk Jamali Shadat (pelawak).

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri), Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Hamim Samuri (bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka).

Tan Sri Sulaiman Sujak (bekas Panglima Tentera Udara), Datuk Dr Fadzilah Kamsah (pakar motivasi), Dr Kassim Thukiman dan Dr Noriah Muhamad (sejarawan), Ismail Zam-Zam dan Kasirun Redzuan Asmaranda (penulis novel dan cerpen), Herman Tino (penyanyi) dan ramai lagi.

Beberapa wakil rakyat dari Johor dan Selangor adalah keturunan Jawa. Demikianlah kisah dan sejarahnya. Dengan ini pertanyaan orang di luar Johor yang ingin tahu mengapa di Johor banyak tempat dan kampung diawali dengan perkataan Parit terjawab. Begitu juga rasa kurang senang beberapa pihak di Indonesia yang menuduh Malaysia menciplak kesenian Jawa dapat memahami mengapa berlaku demikian.

* SAHGIDON DIRHAN ialah bekas guru dan Penyelidik Sejarah Yayasan Warisan Johor.


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


KKM MaHTAS Tegaskan Tiada Keberkesanan Guna Nano Mist Spray Cegah Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker