Dari mana datangnya nama ayat seribu dinar?

Ayat seribu dinar merupakan 2 ayat dari Surah at-Talaq

Dari mana datangnya nama ayat seribu dinar?

Ramai yang percaya ayat seribu dinar mempunyai banyak keistimewaan antaranya boleh mendatangkan rezeki dan melepaskan diri dari kesusahan. Dek kerana itu ada yang menjadikan ayat ini sebagai azimat atau tangkal bagi menarik rezeki dan menyelamatkan diri dari sebarang masalah.

Ayat seribu dinar merupakan dua ayat dari surah at-Talaq iaitu ayat 2 dan 3. Maksud ayat ini ialah,



“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”

Dinamakan ayat seribu dinar kerana pada zaman dahulu terdapat seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi Nabi Khidir a.s. Dalam mimpinya pedagang itu diperintah untuk bersedekah wang sebanyak seribu dinar. Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama maka pedagang itu berfikir bahawa mimpi yang dia alami adalah benar.

Lalu dia pun bersedekah wang sebanyak seribu dinar sebagaimana yang diperintah dalam mimpinya. Setelah itu lelaki tersebut sekali lagi bermimpi bertemu dengan Nabi Khidir a.s. dan mengajarkannya ayat 2 dan 3 surah at-Talaq untuk dia amalkan.

Pada suatu hari ketika pedagang ini sedang berdagang di suatu tempat dengan melalui jalan laut, kapalnya dilanda taufan yang sangat dasyat. Apa yang boleh dia lakukan pada ketika itu hanya bertawakal kepada Allah sambil terus membaca ayat-ayat yang diajarkan Nabi Khidir a.s. sebelum ini.



Akhirnya kapal yang dinaiki pecah dan karam. Semua penumpang kapal mati lemas kecuali dirinya yang terdampar di tepi pantai sebuah negeri bersama barang dagangannya yang tidak rosak sedikit pun. Sambil menadah tangan mengucapkan syukur kepada Allah, dia sedar dan insaf dengan kelebihan ayat yang diamalkannya itu.

Lalu pedagang ini mengambil keputusan menetap di negeri tersebut dan hingga akhirnya dengan rezeki yang tidak disangka, dia diangkat pula menjadi raja. Begitulah asal kenapa ayat ini dinamakan seribu dinar, namun untuk menyatakan kesahihannya tidaklah diketahui sumber yang tepat.

Tafsir ayat

Adapun sebab turunnya ayat ini bahawa ada seorang lelaki dari kalangan sahabat Baginda s.a.w. yang bernama Auf bin al-Asyjai’ mempunyai seorang anak lelaki, akan tetapi kaum musyrikin Mekah telah menawan anaknya.



Maka si ayah datang berjumpa Nabi s.a.w. dan mengadukan hal tersebut kepada Baginda berkaitan anaknya yang ditawan musuh dan keadaan apa yang dihajatinya. Maka Rasulullah menyuruhnya agar bersabar terhadap ujian yang menimpa dan Baginda berkata kepadanya, sesungguhnya Allah Taala akan memberikannya jalan keluar.

Tidak lama selepas itu maka terlepaslah anaknya daripada tangan musuh lalu anaknya membawa beberapa ekor kambing musuh serta harta di atasnya untuk ia bawakan kepada bapanya. Maka turunlah ayat ini.

Adapun ayat seribu dinar menjelaskan bahawa orang yang bertakwa kepada Allah, patuh dan mentaati peraturan yang telah ditetapkan Allah pastinya dia akan ditunjukkan jalan keluar dari sebarang kesulitan yang dihadapinya.

Bagi orang yang bertakwa kepada Allah, tidak sahaja diberi dan dimudahkan jalan keluar dari sebarang kesulitan yang dihadapi, tetapi juga diberi rezeki melimpah ruah oleh Allah dari mana pun yang tidak disangka-sangka dan yang tidak terlintas dalam fikirannya.



Bahkan Allah menyerukan agar mereka bertawakal kepada Nya kerana Allah lah sahaja tuhan yang mencukupkan keperluannya dan memudahkan segala urusannya. Bertawakkal kepada Allah bermaksud berserah diri pada Nya setelah dia berusaha dengan sebaiknya.

Qatadah dalam tafsirnya menyebut yang dimaksud diberikan baginya jalan keluar adalah jalan keluar daripada segala perkara syubhah dan kesusahan ketika mati. Manakala maksud rezeki yang tidak disangka-sangka iaitu daripada sesuatu yang tidak disangkanya dan yang tidak diharapkan.

Walau bagaimanapun daripada Ibnu Abbas, al-Sya’bi dan ad-Dahhak, ayat ini merupakan khusus untuk talak iaitu sesiapa yang menceraikan isterinya sepertimana yang diperintahkan Allah maka baginya jalan keluar iaitu jalan untuk merujuk isterinya kembali ketika isterinya di dalam iddah. Apatah lagi kedua ayat ini diletakkan dalam surah at-Talaq maka pastinya ia memperihalkan tentang talak.

Walaupun ada yang mengaitkan ayat seribu dinar dengan rezeki dan untung nasib dirinya sama ada bebas dari sebarang kesusahan atau kesulitan, namun apa yang ingin ditekankan dalam ayat ini adalah mengamalkannya bukan sahaja dari sudut bacaan semata-mata tetapi mestilah disusuli dengan perbuatan.



Jangan hanya membaca setiap hari untuk mendapatkan manfaat kelebihan tetapi ia perlu diamalkan dengan menjadi seorang yang bertakwa iaitu melaksanakan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Barulah ayat ini berkesan. Wallahu a’lam Utv

Dari mana datangnya nama ayat seribu dinar?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sheriff pecah rekod, sailang Mat Kilau

Aliff Aziz dengan Sarah Yasmine pulak?

‘Anak ikan’ resah

Sebab Syasya tinggalkan Dolla

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker