Lagi 6 jam hantar nama calon PM

Lagi 6 jam hantar nama calon PM

Perdana Menteri yang baharu dijangka dipilih dalam masa terdekat apabila semua 220 Ahli Parlimen diarahkan supaya mengemukakan surat akuan calon pilihan mereka kepada Yang di-Per­tuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rak­yat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, surat akuan itu perlu diserahkan kepada Istana Negara selewat-lewat pukul 4 petang.



“Adalah dimaklumkan baha­wa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam me­laksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a)

Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Pada melaksanakan titah pe­rintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya men­yerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” kata Azhar dalam satu notis yang dikeluarkan semalam.

Menurut Azhar Azizan, walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format tertentu, ia harus mempunyai beberapa butiran di dalamnya.



Berita berkaitan: Ketua parti selesai menghadap Agong

Antara butiran tersebut adalah identifikasi Ahli Parlimen yang secukupnya, identifikasi yang secukupnya seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli Parlimen serta penyataan kepercayaan yang jelas, terang dan tanpa syarat.

Selain itu, surat akuan itu perlu disertai tandatangan Ahli Parlimen berkenaan, tandata­ngan serta cop rasmi saksi sama ada seorang peguambela dan peguamcara, Pesuruhjaya Sum­pah, Notari Awam atau jawatan yang setanding bagi Ahli Parlimen yang berada di luar negara dan ter­akhir tarikh surat akuan berke­naan.

“Surat akuan hendaklah di­serahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya Rabu, 18 Ogos 2021 sebelum pukul 4 petang untuk perhatian Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim, Setiausaha Sulit Kanan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Ista­na Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di Istana Negara,” katanya.

Azhar Azizan turut memaklumkan, mana-mana surat akuan yang tidak mematuhi perkara-perkara tersebut ataupun diterima lewat tidak akan diterima.



“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga ke­rahsiaan surat akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara di perenggan 2 di atas,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Muh­yiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa kelmarin.

Susulan peletakan jawatan itu, Baginda berkenaan melantik Muhyiddin sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga jawatan tersebut diisi oleh Ahli Dewan Rakyat yang layak. K Online

Lagi 6 jam hantar nama calon PM



Muhyiddin ‘jatuh’, langkah Azmin, Zuraida jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker