Ini sebab dinamakan Muharam dan ketahui keistimewaannya

Ini sebab dinamakan Muharam dan ketahui keistimewaannya berbanding bulan lain

Bulan Muharam merupakan detik permulaan bagi tahun hijriah. Setiap tahun kita menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Jika tahun masihi kita diajak untuk membentuk azam baru, tahun hijriah pula kita diseru untuk melakukan hijrah, kerana mengambil semangat dari usaha dan pengorbanan Baginda s.a.w. bersama para sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Bulan Muharam dijadikan sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah kerana bulan Muharam memiliki banyak keistimewaan. Dinamakan Muharam kerana bulan ini diharamkan untuk berperang dan melakukan kezaliman, sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikh Alimuddin ash-Shakhawi dalam kitabnya al-Masyhuur fi Asmail Ayyam wa Syuhur



Bagaimanapun pada waktu dahulu, bangsa Arab jahiliyah telah menyelang-nyelikan peperangan dengan mengharamkan setahun dan kemudian menghalalkan setahun kemudian. Maka itu menurut Ibnu Kathir, penggunaan perkataan Muharam digunakan sebagai satu bentuk ketegasan yang ketara berhubung keharamannya.

Antara keistimewaan Muharam, pertama ia sebagai salah satu dari empat bulan haram dalam Islam iaitu bulan yang diharamkan berperang dan membuat kezaliman. Firman Allah dalam surah at-Taubah: 36

“Sesungguhnya bilangan bulan menurut Allah ialah dua belas bulan mengikut ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan juga bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

Muharam antara empat bulan mulia yang sangat dihormati selain dari Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab sebagaimana yang disebut Baginda s.a.w. Yang dimaksud dengan larangan menganiaya diri sendiri adalah jangan kamu menganiaya dirimu dengan mengerjakan perbuatan yang dilarang seperti melanggar kehormatan bulan dengan melakukan peperangan.



Kedua, Baginda s.a.w. menisbahkan bulan Muharam sebagai syahrullah iaitu bulan Allah dan ia adalah bulan yang mulia selepas bulan Ramadan. Dalam hal ini Baginda s.a.w. bersabda,

“Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam.” (HR Muslim)

Ketiga, di dalam bulan Muharam ada satu hari yang Allah anjurkan untuk berpuasa iaitu puasa hari kesepuluh Muharam atau disebut hari Asyura. Berkaitan ibadah ini, Baginda s.a.w. menggalakkan agar berpuasa kerana ganjarannya adalah penghapusan dosa selama setahun sebelumnya. Sabda Baginda s.a.w.

“Berpuasalah pada hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dosa) tahun sebelumnya” HR Muslim



Kezaliman yang paling besar antaranya adalah menganiaya diri sendiri
Yang terakhir, antara keistimewaan Muharam adalah larangan berbuat kezaliman. Segala bentuk perbuatan zalim diharamkan untuk dilakukan dalam apa juga bulan namun untuk bulan haram ia lebih diharamkan dan lebih besar dosanya.

Adapun perbuatan zalim itu boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu kezaliman yang paling besar adalah melakukan perbuatan syirik dan membawa kepada kufur. Kedua, kezaliman seseorang terhadap dirinya sendiri atau dengan bahasa yang mudah melakukan sesuatu perbuatan yang boleh membahayakan diri atau menganiaya dirinya sendiri. Manakala yang ketiga adalah melakukan kezaliman kepada orang lain.

Inilah antara keistimewaan Muharam yang kita sebagai umat Islam harus mengambil faedah dan manfaat dari kemuliaan yang Allah S.W.T. anugerahkan. Semoga kita menjadi insan yang bertakwa di sisi Allah. Wallahu a’lam utv

Ini sebab dinamakan Muharam dan ketahui keistimewaannya




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya tak maki Sanusi pun kena juga – Shahanim



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker