Dimana silapnya Bersatu dan kepimpinannya
Dimana silapnya Bersatu dan kepimpinannya
Penarikan sokongan Umno kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu dilihat sebagai langkah dramatik oleh kebanyakan pemerhati namun ia bukan satu kejutan buat parti itu.
Hubungan Umno dan Bersatu diwakili Muhyiddin tidak begitu baik sejak Langkah Sheraton dilakukan yang membentuk pentadbiran kerajaan PN.
Dalam satu temubual dengan FMT, pemimpin akar umbi Umno Shahrir Samad dan Wan Agyl Hassan memberi pandangan dimana silapnya Bersatu dan apa yang menjurus parti itu untuk meninggalkan kerajaan.
Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, berkata salah satu isu terbesar adalah berkenaan cara pengurusan pandemik apabila angka kes Covid-19 telah mencecah 20,000 kes sebanyak tiga kali dengan 360 angka korban harian dilaporkan pada 8 Ogos.
Shahrir berkata pelbagai sekatan penuh dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilakukan berulang kali telah melumpuhkan ekonomi.
“Disebabkan pengurusan krisis kesihatan yang teruk dan kurangnya sikap kepimpinan, mesej yang bercampur-baur, akhirnya ekonomi terjejas teruk,” katanya.
“Rakyat hilang pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan.
“Dengan krisis ekonomi dan kesihatan, ia adalah situasi yang teruk, ditambah pula dengan kegagalan kerajaan untuk memahaminya.”
Beliau berkata langkah pemberian bantuan oleh kerajaan memberi kesan yang minimum biarpun terdapat banyak pakej dan “angka besar” diumumkan oleh pentadbiran Muhyiddin.
“Rakyat perlukan bantuan fiskal, bantuan wang tunai yang sebenar. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak boleh keluar bekerja, anda tidak boleh terus memberi sumbangan makanan setiap masa. Kadangkala mereka perlukan wang tunai untuk membayar sewa dan pelbagai keperluan lain.
“Jika anda tidak boleh mencari jalan untuk membolehkan mereka keluar bekerja, anda perlu memberi bantuan wang tunai tetapi ia agak sedikit. Banyak pakej bantuan telah diumumkan tetapi bukan semuanya bersifat bantuan secara langsung.”
Bantuan yang tidak mencukupi daripada kerajaan mencetuskan gerakan Bendera Putih untuk membantu golongan memerlukan dengan usaha pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta rakyat yang bermurah hati.
Shahrir berkata ramai juga pelabur telah beralih mencari pasaran ke negara jiran selain negara ini.
Wan Agyl yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, berkata akar umbi parti itu begitu marah dengan tindakan Bersatu yang “mencuri” Ahli Parlimen daripada Umno untuk menambah angka sokongannya.
Daripada 31 orang Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat, hanya enam yang memenangi kerusi atas tiket Bersatu pada 2018.
Kebanyakan mereka yang lain pula memenangi pilihan raya sama ada sebagai ahli Umno atau Pakatan Harapan dan masih berada dalam gabungan itu sebelum Langkah Sheraton dilakukan.
Wan Agyl turut menyifatkan Bersatu melakukan “pengkhianatan” terhadap Umno apabila membentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain yang didakwanya, dilakukan tanpa pengetahuan parti itu.
“Malah, ketika Umno menyokong pembentukan kerajaan di bawah gabungan secara tidak rasmi, Bersatu masih tidak puas dan membentuk kerjasama rasmi PN dengan PAS. Tidak ada keikhlasan daripada Bersatu terhadap Umno.”
Ia akhirnya mengundang perpecahan Muafakat Nasional, iaitu pakatan Umno dan PAS, kini parti Islam itu berdiri teguh di belakang Muhyiddin.
Shahrir turut mengkritik keengganan kerajaan membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat berkuatkuasa.
Menyifatkannya sebagai “pelik dan berbahaya”, beliau berkata keabsahan Jemaah Menteri adalah bermula dari Parlimen.
Malah, selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat, Muhyiddin enggan berganjak dan hanya berbuat demikian selepas kenyataan Istana Negara itu diulangi semula.
Kemudiannya ia disusuli dengan krisis perlembagaan dan politik yang membawa kepada pembatalan Ordinan Darurat yang mencetus laungan “derhaka” daripada pembangkang.
Shahrir mempersoalkan mengapa Putrajaya mencetuskan kekecohan besar apabila gagal mendapat perkenan Baginda sebelum mengumumkan pembatalan itu.
“Mengapa salah urus? Kenapa tidak boleh melakukannya dengan elok? Ia begitu mudah. Siapa yang akan membantah pembatalan itu? Tidak ada siapa.
“Kemudian Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan menyebut keputusan dibuat pada 21 Julai. Jadi ia dibatalkan pada 21 Julai? Atau adakah ia akan dibatalkan pada Isnin nanti? Malah Yang di-Pertuan Agong juga bertitah Takiyuddin mengelirukan Parlimen.”
Susulan pergolakan itu, sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen daripada Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.
Ketika menggesa semua Ahli Parlimen daripada Umno mengikut ketetapan parti, Zahid menuduh Muhyiddin menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan.
Shahrir berkata Muhyiddin mempunyai kepimpinan yang kuat dalam tempoh 18 bulan lalu tetapi kekuatan itu tidak bermaksud 200 Ahli Parlimen perlu menyokong setiap langkahnya.
“Ia bermaksud mempunyai kekuatan dalam membuat keputusan, berkomunikasi dengan baik dan malah bercakap dengan pihak pembangkang. Krisis bukan masa untuk berbalah. Tetapi jika anda mempunyai kepimpinan yang lemah, ini yang kita dapat.”
Wan Agyl mendakwa kelangsungan negara akan terancam jika PN terus memerintah.
“Kami percaya pandemik ini boleh diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
“Pada masa sama, kita perlu mengembalikan kestabilan politik. Ini adalah masa untuk tunaikannya.” FMT
Dimana silapnya Bersatu dan kepimpinannya
Baca Artikel Menarik :
- MACC arrests JB mayor over alleged kickbacks
- Apa tindakan UMNO seterusnya, ini jawapan Zahid
- Abang Allahyarham Siti Sarah positif Covid-19, tahap oksigen menurun
- Mastura enggan patuh tuntutan UMNO Kuala Kangsar
- Sindiran Harith Iskander dibalas baik Menteri Agama
- Resepi Sotong Goreng Madu Best Giler
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.