Penderhakaan jeneral perang, politik

Sebaran :

DI SEBALIK kibaran Jalur Gemilang dan gelora patriotisme setiap bulan Ogos, negara kini melalui kemelut yang amat menggusarkan. Lebih sedih, tiada bala tentera asing yang mengetuk sempadan darat atau armada laut mengepung pelabuhan. Tidak ada Alfonso de Albuquerque, tidak ada J.W.W Birch, Jeneral Yamashita mahupun Chin Peng.Kini pertarungan adalah antara Hang Tuah dan Jebat, Megat Terawis dan Tun Saban, hulubalang Yamtuan Muda Raja Ali dan pengikut Dol Said atau Raja Muda Abdullah dan Sultan Ismail. Berbeza dengan pertelingkahan yang telah disebut, pertikaman hari ini masih terhad kepada pertikaman lidah dan bukan keris dan lembing.Perkataan yang kini lantang bersahut-sahutan antara mereka yang berseteru ialah musuh masing-masing dimomokkan sebagai ‘penderhaka’.

Penggunaan perkataan penderhaka dalam budaya Melayu adalah sesuatu yang amat berat maksud dan akibatnya, apa lagi sekiranya berkaitan raja dan negara.

Orang Melayu sebagai bangsa yang beradat dan berbudi bahasa sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan hikayat masa silam yang membentuk peribadinya sehingga ke hari ini. Sumpah setia diraja antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba untuk tidak derhaka kepada raja. Pantang Melayu derhaka kecuali raja nan zalim.

Sumpah ini diterjemahkan dalam undang-undang negara yang boleh membawa kepada hukuman mati. Antaranya adalah Seksyen 121: Berperang atau mencuba berperang atau menyubahati perang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri dan Seksyen 132: Menyubahati dahagi, jika dahagi dilakukan oleh sebab subahat itu.

Di medan pertempuran atau dalam kalangan pegawai dan anggota tentera, perkataan dahagi dikaitkan secara langsung dengan derhaka. Malah ia membawa erti yang lebih signifikan. Pertuduhan sedemikian terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang berkhidmat dalam angkatan tentera Malaysia akan hanya membawa satu makna dan akibat iaitu pengkhianat dan hukuman mati.

Analogi seorang jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di medan pertempuran adalah sama seperti seorang raja yang mentadbir jajahannya. Beliau berkuasa mutlak dan bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan anggotanya agar mencapai kemenangan dalam peperangan.

Perkiraan keadaan yang bijaksana, serta kelangsungan keamanan dan kesejahteraan negara pasca perang mesti diambil kira.Tidaklah seorang jeneral yang bijak jika beliau hanya berjaya mengalahkan musuh tetapi natijahnya bak kata pepatah Melayu, ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’.

Apa yang menyedihkan ialah perkataan penderhaka yang rasanya tidak pernah keluar dari mulut seorang jeneral ATM kini dilaungkan dengan begitu lancang oleh jeneral-jeneral politik. Walau tujuan atau arah perkataan itu dihamburkan juga kepada jeneral politik yang lain, media sosial elektronik dengan rakus menyebarkannya kepada umum.

Jeneral perang dan jeneral politik sebenarnya mempunyai natijah perjuangan yang sama. Ia untuk memastikan kesinambungan agar rakyat dapat hidup dengan aman, sejahtera dan kedaulatan negara terjamin, bukan setakat hari ini dan esok, tetapi juga generasi mendatang.

Perbezaan pula ialah jeneral ATM mempunyai kekuatan pegawai, anggota dan kelengkapan perang, manakala jeneral politik mempunyai sokongan rakyat yang meletakkan kepercayaan dan amanah kepadanya untuk memimpin melalui peti undi.

Apa yang pelik hari ini, jeneral politiklah yang berteriak ‘derhaka’ dengan lantang. Masing-masing menuduh lawan politik sebagai membuat onar kepada istana.

Bukan kereta kebal dengan meriam yang berulang ke istana, tetapi kenderaan mewah dengan bersenjatakan kononnya pelbagai warkah sokongan diangkut ke istana.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ada ramai calon ganti MP ingkar arahan MT

 


Sebaran :

Leave a Reply