Kuiz Pelaburan PNB 2021 tawar hadiah RM68,500

Kuiz Pelaburan PNB 2021 tawar hadiah RM68,500

Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengadakan Kuiz Pelaburan PNB 2021 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM68,500, mulai esok.

Kuiz tahunan yang diadakan kali ke-21 itu bertujuan menguji peserta mengenai konsep utama pelaburan dan perancangan kewangan melalui pendekatan hibur didik bagi kategori remaja dan umum.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin, berkata kuiz kali ini dengan tema Capai Kemerdekaan Kewangan adalah sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Namun katanya, konsep soalan pada tahun ini adalah berbeza berbanding tahun lalu dan lebih mencabar kerana peserta hanya diberikan petunjuk serta bayangan jawapan dan tiada lagi soalan objektif dengan pilihan jawapan A, B atau C.

“Setiap tahun kami berusaha meningkatkan cabaran dengan mempelbagaikan konsep soalan supaya Kuiz Pelaburan PNB kekal sebagai antara medium yang mampu menarik minat orang ramai untuk mendalami ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad berkata, sebelum ini, kuiz itu dianjurkan secara bersemuka di pentas, namun sejak tahun lalu ia diadakan sepenuhnya secara dalam talian sesuai dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

Katanya, pihaknya mendapati kaedah penyertaan dalam talian memberi peluang kepada penyertaan yang lebih meluas daripada orang ramai.

“Pada tahun 2020 sejumlah 173,980 penyertaan diterima iaitu meningkat sebanyak 120 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Malah kuiz itu sejak diadakan pada tahun 2001, sudah menerima hampir 800,000 penyertaan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kuiz kali ini adalah antara usaha berterusan ASNB dan PNB di bawah teras Literasi Kewangan dalam menyampaikan ilmu pelaburan dan pendidikan kewangan kepada orang ramai menerusi kaedah yang lebih menarik.

Katanya, penyertaan kuiz itu tidak terhad, namun setiap peserta hanya layak untuk memenangi satu hadiah sahaja.

Kuiz bagi Kategori Remaja berusia 13 sehingga 17 tahun akan diadakan mulai esok (9 Ogos) sehingga 22 Ogos, manakala bagi Kategori Umum berusia 18 tahun dan ke atas akan bermula dari 16 hingga 31 Ogos 2021.

Soalan untuk Kuiz Pelaburan PNB akan disiarkan selama lima hari berturut-turut di dua akhbar utama yang mana satu daripadanya ialah Berita Harian bermula esok sehingga 13 Ogos bagi Kategori Remaja manakala, 16 sehingga 20 Ogos bagi Kategori Umum.

Peserta disarankan untuk merujuk artikel yang diterbitkan kedua-dua akhbar berkenaan sepanjang untuk mendapatkan panduan bagi menjawab soalan.

Keputusan bagi kedua-dua kategori adalah berdasarkan semua jawapan yang betul dan sistem yang dibangunkan oleh ASNB akan memilih pemenang secara rawak.

Penyertaan untuk kuiz itu adalah secara dalam talian di laman web Amanah Saham Nasional Berhad www.asnb.com.my

Semua maklumat, soalan dan artikel berkaitan Kuiz Pelaburan PNB juga turut boleh didapati di laman web berkenaan. BH

Kuiz Pelaburan PNB 2021 tawar hadiah RM68,500


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nak tahu siapa Nazri sebenar, baca kenyataan lalunya – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker