Benarkah vaksin penyelesaian Covid-19?

JIKA soalan ini ditanyakan kepada golongan antivaksin, pasti mereka akan mengatakan vaksin bukanlah penyelesaian untuk pandemik Covid-19.

Golongan ini menolak vaksin kerana beranggapan vaksinasi akan menyebabkan penghapusan manusia, kemandulan dan mengubah DNA atau genetik seseorang.

Malah, ada yang mendakwa vaksin mengandungi cip berteknologi tinggi dan alat penjejak yang dapat ditanam dalam tubuh kita.

Justeru, ada video menunjukkan magnet yang melekat di tempat cucuk vaksin pada lengan bagi membuktikan dakwaan ini.

Selain itu, terdapat juga golongan yang beranggapan bahawa mereka tidak akan dijangkiti virus Covid-19 selepas divaksin.

Tetapi, jika ada yang masih dijangkiti selepas satu atau dua dos vaksin, mereka akan mengatakan pula bahawa vaksin tidak berkesan.

Kemudian, mereka menakut-nakutkan masyarakat umum apabila terdapat kematian yang kebetulan berlaku seminggu atau dua minggu selepas dicucuk vaksin.

Dengan sebegitu mudah mereka menyimpulkan bahawa vaksin bukan sahaja tidak berkesan malah kesan buruknya amat menakutkan.

Apabila terlalu banyak cerita negatif sebegini tentang vaksin yang tersebar, sedikit sebanyak kepercayaan masyarakat terhadap program vaksinasi sebagai usaha berhadapan dengan Covid-19 terjejas.

Selain itu, ada pula golongan yang memperjuangkan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19.

Setakat ini, pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan Ivermectin secara off label sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

Keputusan kajian Ivermectin untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 akan diketahui pada September ini.

Selagi tiada data rasmi daripada KKM, janganlah ambil Ivermectin untuk merawat Covid-19 ini.

Tujuan utama ubat ini ialah sebagai ubat cacing parasit seperti dalam rawatan untuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthoases.

Sebagai orang awam, kita tidak tahu dos yang sesuai. Oleh kerana dos yang ada di pasaran adalah untuk haiwan, kemungkinan dos untuk lembu atau kuda itu tinggi dan tidak sesuai bagi manusia.

Kenapa ubat antiparasit atau antihelmint Ivermectin boleh dikaitkan dengan rawatan Covid-19?

Ini kerana terdapat ujian in vitro (ujian dalam makmal menggunakan balang kaca) yang menunjukkan bukti awal Ivermectin mempunyai keupayaan antiviral terhadap sekumpulan besar virus. Namun, belum ada bukti kajian klinikal yang jelas untuk mengaitkan kesan sama ke atas pesakit Covid-19.

United Kingdom (UK) memutuskan untuk melonggarkan sebahagian besar sekatan sosial bermula 19 Julai lalu.

Kadar jangkitan yang dicatatkan di seluruh UK berkurangan selama tujuh hari berturut-turut dengan 23,511 kes baharu diumumkan pada 27 Julai berbanding 46 558 pada minggu sebelumnya, iaitu pengurangan hampir 50 peratus meskipun penguatkuasaan pemakaian pelitup muka ditarik balik dan penjarakan sosial di tempat awam dilonggarkan.

Ini menunjukkan bahawa kempen vaksinasi UK berjaya apabila lebih 70 peratus golongan dewasa sudah menerima dua suntikan lengkap.

Maka, walaupun vaksin bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk Covid-19, ia merupakan ikhtiar kita bagi melawan virus ini. Yang paling utama adalah tetap mengamalkan SOP yang dianjurkan KKM.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Amboi Mona Allen! Baik Punya….

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker