Tarik balik sokongan atau hadapi tindakan parti

Sebaran :

Tarik balik sokongan atau hadapi tindakan parti, kata Johari Ghani

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Johari Ghani, menggesa parti Melayu itu mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana ahli yang terus-menerus mengingkari keputusan yang dibuat parti itu selepas mengambil kira penderitaan ekonomi dan kesihatan serta isu perlembagaan yang dihadapi negara ketika ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada Selasa mengumumkan semua Ahli Parlimen Umno mesti menarik balik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, susulan kemelut berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

“Umno telah pun memberi justifikasi yang jelas berkenaan penarikan sokongan (terhadap kerajaan Perikatan Nasional) ini,” kata bekas Menteri Kewangan II itu kepada FMT.

Tegasnya, Umno tidak boleh membiarkan penyanggahan yang dibuat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh terus bersama kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengurus krisis Covid-19.

Ketika berita ini ditulis, 14 Ahli Parlimen Umno membuat keputusan untuk patuh kepada keputusan parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin, namun beberapa wakil rakyat lain, termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi kerajaan belum berbuat demikian.

Johari berkata, “semua Ahli Parlimen Umno mesti patuh kepada keputusan parti” dan membuktikan ketaatan mereka.

Beliau menarik perhatian kepada Perkara 20.8(b) perlembagaan Umno yang menyatakan setiap ahli hendaklah mengikut perintah parti, sekali gus mengingatkan parti supaya tidak bersikap berat sebelah.

“Umno lebih besar daripada mana-mana individu dan tiada ahli yang lebih penting daripada parti, tidak kira apa dan berapa tinggi jawatan kerajaan yang dipegang oleh individu tersebut,” katanya.

“Kita perlu konsisten dalam menguruskan parti. Umno tidak boleh membenarkan mana-mana ahli menggunakan parti ini untuk kepentingan diri atau untuk menyelesaikan masalah peribadi,” tambahnya.

Ketika kes harian Covid-19 dan jumlah kematian mencecah rekod tertinggi semalam, dan rakyat serta perniagaan sangat terkesan dengan kegagalan menguruskan wabak, Johari memberi amaran “tidak ada gunanya untuk Umno kekal bersama-sama kerajaan PN”.

Johari mengulangi seruan supaya seorang perdana menteri interim dilantik untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

“…supaya pilihan raya boleh diadakan untuk menyelesaikan kebuntuan politik,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri interim mesti sedaya upaya membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana, serta memulihkan keyakinan pelabur.

Johari menegaskan pemimpin sama juga harus menghormati kepentingan Parlimen dan memahami peranan Raja Berpelembagaan sebagai semak dan imbang ke atas pentadbiran negara. FMT

Tarik balik sokongan atau hadapi tindakan parti


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Langkah Seri Pacific, gerakan musuh dalam selimut


Sebaran :

Leave a Reply