Politik Muhyiddin bakal berakhir, UMNO mungkin kembali bangkit

Politik Muhyiddin nyawa-nyawa ikan, UMNO mungkin kembali bangkit

SEGALANYA bermula dengan sidang khas Parlimen. Susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa amat dukacita terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana bertindak membatalkan Ordinan Darurat tanpa menunggu perkenan Seri Paduka Baginda.

Negara kemudiannya gegak gempita dengan polemik mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan Jemaah Kabinet, Speaker Parlimen dan Peguam Negara untuk meletak jawatan susulan kerajaan PN didakwa ‘menderhakai’ Istana Negara.

Desakan itu bertambah kuat apabila beberapa siri perhimpunan mendesak Muhyiddin dan Jemaah Kabinet meletak jawatan dianjurkan, dimulai dengan himpunan #Lawan Anak Muda diikuti agenda perarakan ahli-ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen pada Isnin.

Pada perarakan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi membantah penangguhan sidang khas Parlimen, Ketua Pembangkang itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan PN sudah tumbang susulan sejumlah 107 ahli Parlimen pembangkang berkumpul mendesak Muhyiddin letak jawatan.

Tambah beliau, angka itu tidak termasuk beberapa ahli Parlimen parti kerajaan (dirujuk UMNO) yang didakwanya sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Perkara itu disahkan pula oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada Selasa.

Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO sudah mempersembahkan sejumlah surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen parti itu yang mencukupi untuk membolehkan kerajaan PN hilang majoriti.

Turut serta bersama Ahmad Zahid ketika itu merupakan 10 ahli Parlimen UMNO, termasuk Ahli MKT, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang terdahulu meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Timbalan Speaker Parlimen, Datuk Seri Azalina Said Othman.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Rabu menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti.

Bahkan, Muhyiddin turut mendedahkan hanya lapan ahli Parlimen UMNO sahaja yang dikenal pasti mempersembahkan SD menarik sokongan terhadap beliau kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Perdana Menteri itu dipanggil menghadap ke Istana Negara.

Dengan jangka hayat Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri akan bertahan sekurang-kurangnya sebulan lagi susulan beliau bersetuju untuk membuktikan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadapnya menerusi usul undi percaya di Parlimen pada September hadapan.

Susulan jangka hayat politik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terus bertahan untuk tempoh sebulan lagi, adakah gerakan politik terkini UMNO salah langkah?

Pada saat kritikal kini, seorang veteran UMNO berpendapat parti itu perlu mengenepikan sebarang perkiraan untung rugi politik dalam menjustifikasi keputusan diumumkan Ahmad Zahid selaku Presiden parti.

Najib, UMNO Peroleh Kembali Aset Yang Disita Bernilai RM114 juta

Sebaliknya, parti itu perlu mempertahankan maruah dan integriti dengan mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli Parlimen UMNO yang enggan mematuhi arahan parti termasuk Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam perlembagaan UMNO jelas, mana-mana pemimpin yang tidak ikut arahan parti, maka mereka patut diberikan surat tunjuk sebab, dihadapkan ke hadapan Lembaga Disiplin seterusnya dipecat sekiranya didapati bersalah.

“Perkara ini perlu dilakukan Setiausaha Agung UMNO dengan secepat mungkin supaya integriti dan maruah parti dapat dipelihara, walaupun keputusan itu secara zahirnya dilihat melemahkan parti,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Sinar Premium pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohamad Khir menjangkakan keputusan pemecatan ahli-ahli Parlimen UMNO yang ingkar kepada pendirian parti inilah yang ditunggu-tunggu Muhyiddin.

Hal ini kerana proses tindakan disiplin terhadap mereka akan memberi ruang ahli-ahli Parlimen berkenaan untuk menyertai musuh ketat UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membolehkan jawatan dalam kerajaan PN dapat dikekalkan.

“Ditambah dengan alasan kukuh bahawa tindakan kerajaan PN tidak menghormati Istana Negara bertentangan dengan perlembagaan UMNO.

“Soal UMNO jadi kuat atau lemah selepas tindakan tegas diambil nombor dua. Tetapi paling penting maruah dan integriti parti,” katanya.

Merungkai persoalan sama ada kesan pemecatan terhadap mana-mana ahli Parlimen UMNO kelak bakal merugikan parti, Mohamad Khir berpandangan apa jua bilangan ahli Parlimen parti yang menyokong keputusan UMNO keluar daripada kerajaan PN masih mampu menjadikan parti itu sebagai ‘kingmaker’.

Sekiranya kerajaan PN benar-benar jatuh pada bulan September 2021, terdapat dua kemungkinan peranan yang boleh dimainkan UMNO dalam menentukan pembentukan kerajaan baharu.

“Peranan pertama, UMNO menjadi pembangkang dengan sebuah kerajaan minoriti daripada mana-mana parti yang mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak akan dipilih Yang di-Pertuan Agong untuk ditubuhkan, meskipun tidak mencapai majoriti.

“Memandangkan undi ahli-ahli Parlimen UMNO penting bagi membolehkan usul pengundian belanjawan diluluskan, justeru kerajaan minoriti berkenaan perlu memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan UMNO kerana status parti itu sebagai ‘kingmaker’,” jelas Mohamad Khir lagi.

Langkah kedua yang boleh diambil UMNO sekiranya kerajaan PN tumbang adalah menubuhkan jajaran baharu dengan parti pembangkang bagi tujuan pembentukan kerajaan baharu yang mempunyai majoriti kukuh.

Meskipun keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 jelas ‘No Anwar, No DAP, No Bersatu’, UMNO masih boleh menggunakan kaedah mengenepikan keputusan PAU berkenaan melalui ketetapan terkini yang dibuat oleh MKT.

“Kaedah ini dapat dibuktikan berdasarkan kes pemecatan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1997 oleh MKT ketika itu, walaupun beliau dilantik menggalas jawatan itu melalui PAU.

“Perkara ini turut terkandung dalam perlembagaan parti dan tiada masalah untuk MKT selaku badan pembuat dasar UMNO mengenepikan ketetapan PAU sekiranya berlaku keadaan istimewa,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun terdapat pandangan berbeza yang menganggap tindakan Ahmad Zahid mendesak ahli-ahli Parlimen UMNO untuk keluar daripada kerajaan PN menyebabkan parti itu kini ibarat retak menanti belah.

Bagi penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling pula, tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga tidak ubah seperti ‘Pak Pandir yang tidak pandai mengira’.

“Hal ini susulan gerakan politik dipercayai dicetuskan Zahid hanya mampu menarik lapan ahli Parlimen sahaja berbanding jumlah keseluruhan 38 ahli Parlimen UMNO.

“Akhirnya keputusan mereka ini hanya menyebabkan pertukaran kerusi Parlimen sahaja yang berlaku, daripada blok kerajaan kepada blok bebas sebagaimana permintaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kepada Speaker Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Zainal turut menjangka kerajaan PN bukan sahaja terselamat, bahkan akan bertambah kuat menjelang sidang Parlimen pada bulan September kelak.

Pandangan beliau itu berdasarkan kemungkinan Muhyiddin akan mendapat sokongan tambahan daripada parti-parti lain termasuk parti diasaskan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Berdasarkan situasi terkini politik yang berlaku, ada juga kemungkinan Muhyiddin akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekurang-kurangnya sehingga Disember tahun hadapan susulan blok pembangkang sendiri pun berpecah belah,” katanya.

 

Gerakan politik terkini UMNO yang gagal menumbangkan kerajaan PN mungkin memakan diri parti itu pada masa hadapan.
Gerakan politik terkini UMNO yang gagal menumbangkan kerajaan PN mungkin memakan diri parti itu pada masa hadapan.

 

Berkenaan nasib Zahid dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong beliau sekiranya kerajaan PN terus bertahan, Zainal tidak menolak kemungkinan kumpulan ahli Parlimen UMNO yang anti Zahid pastinya akan menggembleng tenaga untuk menumbangkan beliau daripada jawatan Presiden sekiranya berpeluang.

Jelas beliau, kumpulan ini juga akan memujuk ketua-ketua bahagian supaya menuntut Mesyuarat Agung UMNO Luar Biasa (EGM) diadakan atas tujuan pemecatan Presiden UMNO,

Tambah Zainal lagi, perkara itu hanya boleh direalisasikan sekiranya mereka dapat membuktikan Ahmad Zahid benar-benar menjalinkan kerjasama dengan Anwar.

“Realitinya UMNO pasti menerima kesan paling negatif sekiranya mereka bertegas untuk menjadi pembangkang pada saat kerajaan PN mampu mengekalkan hayat politik sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Mereka akan kehilangan kelebihan sokongan jentera kerajaan selain calon-calon pilihan raya yang berpotensi menang susulan individu-individu ini lebih tertarik menyertai PN yang menjanjikan pembiayaan dana pilihan raya.

“Kecuali UMNO berani melakukan transformasi kepimpinan yang mempunyai misi dan visi jelas, parti itu akan terus berada di pihak yang rugi sekiranya mereka kekal untuk menjadi pembangkang,” katanya.

Politik Muhyiddin nyawa-nyawa ikan, UMNO mungkin kembali bangkit


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wan Fayhsal pujuk saya sokong Muhyiddin sebelum didakwa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker