Nazri kata permintaan Muhyiddin diperkenan Agong bukti PM tidak derhaka

Sebaran :

A

Nazri kata permintaan Muhyiddin diperkenan Agong bukti PM tidak derhaka. Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan keabsahannya melalui sidang Parlimen akan datang mengikis dakwaan kononnya kerajaan menderhaka kepada Istana Negara.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sekiranya isu penderhakaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah sahih, sudah tentu Seri Paduka Baginda tidak akan memperkenankan sebarang permintaan Muhyiddin sewaktu sesi menghadap baginda di Istana Negara, pagi Rabu.

Jelas beliau, dakwaan penderhakaan kepada institusi diraja tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa sahaja termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melainkan kenyataan daripada Istana Negara sendiri.

“Kalau isu derhaka wujud, sudah tentu Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima sebarang permintaan Perdana Menteri dalam sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara, pagi tadi (Rabu).

“Soal dakwaan penderhakaan oleh kerajaan PN terhadap Istana Negara juga tidak boleh diwakilkan kepada pemimpin biasa termasuk Ahmad Zahid, kecuali kenyataan itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong sendiri. Justeru, tidak bangkit soal penderhakaan kerajaan PN terhadap Seri Paduka Baginda sebagaimana didakwa Zahid,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman khas Muhyiddin yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permintaan beliau untuk membuktikan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadapnya menerusi usul undi kepercayaan di sidang Parlimen pada September hadapan.

Permohonan itu disembah maklum Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong susulan warkah Seri Paduka Baginda memaklumkan bahawa terdapat lapan ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada baginda menyatakan mereka telah menarik sokongan daripada Perdana Menteri itu.

Parti pembangkang sepakat tolak kepimpinan Muhyiddin

Dalam sidang media khas itu juga, Muhyiddin turut menegaskan beliau masih memiliki jumlah sokongan majoriti ahli Parlimen, sekali gus menyatakan isu peletakan jawatan bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Terdahulu, Muhyiddin dan kerajaan PN dituduh tidak menghormati Istana Negara susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang amat dukacita dengan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa menunggu perkenan Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Mohamed Nazri turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin di atas semangat integriti beliau untuk tidak membenarkan kerajaan mencampuri urusan pendakwaan kes mahkamah yang sedang dihadapi beberapa pemimpin UMNO ketika ini.

Jelas beliau, pendedahan Perdana Menteri bahawa beliau didesak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah termasuk Ahmad Zahid turut membuktikan kebimbangan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah berasas.

“Kita sudah menjangkakan langkah terburu-buru Zahid mendesak ahli-ahli Parlimen BN keluar kerajaan PN secara tergesa-gesa ketika ini ada kaitan dengan kes pendakwaan mahkamah dihadapi beliau yang sepatutnya berlangsung bulan ini.

“Pemerhatian kami adalah Ahmad Zahid sudah menjangka beliau akan disabitkan bersalah. Justeru, kalau beliau dihukum pada saat UMNO membuat keputusan menarik sokongan kerajaan PN, maka beliau boleh menggunakan alasan ‘dianiaya’ kerajaan susulan tindakan politik dibuat,” katanya.

Nazri kata permintaan Muhyiddin diperkenan Agong bukti PM tidak derhaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PM kekal jawatan: Bursa Malaysia terus susut


Sebaran :

Leave a Reply