11 Beradik Nama Unik Dari Kisah Kehidupan Ayah

11 Beradik Nama Unik Dari Kisah Kehidupan Ayah

“Nama kesemua 11 adik-beradik saya unik dan panjang yang diinspirasikan daripada kisah hidup ayah,” kata Suasanamasra Saubissabriah Bahrum, 60.

Suasanamasra Saubissabriah berkata, bapanya, Bahrum Basar, 100, adalah seorang sasterawan dan penulis sajak suka mencari perkataan yang mempunyai maksud indah untuk dijadikan nama anaknya.

Menurutnya, selain itu, nama mereka juga dikaitkan dengan situasi semasa hidup Bahrum ketika itu.

“Contoh, nama awal saya iaitu Suasanamasra diberikan kerana pada masa itu, ayah baru berpindah ke kampung dari Kuala Lumpur.

“Pada peringkat awal pindah, hubungan dengan beberapa pihak kurang mesra. Apabila saya lahir, ayah memilih nama ini (Suasanamasra) dengan harapan hubungan dengan pihak berkenaan pulih dan alhamdulillah, ia menjadi kenyataan,” katanya yang menetap di Kampung Sompo, Negeri Sembilan.

Pesara kerajaan itu berkata, nama keduanya iaitu Saubissabriah diambil daripada ayat terakhir Surah al-Asr dan bapanya mendapat ilham memilih nama itu menerusi mimpi.

 

SUASANAMASRA Saubissabriah bersama suaminya.
SUASANAMASRA Saubissabriah bersama suaminya.

Kata Suasanamasra Saubissabriah, melalui keunikan namanya, dia juga mudah memperoleh ramai kenalan baharu.

“Malah, mereka yang baru mengenali saya juga tidak akan melupakan nama saya.

“Paling menarik, keunikan nama ini membuatkan saya dapat mengenali rakan adik-beradik yang lain,” katanya.

Anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, rakan memanggilnya dengan panggilan yang ringkas iaitu Sana, Su dan Ana.

“Semasa di sekolah berasrama, saya sentiasa menjadi perhatian kerana ramai rakan ingin mengetahui kisah di sebalik nama ini.

“Perkara yang sama juga berlaku apabila saya mengenali rakan baharu dan berpindah tempat kerja,” katanya.

Suasanamasra Saubissabriah juga mengatakan yang dia sentiasa bersyukur dengan nama indah yang diberikan bapanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun nama panjang serta unik,” katanya.

Isteri hamil aje, dah fikirkan nama

Kuala Lumpur: “Setiap kali mengetahui arwah isteri hamil, saya sudah mula memikirkan nama untuk anak.

“Ia diikuti dengan amalan solat sunat hajat, bacaan Yasin dan berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan dalam membuat pilihan nama anak.

“Saya turut mendapat ilham nama anak menerusi mimpi,” kata Bahrum Basar, 100.

 

MANISALAMUHIBAHATI Aminjaya bersama keluarga.
MANISALAMUHIBAHATI Aminjaya bersama keluarga.

Bahrum mempunyai 11 anak yang semuanya diberikan nama yang panjang dan unik.

Malah dia juga masih boleh mengingati dengan baik nama semua anaknya.

Menurutnya, selepas setiap anak dilahirkan, barulah dia memuktamadkan pilihan nama yang bersesuaian.

“Setiap nama anak mempunyai makna dan sebab musababnya. Sebagai contoh nama anak sulung, Rasanubari Asmaramah, 69.

“Dahulu, saya pernah berjanji kepada diri akan mendirikan rumah tangga apabila berusia 30 tahun.

“Sepanjang tempoh itu, pelbagai rasa yang dirasai di hati dan juga banyak kisah hidup dilalui,”katanya.

Bahrum yang juga seorang sasterawan dan penulis sajak berkata, Rasanubari ialah gabungan perkataan Rasa dan Sanubari yang menjelaskan perasaan di hatinya.

“Asmaramah pula adalah kombinasi tiga perkataan iaitu Asmara, Rabu dan Ramah.

“Asmara mengambarkan perasaan cinta dan kasih di atas kelahiran anak pertama yang dilahirkan pada hari Rabu.

“Manakala perkataan Ramah ini diambil daripada perkataan di dalam al-Quran iaitu Rahmah yang bermaksud rasa belas dan kasih sayang,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya sifat dan karakter seseorang itu akan mengikut nama yang diberikan.

“Misalnya, nama anak bongsu saya, Ayu Akhbari Hasbiallah, 48. Dua nama terakhirnya adalah daripada perkataan Arab.

“Secara kebetulan dia direzekikan bekerja di Timur Tengah yang kini bertugas sebagai pegawai bank di Dubai.

“Sebelum ini, Ayu Akhbari Hasbiallah bekerja di sebuah bank di Bahrain,”katanya.

Bahrum turut kongsikan kisah arwah isterinya pernah berasa risau dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak begitu baik, tetapi anak semakin bertambah.

“Saya memujuk arwah isteri untuk menghilangkan kerisauan hatinya dengan meyakinkan dan mengatakan bahawa keberkatan daripada nama anak sulung, mereka sekeluarga akan diberikan rezeki yang mencukupi.

“Alhamdulillah, setiap kelahiran anak membawa rezeki yang berbeza hingga mereka berjaya dalam hidup masing-masing,” katanya.

Manisalamuhibahati bukan ‘Puan’

Kuala Lumpur: “Ada yang memanggil saya ‘puan’ walaupun tertera perkataan ‘bin’ pada nama.

“Perkara ini berlaku apabila tidak bertemu dengan individu tak dikenali seperti dihubungi menerusi telefon,” kata Manisalamuhibahati Aminjaya Bahrum, 53.

Manisalamuhibahati Aminjaya bukan sahaja nama yang unik, tetapi juga mempunyai 26 huruf.

Dia anak kesembilan daripada 11 beradik yang juga adik kepada Suasanamasra Saubissabriah, 60.

Katanya, kejadian itu sedikit pun tidak membuatkan terasa hati, tetapi berasa kelakar.

“Ramai terkejut apabila saya memberitahu perkara sebenar iaitu seorang lelaki.

“Saya juga sering diajukan soalan berasal dari mana (merujuk negeri), setiap kali bertemu dengan individu baru dikenali,” katanya.

Menurutnya, ke mana sahaja dia pergi, pastinya akan menjadi tumpuan ramai kerana tertarik dengan keunikan namanya.

 

BAHRUM (kiri) setiap hari membaca akhbar dan melayari internet untuk mendapatkan berita terkini.
BAHRUM (kiri) setiap hari membaca akhbar dan melayari internet untuk mendapatkan berita terkini.

“Ketika kecil hingga berusia 15 tahun, saya sering berulang- alik ke hospital di Negeri Sembilan untuk menjalani pemeriksaan mata.

“Setiap bulan ke sana, pastinya akan ‘ditemu ramah’ petugas kesihatan hospital berkenaan kerana mereka ingin mengetahui sejarah nama, siapa memberikan nama itu dan sebagainya,” katanya.

Dia kini menetap di Johor Bahru berkata, ramai terpaku apabila dia memberitahu nama semua adik-beradiknya.

“Bahkan mereka teruja mendengar nama itu (nama adik-beradik) dan menganggapnya terlalu unik.

“Ayah beritahu, pemilihan nama saya ini mempunyai kaitan dengan beberapa perkara dan peristiwa pada waktu itu.

“Perkataan awal nama iaitu Manisalam ialah gabungan daripada perkataan ‘Manis’ dan ‘Alam’,” katanya.

Katanya, ia menggambarkan keindahan kelahirannya sebagai anak lelaki kedua daripada sembilan adik-beradik pada ketika itu, sebelum lahirnya lagi dua adik.

Usahawan itu berkata, ‘Muhibahati’ adalah kombinasi perkataan ‘Muhibah’ dan ‘Hati’. Ia dipilih bersempena Perjanjian Muhibah antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun pada 7 Mei 1968.

“Lanjutan perjanjian itu Jepun menghadiahkan dua kapal sebagai penyelesaian kepada tuntutan ‘hutang darah’ oleh Kerajaan Malaysia akibat pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

“Satu lagi ialah berkaitan dengan Kempen Muhibah rakyat selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965.

“Rasa muhibah adalah terletak pada hati, tanpa itu usaha tidak akan tercapai (muhibah dan kerharmonian negara).

“Aminjaya pula membawa maksud satu ‘doa’ yang mengharapkan kejayaan,” katanya.

Dia yang juga dipanggil Amin dalam kalangan rakan berkata, apabila mereka mengetahui nama penuhnya, ia menjadi cabaran kepada mereka untuk mengingatinya.-HM

11 Beradik Nama Unik Dari Kisah Kehidupan Ayah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lelaki Britain tikam sembilan ekor kucing

Jangan berhimpun atau tindakan akan diambil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker