Takiyuddin mungkin jadi kambing hitam Muhyiddin
Takiyuddin mungkin jadi kambing hitam Muhyiddin, kata penganalisis
Berdepan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin terpaksa mempersembahkan “kambing hitam” untuk menempuh kemelut yang tercetus, menurut penganalisis politik Azmi Hassan.
Beliau berkata, tindakan terhormat boleh diambil Muhyiddin adalah dengan mengundurkan diri setelah menerima teguran daripada Istana, tetapi ini mungkin tidak akan terjadi, seperti yang dapat dilihat melalui kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa Agong harus mengikut nasihat Perdana Menteri.
Katanya, berbanding Muhyiddin mengundur diri, mungkin seseorang akan dipilih menjadi “kambing hitam”.
“‘Kambing hitam’ itu mungkin Takiyuddin Hassan,” katanya.
Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), mengejutkan Dewan Rakyat Isnin lalu apabila beliau mengumumkan bahawa semua Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai.
Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan media pada Khamis bahawa kerajaan tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan tersebut.
PMO menegaskan bahawa ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan dengan memaklumkan Agong mengenai pembatalan Ordinan Darurat dan “membentangkannya” di Dewan Rakyat dengan meletakkan dokumen di meja Ahli Parlimen.
Alasan ini tidak memuaskan hati sesiapa, dan Azmi berkata, seseorang mesti dipersalahkan agar tekanan Umno untuk Perdana Menteri meletak jawatan dapat dipesongkan.
Penganalisis Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, Muhyiddin perlu “berperang dengan bijak” untuk bertahan dalam kemelut politik ini.
“Peperangannya adalah dengan lonjakan kes Covid-19 dan ekonomi yang sedang bergelut, bukan dengan Istana,” katanya.
“Muhyiddin perlu mengakui mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat dengan tergesa-gesa adalah satu kesilapan yg tidak disengajakan.”
Katanya, gabungan memerintah pimpinan Perikatan Nasional berada dalam keadaan rapuh dan tidak mampu berlaga dengan Istana.
“Muhyiddin harus merendah diri jika beliau merancang untuk kekal. Atau mungkin lebih baik untuk ada Perdana Menteri interim,” katanya.
Pakar perlembagaan Bastion Pius Verdagon berkata, Agong mempunyai kuasa untuk meminta penjelasan dan PMO silap apabila berkata ia mengikuti undang-undang dan perlembagaan.
“Kerajaan mengumumkan darurat pada Januari setelah menasihati Agong, dengan baginda membuat pengisytiharan. Perkara yang sama perlu dilakukan ketika membatalkan ordinan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, walaupun kedudukan Perdana Menteri tidak berubah sekalipun menerima teguran daripada Istana, kerajaan silap dalam menafsirkan Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, Takiyuddin kekal tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, tetapi beliau boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat.
Bagi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pula, Verdagon berkata, tindakan boleh diambil terhadapnya jika didapati bersekongkol dengan kerajaan dalam perkara ini.
Namun, satu-satunya jalan keluar daripada kemelut perlembagaan yang semakin mendalam ini, katanya, adalah dengan Agong sekali lagi bertemu setiap Ahli Parlimen secara individu dan melihat sama ada kerajaan masih mempunyai majoriti untuk mentadbir negara.
Baginda juga boleh membenarkan Dewan Rakyat membuat undian tidak percaya terhadap Perdana Menteri, tambahnya.
Agong, berdasarkan Perkara 130 Perlembagaan, boleh merujuk perkara ini ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan. FMT
Takiyuddin mungkin jadi kambing hitam Muhyiddin
Baca Artikel Menarik :
- Lanjut sidang khas Parlimen, gesa Ku Li
- Jangan berhimpun atau tindakan akan diambil
- Penduduk kampung jerit minta Jokowi buka sekatan
- Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak
- Sajat diberi notis bankrap, gagal bayar ganti rugi
- Resepi kek coklat kukus laku keras
Layari Laman Facebook MYKMU