Yang buruk jadi lebih buruk – Muhyiddin rumitkan keadaan

Yang buruk jadi lebih buruk – Muhyiddin rumitkan keadaan

Oleh Mohsin Abdullah

Saya setuju dengan pendapat ramai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mesti letak jawatan setelah Yang di-Pertuan Agong menzahirkan “rasa amat dukacita” dengan pengumuman kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal belum diperkenan baginda.

Tetapi Muhyiddin tidak menunjukkan tanda akan melepas jawatan Perdana Menteri. Sebaliknya memilih mengeluarkan kenyataan balas yang boleh dilihat menidakkan apa yang dititah Agong.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri dikeluarkan lewat petang semalam iaitu beberapa jam selepas Istana Negara mengeluarkan titah Agong. Kenyataan PMO itu berikutan perjumpaan anggota Jemaah Menteri dengan Muhyiddin di kediaman Perdana Menteri. Mereka bergegas bertemu Muhyiddin dari Parlimen di mana kenyataan Istana Negara dibaca oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Bagi saya, kenyataan PMO adalah hasil perbincangan Muhyiddin dengan para menterinya serta Peguam Negara yang turut hadir di kediaman Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan PMO, kerajaan Perikatan Nasional mempertahankan tindakan mereka membatal Ordinan Darurat tanpa perlu pengundian di Parlimen.

Mereka menghuraikan apa yang mereka lihat sebagai peruntukan undang-undang dan Perlembagaan bagi membolehkan tindakan itu. Panjang lebar yang saya tidak bercadang menghuraikan di sini.

Tetapi perlu saya paparkan bahawa PMO menyatakan Agong “sedia maklum (bagi saya mengingatkan) bahawa baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan.”

Saya tidak juga bercadang mengulas panjang kenyataan PMO itu. Cuma menyentuh secara ringkas khususnya sesuatu yang agak memeranjatkan.

Bagi saya, yang memeranjatkan saya (tidak tahu lah orang lain) ialah PMO menegaskan kerajaan sudah menasihati Agong terlebih dahulu.

“Pada 23 Julai 2021 Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya,” kata PMO.

Menurut kenyataan berkenaan, sehari sebelumnya iaitu 22 Julai 2021, PMO menerima deraf Ordinan Darurat yang disediakan Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Agong dibatalkan berkuatkuasa 21 Julai 2021. (Kita tahu Agong dan Raja Raja Melayu terlebih dahulu bertitah tidak mahu tempoh darurat yang dijadual tamat 1 Ogos 2021 dilanjutkan)

Tetapi, menurut kenyataan Istana Negara pula, Agong menzahirkan rasa amat dukacita kerana “apa yang telah diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Parlimen dan Undang-undang) dan Idrus Azizan Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkai telah tidak dilaksana”.

Lantas menurut Istana Negara, Agong menegaskan kenyataan menteri (Takiyuddin) di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah “tidak tepat dan mengelirukan ahli ahli Dewan Rakyat”.

Kenyataan Istana Negara seterusnya memberitahu Agong turut menegaskan bahawa “permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku ketua utama negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.”

Menurut kenyataan itu lagi, Agong sedia maklum akan Perkara 40(1) Perlembagaan.

Kenyataan Istana Negara, atau lebih tepat titah Agong, sememangnya cukup jelas. Kenyataan PMO, atau lebih tepat Muhyiddin pula, terpulang kepada masing-masing “membaca” apa yang cuba disampaikan.

Namun yang buat saya musykil ialah mengapa PMO tidak mengeluarkan kenyataan untuk memberi “penjelasan” sebelum Takiyuddin berucap di Parlimen pada Isnin 26 Julai. Mengapa kenyataan dikeluarkan hanya setelah Agong menzahirkan rasa amat dukacita baginda?

Ada pemerhati politik berpendapat semua ini dilakukan untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin dan kerajaannya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan masih mendapat sokongan lebih 100 ahli Parlimen. Kita tahu jumlah atau angka sokongan kerajaan khususnya Muhyiddin tidak pernah diumum secara rasmi.

Anwar pula mahu kerajaan uji sokongan itu di Dewan Rakyat. Sidang Parlimen ditangguh beberapa kali semalam berikutan kenyataan Istana Negara. Ia dikatakan akan disambung Isnin ini. Harapan kita itu akan berlaku.

Apa pun bagi saya kenyataan PMO hari ini untuk ‘menjawab’ kenyataan Istana Negara hanya memburukkan keadaan yang sememangnya sudah buruk.

Yang buruk jadi lebih buruk – Muhyiddin rumitkan keadaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker