Ketua Pembangkang taraf menteri

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang Parlimen yang pertama dalam sejarah Malaysia diberi taraf sebagai menteri. Taraf menteri itu bukan sahaja digambarkan dalam ganjaran menteri tetapi juga kuasa dan penghormatan sebagai menteri dalam perihal Parlimen serta pentadbiran.

Jika sebagai ahli Parlimen biasa, Anwar dahulu perlu memberi notis 14 hari lebih awal untuk membawa usul dalam Parlimen. Kini apabila bertaraf menteri, beliau cuma perlukan tujuh hari dan jika Yang Dipertua Dewan Rakyat berpuas hati bahawa pembahasan usul itu memenuhi kepentingan awam, ia mengambil masa sehari sahaja.

Difahamkan pengiktirafan taraf menteri itu dibuat dalam bentuk surat rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Saya berharap ia akan dikanunkan melalui pindaan kepada Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan juga Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pengiktirafan bertaraf menteri itu seharusnya diguna pakai bukan untuk Anwar seorang kerana Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), tetapi untuk semua Ketua Pembangkang Parlimen masa depan, tak kira daripada PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

MENGHORMATI PEMBANGKANG

Pengiktirafan itu besar ertinya kalau kita lihat perkembangan demokrasi berparlimen yang bermula di England.

Revolusi Gemilang yang tidak berdarah berlaku pada 1688, sedekad sebelum peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Ia telah meluputkan kuasa mutlak raja. Ia mengakhiri pertarungan kuasa antara istana dan Parlimen, sekali gus menyelamatkan institusi Raja England daripada penggulingan dalam revolusi berdarah seperti apa yang berlaku di Perancis sekurun kemudian (1789-1799).

Dan dengan keberkecualian raja dalam politik, pertarungan kuasa politik juga berpindah ke dalam kalangan ahli Parlimen England yang telah pun berpuak-puak sebagai parti-parti Tory and Whig yang menjadi pelopor parti Konservatif dan Liberal-Demokrat di UK hari ini.

Kerana mereka menghayati kuasa politik beralih seperti air laut, parti yang menang dan membentuk kerajaan tidak cuba menganiaya atau mengaibkan, manakala parti yang kalah dan menjadi pembangkang juga tidak cuba mentohmah atau mensabotaj kerajaan untuk menjatuhkannya.

Semangat budiman itu nyata termaktub dalam ungkapan ‘Kerajaan Seri Paduka Baginda’ (His/Her Majesty’s government) dan ‘Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda’ (His/Her Majesty’s loyal opposition) yang bersama-sama melengkapkan demokrasi berparlimen.

Kesetiaan pembangkang kepada raja dan negara itu dimaktubkan dalam persaingan kepada kerajaan sebagai pengkritik dan alternatif. Malangnya, sungguhpun sistem politik kita meneladani UK pada luarannya, penghormatan pembangkang sebagai pesaing bernilai (worthy opponent) kerajaan tidak berakar di Malaysia di bawah lapan orang Perdana Menteri.

Pembangkang sering dicaci, difitnah, ditahan, malah dipenjarakan seolah-olah mereka pengkhianat dan pemberontak supaya rakyat dan kakitangan kerajaan takut mendampinginya. Sungguhpun tanpa wawasan atau manifesto berbunga-bunga, konsep ringkas ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri telah secara simboliknya menyemai politik budiman. Beliau seharusnya melestarikan legasi berkenaan dengan mengkanunkannya dan memastikan pelaksanaannya di semua negeri.

Kita mesti bertanya-tanya sehingga mendapat jawapannya – bilakah Ketua Pembangkang DUN juga akan diberi taraf ahli Exco di Perlis, Perak, Pahang dan Johor (oleh UMNO), Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (PH), Kelantan, Terengganu dan Kedah (Pas), Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS)?

*Profesor Wong Chin Huat ([email protected]) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Ketua Pembangkang taraf menteri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tiada MN, peluang kerjasama UMNO-Pas masih ada

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker