Janji kerajaan buat Tabung Haji belum melegakan
Janji kerajaan buat Tabung Haji belum melegakan
Oleh Omar Mohamed
Pada 22 Julai lalu Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan memberitahu cadangan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) cuma penyelesaian sementara sehingga suruhanjaya siasatan diraja (RCI) merumuskan dapatan dan saranan kepada kerajaan.
Namun, ia belum cukup untuk melegakan sebahagian besar pemegang taruh kerana ia lebih kelihatan sebagai kenyataan pusingan U untuk menutup isu berkenaan menjadi lebih besar dan panas.
Hakikatnya, ramai berpendapat tiada keperluan untuk memberikan fokus hanya kepada isu pengumpulan deposit bagi tempoh siasatan diadakan. Ia adalah perancangan besar yang memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam seluruhnya.
Rundingan dengan semua pemegang taruh mesti diadakan oleh kerajaan termasuk dalam kalangan pakar pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, syariah, pengurusan haji, pelaburan dan pasaran modal.
Persoalan secara penting diutarakan ialah, apakah kerajaan telah merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah TH bagi mengenal pasti pelan terbaik untuk isu-isu syariah yang berbangkit berkaitan dana dan pelaburan agar ia diambil kira dalam apa sahaja perancangan yang digariskan.
Malah tidak perlu pun untuk bergantung kepada Majlis Penasihat Syariah BNM seperti yang dihujahkan Kementerian Kewangan.
Apakah pro dan kontra meletakkan TH di bawah seliaan BNM?
Pertama, ia dapat mengelak pengurusan TH dipengaruhi oleh orang politik atau parti politik sama ada secara langsung atau tidak. Pun begitu ia tidaklah bermakna langsung tiada pengaruh kerajaan dibenarkan, tetapi garis panduan akan lebih ketat dan tegas.
Ia sama seperti kebanyakan bank berkait kerajaan yang diselia BNM sekarang.
Kedua, kawal selia BNM akan turut memastikan pemilihan ahli lembaga pengarahnya adalah daripada kalangan orang yang benar-benar layak dan melalui proses yang betul.
Menguruskan dana berjumlah lebih RM80 billion memerlukan individu yang benar-benar mantap dalam bidang masing-masing agar setiap keputusan yang diambil nanti bersifat jitu dan padu.
Peraturan ketat dalam BNM
BNM adalah badan yang tepat untuk mengawal selia pengambilan deposit oleh TH. Jumlah deposit di badan itu adalah sangat besar dan garis panduan yang tepat memang diperlukan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan.
Sementara itu kesan negatif terhadap cadangan kawal selia BNM itu juga ada. Pertama, BNM dikatakan oleh sebahagian penganalisis sebagai tidak memiliki kepakaran dalam pengurusan dana dan pelaburan, atau kurang aktif berbanding badan lain.
Ia adalah bidang dan kemahiran yang dimiliki oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC), bukan BNM. TH banyak terlibat dengan perniagaan pasaran modal, malah masih ada isu-isu tertentu yang belum diputuskan oleh SC, jauhlah untuk ia dibincang di BNM.
Kedua, kebanyakan – atau hampir semua – isu syariah yang berbangkit dalam operasi dan pelaburan TH adalah bawah bidang kuasa SC, bukannya BNM. Justeru sekiranya TH perlu dikawal atau diselia oleh sebuah badan kerajaan, yang sesuai mungkin SC dan tidak BNM.
Ketiga, banyak pihak bimbang sekiranya TH terpaksa bergerak dan melakukan perniagaan menggunakan ‘cara berfikir BNM’. Justeru TH akan terbatas daripada melakukan perniagaan dan pelaburan yang perlu.
Walaupun matlamat asal TH ialah untuk penyimpanan dan pengurusan haji, hari ini ruang operasi TH melangkau jauh lebih daripada itu. Bukanlah cara berfikir BNM itu salah, sebaliknya industri sedia maklum peraturan-peraturan ketat yang ada dalam entiti itu.
Isu besar sebegini juga seharusnya dibawa ke parlimen untuk dibincangkan oleh pembuat dasar negara. TH itu sendiri berasal dari parlimen, justeru sebarang perubahan besar wajar dibawa ke sana juga, termasuk kemungkinan akta itu perlu dipinda jika itu keputusan yang diambil selepas dibahaskan.
Apakah langkah seterusnya? Kali terakhir Akta TH disemak ialah pada 1995. Sudah sampai masanya untuk ia disemak semula terutama berkaitan tadbir urus korporat berdasarkan persekitaran dan amalan hari ini sudah banyak berbeza berbanding dahulu.
Contohnya, keputusan pelaburan yang dirujuk kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelola hal-ehwal agama. Adakah menteri terbabit mempunyai kelayakan dan sokongan secukupnya untuk memahami sebelum membuat keputusan berbanding Kementerian Kewangan?
Ini adalah antara isu pokok dan menjadi punca sesetengah masalah TH pada masa lalu.
Maka pihak berkepentingan seperti – BNM, SC, Kementerian Kewangan, Lembaga Pengarah TH, Penasihat Syariah TH dan pakar pelbagai bidang – wajar duduk semeja berbincang demi kebaikan TH dan pendeposit.
Tanda ambil berat
Bukan hanya soal tadbir urus yang perlu diperhalusi malah semua perkara berkaitan termasuk idea-idea yang dibawa Kementerian Kewangan pada awal isu ini dilontar termasuk pro dan kontra kepada idea tersebut.
Tidak wajar ianya terus diluluskan oleh kabinet tanpa rundingan inklusif.
Seperti yang dinyatakan tadi, memang objektif asal TH ialah tempat bakal haji menyimpan dengan selamat. Apabila dana bertambah, mulalah TH dijadikan “pelopor ekonomi ummah”. Ia sesuatu yang luar daripada matlamat asal.
Siapa yang menukar matlamat TH itu? Ini juga wajar dibincangkan dalam rundingan besar yang inklusif.
Pada asasnya, perubahan ini berbahaya kerana risiko yang diambil berbeza dengan risiko TH sebagai sekadar sebagai tempat deposit yang selamat. Ini terbukti dengan banyak pelaburan yang salah berlaku sebelum ini kerana mereka mengejar keuntungan yang tinggi.
Saya menulis ini sekadar mahu menunjukkan rasa ambil berat terhadap TH, operasi haji dan dananya. Ini cuma pandangan orang awam yang sayangkan TH. Kita sayang semua.
Ada berpesan berhikmah selalu dipetik orang: “Tidak rugi orang yang beristikharah, tidak akan kecewa orang yang bermusyawarah dan tidak akan miskin orang yang hidupnya hemat.”
Kata-kata itu diriwayatkan oleh Thabrani dari Anas namun ulama berbincang tentang keabsahannya. Maka saya anggap ia sebuah kata-kata hikmah yang mesti diambil oleh pihak kerajaan dan kabinet. Mk
Janji kerajaan buat Tabung Haji belum melegakan
Baca Artikel Menarik :
- PN hilang kuasa bila batal ordinan darurat
- Doktor kontrak bukan masalah ketika pentadbiran saya, Najib
- Mencelah bukan cara saya, tunggu Rabu ini- Najib
- Netizen Dakwa PA Ebit Lew Seorang Pedofil?
- Resepi Mee Rebus Daging Sedap Betul
- Che Ta kutuk baju kontinjen Olimpik Malaysia