Speaker kata tiada sidang hibrid, semua ahli parlimen boleh hadir

Speaker kata tiada sidang hibrid, semua ahli parlimen boleh hadir. Semua 220 Ahli Parlimen dibenarkan menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat mulai esok hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, cadangan melaksanakan sidang khas Dewan Rakyat secara hibrid ditangguhkan dan soal pelaksanaannya juga tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat khas itu.

Justeru katanya, tiada had jumlah Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat, malah semua wakil rakyat, termasuk mereka yang belum divaksin dibenarkan hadir.

“Soal melaksanakan sidang Parlimen hibrid tidak akan dibincangkan dalam sidang khas dan kita tangguh sekejap cadangan itu untuk diperhalusi dengan lebih lanjut mengenai keperluan undang-undang dan sebagainya. Itulah statusnya sekarang.

“Cadangan Parlimen hibrid itu untuk kemudahan bagi membolehkan sesiapa yang mungkin tak dapat datang (persidangan Dewan Rakyat) atau tidak boleh hadir, disebabkan Covid-19.

“Kita berpendapat cadangan pelaksanaan Parlimen hibrid ini akan menjadikannya lebih selamat untuk semua orang,” katanya dalam sidang media maya baru-baru ini bagi memperincikan persiapan menjelang mesyuarat khas itu.

Ketika ini, katanya, hampir semua Ahli Parlimen sudah divaksin, dengan maklumat terkini menunjukkan 205 Ahli Parlimen melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, 12 Ahli Parlimen menerima satu dos dan tiga lagi belum divaksin.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi Parlimen, namun ketika ini, ia hanya mempunyai 220 Ahli Parlimen selepas dua daripadanya meninggal dunia.

Mengenai agenda perbincangan persidangan khas Dewan Rakyat, Azhar berkata, selain perkara yang ditetapkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam aturan mesyuarat, usul lain tidak akan dibincangkan.

Katanya, berbeza dengan persidangan biasa, mesyuarat khas Dewan Rakyat dibuat berdasarkan Peraturan 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyurat Dewan Rakyat yang membolehkan perdana menteri mengadakan sidang khas dengan urusan mesyuarat itu ditetapkan beliau sendiri.

Zahid beri amanah Ahli Parlimen Umno harus undi batal kuasa darurat

“…hanya perdana menteri yang boleh menetapkan perkara yang berlangsung dalam sidang khas ini. Jadi, tiada siapa yang boleh katakan apa yang perlu dibincangkan dalam sidang khas ini, selain perdana menteri.

“Ahli Parlimen yang telah menghantar usul untuk sidang khas ini, saya akan maklumkan pada mereka. Usul mereka itu tidak boleh dibawa ke hadapan, ke sidang akan datang dan perlu hantar pemberitahuan (usul) yang baharu.”

Peraturan 11(3) memperuntukkan, pada masa Majlis dalam tangguhan, jika perdana menteri memaklumkan kepada Yang Dipertua, iaitu bagi faedah orang ramai, mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang ditetapkan, maka Yang Dipertua hendaklah serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan tarikh mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu. Urusan-urusan bagi hari itu hendaklah ditetapkan perdana menteri dan pemberitahuan berkenaan dengan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli, tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan semua proklamasi darurat serta ordinan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas dakwaan tiada sesi soal jawab atau perbahasan dalam sidang khas itu, Azhar menyifatkan dakwaan itu hanyalah “misconception” (salah faham) kerana ada ruang untuk Ahli Parlimen mengemukakan soalan serta pendapat, selepas selesai sesi penerangan menteri.

“Dalam notis saya kepada semua Ahli Parlimen, saya telah nyatakan dengan terang dan jelas, saya akan membenarkan soalan, membenarkan cadangan, semua perbincangan dan segalanya. Saya tidak tahu dari mana datangnya persepsi yang menganggap saya tidak akan benarkan sebarang perbahasan.”

Berhubung cadangan memanggil Peguam Negara, Idrus Harun ke sidang khas bagi menjawab soalan mengenai ordinan yang diwartakan sepanjang penguatkuasaan darurat, Azhar berkata, pertamanya, dalam kerangka perundangan dan Perlembagaan Persekutuan tidak dinyatakan perkara itu.

“Kedua, terpulang kepada peguam negara nak datang atau tak. Itu kalau dibenarkan kerana dalam kerangka Perlembangaan Persekutuan sekarang tidak dinyatakan sama ada boleh hadir.

“Di Malaysia, peguam negara bukan lantikan politik, maka dia tidak perlu menjawab kepada Parlimen. Kalau di UK, peguam negara adalah lantikan politik dan dia menjawab kepada Parlimen.”

Speaker kata tiada sidang hibrid, semua ahli parlimen boleh hadir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Shahidan kata tunjuk bukti kalau tidak sokong PM [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker