Guru Matematik ditemui meninggal dunia atas sofa

Sebaran :

Guru Matematik ditemui meninggal dunia atas sofa

Aduan sekumpulan pelajar Tingkatan Lima yang ternanti-nanti soalan peperiksaan penggal untuk dimuat naik membawa kepada penemuan mayat guru Matematik mereka di sebuah rumah di Alor Gajah, Melaka semalam.

Mangsa berusia 57 tahun itu sepatutnya memuat naik soalan-soalan bagi peperiksaan penggal yang dijadualkan berjalan pada 10 pagi, namun kegagalannya berbuat demikian mendorong pelajar-pelajarnya menghubungi guru lain.

Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, selepas gagal dihubungi melalui telefon bimbit, guru-guru yang rapat dengan beliau pergi ke kediamannya di sebuah kampung di Lendu, namun dimaklumkan isterinya bahawa beliau pergi ke sebuah lagi rumah mereka di Taman Lendu Ilmu sejak semalam.

Difahamkan mangsa sering menyelesaikan kerja berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah berkenaan.

“Isteri arwah memaklumkan lazimnya arwah suaminya pulang pada sebelah malam selepas menyelesaikan kerja tetapi malam tadi arwah tidak balik dan usaha menghubungi telefon bimbitnya tidak berhasil,” kata sumber.

Kumpulan guru berkenaan yang kemudian bergegas ke rumah berkenaan pada 12.30 tengah hari mendapati kereta mangsa berada di garaj dan pintu pagar berkunci.

“Mereka memanjat pagar sebelum memanggil arwah tetapi tiada jawapan dan mereka mendapati pintu gelongsor tidak berkunci dari dalam namun jeriji pintu berkunci.

“Sebaik sahaja pintu gelongsor dibuka, mereka amat terkejut apabila melihat arwah kaku di atas sofa di ruang tamu sebelum menghubungi polis dan bomba,” kata sumber.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba Soon We Kiang, sejurus Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah menerima panggilan pada 12.40 tengah hari, enam anggota dikerahkan ke lokasi.

Anggota bomba yang terpaksa memecahkan kunci jeriji kemudian menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan duduk di atas sofa di ruang tamu, katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa yang dijangka diperoleh hari ini.

Buat masa ini, katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). FMT

Guru Matematik ditemui meninggal dunia atas sofa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukalah hati, belanjalah kerajaan – Shahril Hamdan


Sebaran :

Leave a Reply