Apa khabar anak seni



Apa khabar anak seni

Tempoh 18 bulan dilalui sejak penularan pandemik COVID-19, tahun lalu, cukup getir hingga memberi tamparan hebat kepada penggiat seni dan pekerja belakang tabir.

Aktiviti penggambaran dan kerja kreatif yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melarang kerja ‘shooting’ diteruskan, menyebabkan sumber pendapatan penggiat seni dan kru terputus.

Ramai penggiat seni terutama pekerja belakang tabir berdepan kesulitan hidup hingga ada yang diusir dari rumah sewa dan tidak mampu menyediakan keperluan keluarga.

Atas nama solidariti dan empati penggerak industri kreatif, sekumpulan penggiat seni yang menggelarkan diri mereka Delegasi Anak Seni (DAS) melancarkan kempen Apa Khabar Anak Seni melalui media sosial atas tujuan murni.




Sejak Isnin lalu, tanda pagar #ApaKhabarAnakSeni dan logo memaparkan genggaman dua tangan mula dikongsi penggiat seni dan penyokong industri kreatif.

DAS melancarkan kempen Apa Khabar Anak Seni untuk mengambil tahu keadaan mental, emosi, kewangan dan kehidupan semasa pekerja industri kreatif termasuk dalam aspek menggunakan kemahiran diri demi survival pada masa mencabar ini.

Kempen ini juga bertujuan mengeratkan silaturahim atas penggerak industri kreatif terutama dalam berdepan halangan mencari rezeki di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PPN.

Pelakon Sharifah Amani berkata, kempen Apa Khabar Anak Seni berteraskan keprihatinan antara pekerja industri kreatif untuk sama-sama mengambil berat ketika dunia ‘berperang’ dengan COVID-19.

“Saya percaya sebagai anak seni, tugas kita lebih daripada memberi hiburan sahaja.




“Kita mencipta kisah sekarang, jadi mungkin suatu hari di masa hadapan, generasi akan datang boleh belajar darinya… Mudah-mudahan,” katanya.

Sharifah Amani atau mesra disapa Nani berharap penggunaan tanda pagar #ApaKhabarAnakSeni membolehkan lebih ramai penggerak industri kreatif berhubung antara satu sama lain serta menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap nasib pekerja seni.

Diharapkan, melalui kesedaran ini, wujud platform komunikasi dua hala antara pekerja seni dan pihak lain secara langsung atau tidak langsung.

Penyanyi Daiyan Trisha berkata, ramai pekerja seni tidak dapat mencari rezeki sejak era pandemik COVID-19 menular.

“Tiada ‘show’ dan tiada ‘shoot’ maka tiada produksi. Kempen ini bertujuan bertanya khabar dan perkembangan semasa kita berada dalam tempoh ‘lockdown’,” katanya.




Mengaku turut terkesan dengan impak semasa, Daiyan menggunakan kreativiti untuk menghasilkan kandungan di rumah selain mencipta lagu.

“Saya sangat rindu beraksi dan melakukan penggambaran serta melantunkan tenaga kreatif sesama anak seni. Kita doakan agar kita dapat kembali bekerja,” katanya.

Kenyataan media DAS menyebut, kempen Apa Khabar Anak Seni menunjukkan tanggungjawab bersama pekerja industri kreatif menjaga kesejahteraan bersama selain menjadi ruang harmoni untuk terus menghasilkan produk kesenian pada tempoh pandemik COVID-19.

Sejak dilancarkan, kempen Apa Khabar Anak Seni menarik perhatian penggerak industri kreatif termasuk artis seperti Que Haidar, Bront Palarae, Nora Danish dan Jasmin Hamid.

Turut serta penerbit Fadzil Teh dan Shahrulezad Mohameddin yang melaungkan semangat kebersamaan.




Sehingga kini, tanda pagar #ApaKhabarAnak Seni meraih lebih 1,000 entri di Instagram (IG). BH

Apa khabar anak seni


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukalah hati, belanjalah kerajaan – Shahril Hamdan



Leave a Reply

Your email address will not be published.