Rahsia kenapa Islam kaitkan bilangan ganjil dengan ibadah

Rahsia kenapa Islam kaitkan bilangan ganjil dengan ibadah dan amalan harian? Ini jawapannya

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersuci dengan batu (istija atau istijmar) hendaklah ganjil, melontar Jumrah ganjil, saie antara Safa dan Marwa ganjil, tawaf ganjil. Apabila kamu istijmar hendaklah istijmar dengan bilangan ganjil.”

Mengapa bilangan ganjil itu nabi beratkan di dalam ibadat dan amalan harian? Adakah wajib mengikut bilangan ganjil itu dan tidak bolehkah jadikan ia genap? Terutamanya apabila melakukan ibadat haji kebanyakan rukunnya dilakukan di dalam bilangan yang ganjil seperti tawaf, sa’i dan melontar Jumrah juga dilakukan di dalam bilangan batu yang ganjil.

Begitu juga dengan ibadat dan amalan sunat yang lain kebanyakannya lebih menekankan kepada bilangan yang ganjil. Apa istimewanya dengan angka ganjil tiga dan tujuh yang paling kerap dianjurkan. Namun yang paling banyak adalah nombor tujuh.

Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Khafidz Soroni, diajak berbicara tentang hal itu dan inilah hasilnya. Daripada perbincangan itu, inilah yang boleh dirumuskan tentang nombor ganjil yang menjadi pilihan di dalam ibadat.

Jelasnya, ada satu hadis Muslim yang menceritakan tentang mengapa Allah suka angka ganjil. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama 100 kurang satu. Siapa yang menghitungnya akan masuk ke dalam syurga dan Allah itu witir (tunggal) dan Dia menyukai yang witir”

Maksud ganjil di dalam hadis itu boleh dijelaskan sebagai lawan kepada genap dan bukan maksudnya ganjil yang pelik. Tambahnya, apabila Allah mengatakan Dia menyukai yang ganjil bukan bermaksud bilangan genap tidak disukai. Lebih jelasnya, ia membawa pengertian bahawa Allah lebih menyukai angka yang ganjil merujuk kepada zat Allah itu sendiri yang tunggal iaitu esa.

Kerana berpegang pada itu juga segala ibadat dan amalan sunnah yang dilakukan digalakkan dalam bilangan ganjil, untuk terapkan konsep tauhid di dalam jiwa. Ia juga sebagai isyarat kepada minda bahawa Allah itu ganjil dan kena sentiasa ingat bahawa Allah itu satu, esa, tidak serupa dengan apa atau sesiapa yang lain.

Jelasnya, setiap perbuatan orang Islam mesti melambangkan tauhid, mencerminkan akidah Islam, itulah bezanya dengan agama lain. Setiap ibadat terutamanya semasa haji iaitu tawaf, sa’i dan melontar jumrah, kita kena ingat balik bahawa Allah itu suka kepada angka ganjil sebab Allah itu tunggal, tidak dua, tidak tiga atau banyak bilangannya.

Banyak perkara yang Allah perintahkan, terang Khafidz, terutamanya di dalam hal ibadat seperti solat yang merujuk kepada bilangan ganjil. Misalnya solat fardu, pun di dalam bilangannya yang ganjil iaitu lima waktu sehari semalam. Manakala jika didetilkan lagi jumlah rakaatnya juga dalam bilangan yang ganjil iaitu 17 rakaat sehari semalam.


7 ayat dalam surah al-Fatihah bukanlah kerana kebetulan

Di dalam solat juga diwajibkan membaca al-Fatihah yang mempunyai tujuh ayat. Itu semua berlaku bukan kebetulan kerana ia adalah wahyu dari Allah. Dengan erti kata lain, ia telah Allah aturkan dengan sempurna berkaitan angka tujuh.

Di dalam bab wuduk pula disunatkan membasuh tiga kali walaupun sekali sudah dikira sah namun yang paling baik adalah tiga kali. Begitu juga dengan istinjak jika tidak ada air maka gunakanlah batu dengan bilangan yang ganjil iaitu tiga biji batu. Di dalam ibadat, amalan sunah dan kebersihan banyak yang mengutamakan bilangan witir atau ganjil.

Tambah Khafidz lagi, anggota sujud juga tujuh, jika salah satu tidak cukup maka tidak sah solat. Hal itu diisyaratkan di dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah bersabda,

“Aku telah diperintahkan agar sujud dengan tujuh anggota dan tidak dibolehkan melapisinya dengan rambut atau dengan pakaian iaitu: Dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua pada penghujung kaki“

Tujuh pada kejadian alam

Selain angka tujuh pada ibadat dan kebersihan, ia juga disebut dalam konteks kejadian alam. Menurut Khafidz, Allah juga sebutkan kejadian alam semesta dikaitkan dengan angka tujuh, iaitiu tujuh petala langit di sebut sebanyak 7 kali iaitu dalam surah Al-Baqarah 29, al-Israa 44, Al-Muminun 86, Fussilat 12, At Talaq 12, Al-Mulk 3 dan Nuh 15.

“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah langit lalu dijadikan tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” Al-Baqarah: 29

Manakala ayat al-Quran yang menyebut bumi mempunyai tujuh lapisan dan ia telah dibuktikan hasil kajian ahli geologi mengesahkan bahawa bumi ada tujuh lapisan.


7 petala langit dan 7 petala bumi juga telah ditentukan Allah dan bukan kebetulan

Sedangkan tujuh petala langit terlalu jauh untuk dibuktikan dengan pengetahuan sains yang dimiliki oleh manusia. Mengikut NASA hanya 3 peratus saja langit yang luas itu sudah diterokai sementara yang lain masih belum sampai kepada pengetahuan manusia.

Itu menunjukkan tujuh petala langit satu gambaran yang luas hingga tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia. Semua itu menjadi petunjuk kepada kebijaksanaan Allah kerana salah satu sifat Allah adalah yang bijaksana.

Di dalam surah Al-Mulk ayat 3 Allah berfirman,

“Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan ang tidak seimbang dan tidak munasabah;(jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu- dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?”

Pada ibadat puasa juga ada kaitan dengan bilangan ganjil, bulan Ramadan juga adalah bulan ganjil dalam Islam iaitu bulan ke sembilan. Begitu juga, setiap bulan digalakkan berpuasa pada hari putih iaitu 13, 14, 15 bertepatan dengan waktu bulan mengambang.

Hari putih adalah membawa maksud apabila bulan mengambang waktu malamnya adalah terang benderang berbanding malam tanpa bulan. Pada bulan Ramadan juga ada malam lailatulqadar yang jatuhnya pada malam-malam ganjil, begitu juga dengan solat tarawih juga dilakukan di dalam bilangan ganjil.

Di dalam bab zakat juga dinyatakan dalam bilangan ganjil iaitu tujuh cupak walaupun ia telah ditukar kepada nilai duit namun sukatan yang asal menggunakan nilai timbangan barang.

Selain itu, Al-Quran juga diturunkan dalam tujuh cara bacaan cuma yang ada sekarang ini sudah tidak berkembang. Tujuh cara bacaan itu pada asalnya adalah untuk meraikan kabilah Arab yang ada ketika zaman Rasulullah dan bacaan itu mengikut loghat kabilah.

Ada apa dengan tujuh?

Di situ, Khafidz mempersoalkan, mengapa angka tujuh yang Allah pilih? Ujarnya, ia tidak mungkin berlaku secara kebetulan. Ia adalah menunjukkan rahsia Allah, bahawa sesuatu yang diciptakan Nya ada sistem, ukuran, cara, prosedur dan ia cukup detil, bukannya semberono saja.

Kajian sains telah membuktikan bahawa setiap kejadian makhluk dan alam semesta mempunyai ukuran, sistem yang diatur oleh Allah, dari objek yang sekecil-kecilnya iaitu atom hinggalah yang sebesar-besarnya iaitu cakerawala.

Ia mengandungi rahsia kekuasaan Allah cuma yang boleh dijelaskan di sini kenapa Allah menyukai yang ganjil, kerana semua makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Di dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 49,

“Dan tiap-tiap jenis, Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati(kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).”

Dari ayat tersebut boleh dijelaskan dan menjadi peringatan kepada manusia bahawa semua makhluk dan ciptaan Allah dijadikan berpasangan. Dan, itu menunjukkan bahawa betapa lemahnya makhluk itu termasuk manusia yang memerlukan sesuatu sebagai pasangannya. Tapi Allah tidak perlu kepada sesiapa atau pasangan, itulah menunjukkan Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Esa.

Konsep tauhid bahawa Allah itu ganjil kena sentiasa diterapkan di jiwa melalui ibadat dan amalan harian. Setiap amalan yang dilakukan menjadi asas supaya kita sentiasa ingat dan diatur bahawa Allah itu esa.

Akhirnya Khafidz, menyimpulkan ada rahsia mengapa Allah melebihkan nombor-nombor tertentu berbanding nombor yang lain? Bagaimana kita harus meletakan diri di dalam soal mempercayai nombor itu?

Dalam Islam antara sifat berlebihan dan sifat terlampau tidak endah atau sambil lewa adalah dua situasi yang sering dilihat.

Jadi, yang eloknya adalah yang pertengahan, dalam mempercayai nombor kena i’tiqad bahawa ada sebahagian yang Allah jadikan itu adalah rahsiaNya. Dan, sebahagian yang lain pula untuk menunjukkan kepada kita bahawa Allah itu sifatnya Al-Hakim yang bijaksana, menyusun alam ini dengan sempurna, detil, tersusun dan tepat ukurannya, bukan semberono.

Manakala orang yang acuh tak acuh pula tidak akan memikirkan mengapa dijadikan seminggu ada tujuh hari dan banyak kejadian lain dijadikan dengan angka tujuh? Tidak mahu mengambil tahu langsung malah mengatakan itu adalah kebetulan.

Selain itu, kita juga tidak mahu menjadi orang yang berlebih-lebihan hingga menjadi terlalu taksub bahawa nombor itu membawa tuah dan boleh mendatang rezeki. Ini yang membawa kepada syirik, hingga nombor itu boleh memberikan manfaat dan mudarat.

Hanya Allah yang mampu memberikan manfaat dan mudarat bukan nombor. Jadi, yang paling baik adalah sederhana dan seimbang antara kedua-duanya. Wallahu a’lam. Utv

Rahsia kenapa Islam kaitkan bilangan ganjil dengan ibadah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ibu bersalin meninggal dunia akibat Covid-19 meluluhkan hati..

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker