Pertembungan PAS dan Umno tak dapat dielak

Pertembungan PAS dan Umno tak dapat dielak, kata penganalisis

Pertembungan antara Umno dan PAS untuk meraih undi dan sokongan rakyat kini tidak lagi dapat dielakkan selepas mengambil kira pendirian Umno yang menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kata penganalisis.

Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata PAS sudah menjanjikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin.

“Konflik antara Umno dan Bersatu dijangka semakin panas selepas darurat tamat pada 1 Ogos ini, jadi sudah tidak dapat dielak bahawa PAS dan Umno akan berlawan,” katanya.

Awang Azman berkata, keputusan PAS menyokong Muhyiddin dianggap sebagai meninggalkan Umno dan Muafakat Nasional (MN) kerana PAS kelihatan lebih selesa bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin.

“Bagaimanapun, jika Umno tidak bersatu dalam memperjuangkan pendirian parti, terutamanya mereka yang menentang keputusan parti, akar umbi akan menghukum mereka.

“Ini sekali gus memberi kesan kepada prestasi Umno pada pilihan raya umum akan datang (PRU15),” katanya.

Beliau percaya PAS akan kekal menyokong Muhyiddin, katanya, selagi Perdana Menteri itu berada di tampuk kekuasaan, sekalipun ini akan berubah selepas Parlimen dibubarkan.

Terdahulu, keputusan Umno menarik semula sokongan terhadap Muhyiddin dikritik Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang berkata, keputusan berkenaan menggelincirkan usaha menyatukan ummah dan memberi kesan kepada hubungan antara dua teman seperjuangan dalam MN itu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menyangkal dengan berkata, jika PAS serius berkenaan kesatuan, parti itu tidak akan membelakangkan Umno dan menyertai Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan, tidak bersetuju bahawa Umno memusnahkan kesatuan masyarakat Islam.

Bekas pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, keputusan pilihan raya kecil menunjukkan kerjasama Umno dan PAS berjalan lancar bawah panji MN.

“Mengatakan Umno sedang memusnahkan kesatuan ummah adalah tidak tepat, sedangkan PAS sedia tahu Umno dan Bersatu adalah musuh semula jadi kerana mahu meraih kelompok undi yang sama, termasuk tuntutan kerusi,” katanya.

Beliau tidak yakin pendirian PAS kekal bersama PN akan menyebabkannya kehilangan undi, katanya, namun ia mungkin didorong prestasi tidak memberangsangkan menteri dan timbalan menterinya dalam kerajaan.

“Menteri dan timbalan menteri daripada PAS dilihat sangat senyap, saya berpandangan ini akan menyebabkannya kehilangan undi,” katanya.

Tambah Azmi, PAS diramal kekal bersama Bersatu pada PRU15, walaupun tindakan berkenaan membawa risiko besar buat mereka, kerana ini bermaksud mereka akan berdepan musuhnya yang paling ketat, Umno. FMT

Pertembungan PAS dan Umno tak dapat dielak


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kita mahu PM yang menyakinkan, bukan beli katak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker