Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin disokong semua Ketua Penerangan parti

 

Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin disokong semua Ketua Penerangan parti. Semua ketua penerangan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyokong keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, mereka juga yakin dengan ketokohan dan kewibawaan yang dimiliki kedua-dua pemimpin itu mampu meletakkan negara di tahap yang lebih baik.

“Kedua-dua tokoh ini adalah pemimpin berpengalaman serta berkebolehan untuk membantu Tan Sri Muhyiddin memimpin negara.

“Kami mendoakan agar pelantikan ini akan memperkukuhkan lagi kerjasama erat yang sedia ada antara parti-parti dalam kerajaan, dalam kerangka kita sebagai sebuah kerajaan yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Penerangan, Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai, Ketua Penerangan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin, Ketua Penerangan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Koo Shiaw Lee dan Ketua Penerangan, Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk V Gunalan.

Turut sama, Pengerusi Biro Penerangan, Malaysian Chinese Association (MCA), Chan Quin Er, Ketua Penerangan, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Khairin Bador, Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Parti Demokratik Progresif (PDP), Yong Li Na, Ketua Penerangan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang, Ketua Penerangan, Parti Rakyat Sarawak, Datuk Wilfred Nissom dan Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Adam Yii.

Dalam pada itu, ketua penerangan parti-parti dalam PN juga turut menghargai kesediaan kerajaan mengambil kira pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan persidangan Parlimen.

Menurut kenyataan itu, kesediaan kerajaan menasihati Al-Sultan Abdullah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan adalah satu langkah bijak untuk membolehkan penerangan yang tepat diberikan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Kami juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan bahawa semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong serta butiran mengenai Pelan Pemulihan Negara akan dibentangkan.

“Kami berharap sidang Parlimen khas ini dijadikan medan membincangkan kepentingan rakyat dengan sepenuhnya dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” kata mereka.

Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin disokong semua Ketua Penerangan parti


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Asyraf don’t worry, saya di sini kerana UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker